#1. Tikus tidak begitu menggemarinya
Hakikatnya, kartun Tom & Jerry itu hanya menipu diri anda. Sebenarnya, jika anda menggunakan produk tenusu ini sebagai umpan perangkat tikus, ia hanya akan menyebabkan haiwan itu lari daripadanya.
Menurut kajian pada tahun 2006, tikus sebenarnya lebih gemarkan makanan yang manis dan bergula. Disebabkan itu, ia kurang tertarik kepada keju dan hanya akan memakannya jika ia sedang kelaparan.
#2. Anda boleh memakannya walaupun anda alah kepada susu
Kebanyakan individu yang mengalami intoleransi laktosa boleh makan keju yang kering dan lama seperti cheddar, parmesan, pecorino dan gouda. Bakteria yang terdapat di dalamnya mampu mengubah laktosa menjadi asid laktik, yang mana semua individu boleh makan.
#3. Usianya adalah sangat tua
Para pengkaji sejarah mencadangkan bahawa keju dicipta pada tahun 6000 SM. Pada tahun 2014, keju tertua di dunia telah ditemukan terkubur bersama sekelompok mumia di barat laut Cina oleh kumpulan ahli arkeologi Sweden. Mereka kemudiannya mendapati bahawa kubur itu telah wujud sekitar tahun 1615 SM lagi, menjadikannya ia adalah keju yang tertua di dunia. Lebih menarik, ia juga adalah bebas dengan laktosa.
#4. Ada jenis yang berbahaya untuk dimakan
Casu marzu, adalah sejenis keju tradisional Sardinia yang diperbuat daripada susu kambing biri-biri. Ia mempunyai hubungan yang agak aneh dengan European Union (EU) dan telah dianggap diwartakan sebagai berbahaya untuk dimakan kerana ia mengandungi berenga dan larva yang masih hidup dan mampu membahayakan kesihatan individu yang memakannya. Kini, ia dianggap sebagai makanan tradisional dan sangat sukar untuk ditemui.
#5. Ia mempunyai musimnya yang tersendiri
Seperti buah, keju juga mempunyai musimnya yang tersendiri, maksudnya, ia tidak akan ada sepanjang tahun. Keju yang diperbuat daripada susu lembu hanya akan mampu dihasilkan ketika lembu sedang memproses susu dan rasanya juga akan berbeza jika lembu tidak dapat sumber makanannya iaitu rumput yang cukup kuantiti dan bagus kualitinya.
Selain itu, ia juga sama seperti buah kerana ia mempunyai usia ‘matang’ atau ‘masak’. Jika anda membeli keju jenis camembert atau brie, anda perlu mengujinya terlebih dahulu dengan memicitnya secara perlahan-lahan. Jika terlalu keras, ia masih belum bersedia untuk dimakan.
#6. Keju paling busuk di dunia adalah berasal dari Perancis
Produk tenusu ini sememangnya terkenal dengan baunya yang kuat. Sebagai contoh, blue cheese adalah jenis yang memiliki bau, rasa dan tekstur yang sangat unik dan kuat. Sekumpulan pengkaji dari Bedfordshire University telah berjaya menemukan keju yang paling busuk di dunia yang pernah tercatat dalam sejarah iaitu Vieux Boulogne. Ia berasal dari Utara Perancis dan diperbuat daripada bir yang bereaksi dengan enzim di dalamnya. Disebabkan terlalu busuk, ia dilarang untuk dibawa di dalam pengangkutan awam di negara itu.
Khasiat tersembunyi di dalamnya
Orang dahulu mencipta keju bertujuan untuk memastikan masalah kebuluran dapat diselesaikan. Disebabkan sifatnya yang tahan lama dan mudah alih selain kaya kandungan lemak, protein, kalsium dan fosforus, ia sangat sesuai disimpan sebagai sumber makanan yang baik di dalam sebuah rumah. Berbanding susu, ia lebih padat dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Disebabkan itu, ia lebih bernilai untuk dijual di pasaran.
Kini, produk tenusu ini telah berevolusi sebagai salah satu daripada jenis makanan atau bahan penambah perasa yang sangat popular di seantero dunia. Pun begitu, timbul persoalan yang sering diutarakan iaitu, adakah keju ini makanan sihat yang sihat atau tidak?
Walaupun banyak yang meragukannya, keju sememangnya merupakan sejenis produk tenusu yang membawa kepada beberapa manfaat, antaranya:
#1. Mencegah penyakit
Ia mengandungi bahan yang dipanggil sebagai Conjugated Linoleic Acid. Bahan ini dapat membantu tubuh badan anda mencegah pelbagai jenis penyakit terutamanya penyakit-penyakit yang simptomnya ringan seperti demam, batuk atau selesema.
#2. Menambahkan berat badan
Ia adalah sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam usaha menambahkan berat badan. Ini kerana ia sangat kaya dengan protein, kalsium dan lemak yang berfungsi untuk menambahkan otot, lemak, berat serta kepadatan dan ketumpatan tulang. Jadi, ia sangat sesuai buat anda yang terlalu kurus dan ingin menambahkan berat badan sebagai ‘suplemen’ semulajadi.
#3. Mengekalkan kesihatan mata
Vitamin A yang terdapat di dalamnya memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan kesihatan mata yakni mengelakkan rabun dan menggalakkan penglihatan yang normal.
#4. Meningkatkan sistem imunisasi
Ada beberapa jenis keju seperti Blue, Swiss dan Cheddar adalah kaya dengan selenium dan antioksidan yang sangat penting untuk sistem imunisasi tubuh badan anda. Selain itu, vitamin B yang terdapat di dalamnya juga akan membantu meningkatkan sistem imunisasi serta mengekalkan fungsi tubuh badan.
#5. Baik untuk kulit
Disebabkan sifat semulajadi keju yang sangat kaya dengan vitamin B, ia adalah sangat baik untuk kulit untuk pertumbuhan sel baharu. Ini sekali gus akan menjadikan kulit lebih bersinar dan bercahaya
Seperti yang kita tahu, keju kaya dengan vitamin B. Ini menjadikan ia sangat baik untuk kulit kerana vitamin B amat diperlukan dalam pertumbuhan sel. Ini dapat mengeluarkan noda yang sekali gus menjadikan kulit bercahaya dan bersinar.
Konklusi
Konklusinya, keju adalah antara produk tenusu yang sangat sedap dan sudah sinonim dengan pelbagai masyarakat di dunia ini sebagai bahan penambah perasa makanan. Negara kita juga tidak terkecuali daripadanya. Lihat sahaja penggunaannya di dalam sajian seperti pisang goreng, burger, roti john, kuih cheese tart malahan juga di dalam air teh!
Selain itu, ia juga mengandungi 1001 khasiat yang tersembunyi terhadap kesihatan dan kecantikan individu. Oleh itu, apa lagi anda mahu takutkan? Walaupun ia mengandungi lemak yang tinggi, nutrien lain yang terdapat di dalamnya juga adalah vital buat kita. Jadi, tidak salah rasanya untuk sepotong keju setiap hari, bukan?
Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda lebih mengetahui dan mengenali produk tenusu ini dengan lebih dalam lagi.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen