backup og meta

Minuman Teh Beri Manfaat Kepada Struktur Otak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/12/2020

    Minuman Teh Beri Manfaat Kepada Struktur Otak

    Teh atau kopi, yang manakah pilihan anda sebagai minuman pagi? Jika anda memilih kopi, saya pasti anda akan mula bertukar kepada teh setelah mengetahui kaitan kandungan teh dengan tahap kesihatan otak individu.

    Pada September 2019, kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) telah mendapati bahawa mereka yang suka minum teh cenderung untuk mempunyai tahap kesihatan otak yang lebih baik berbanding dengan mereka yang tidak suka meminumnya.

    Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Kandungan kafein di dalam minuman teh

    Apabila disebut sahaja perkataan kafein, mesti anda akan terbayang akan minuman kopi bukan? Hakikatnya, terdapat pelbagai jenis makanan dan minuman yang mengandungi kafein seperti teh, coklat, minuman berkarbonat dan minuman tenaga.

    Ia merupakan bahan perangsang yang paling kerap dijadikan subjek uji kaji berikutan kesan fisiologikalnya yang pelbagai.

    Pengambilan minuman berkafein perlu dihadkan pada 400 mg sehari. Perkara ini agak mengelirukan bagi peminum kopi dan teh memandangkan minuman tersebut mempunyai kandungan kafein yang berlainan. 

    8 auns bancuhan kopi mengandungi kira-kira 95 mg kafein berbanding dengan 47 mg kafein di dalam minuman teh hitam.

    Ini bermakna mereka yang suka minum teh boleh mengambilnya pada kadar hampir dua kali ganda daripada jumlah pengambilan minuman kopi harian.

    Tidak dinafikan bahawa minuman berkafein dapat memberikan pelbagai jenis manfaat berkaitan dengan fungsi otak.

    Kajian yang dijalankan oleh Universiti Northumbria, Newcastle telah mendapati bahawa mereka yang mengambil minuman berkafein mempunyai memori, masa tindak balas dan pemprosesan maklumat yang lebih baik.

    Namun, perlu diingatkan bahawa mereka yang minum kopi lebih berisiko untuk mendapat kesan sampingan seperti keresahan, berdebar-debar, susah untuk tidur dan tekanan darah tinggi.

    Kandungan teh beri kesan antipenuaan otak

    kandungan teh

    Pada Jun 2019, satu kajian telah diterbitkan di laman Jurnal Penuaan berkaitan dengan kesan pengambilan teh secara berkala terhadap fungsi kognitif individu.

    Kajian tersebut telah dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dengan kerjasama Universiti Essex dan Universiti Cambridge, London.

    Melalui kajian tersebut, mereka memperolehi dapatan yang sangat menarik. Individu yang mengambil minuman teh hijau, oolong atau hitam pada kekerapan 4 kali seminggu untuk tempoh 25 tahun mempunyai perhubungan saraf otak yang lebih baik berbanding dengan mereka yang tidak mengambil sebarang minuman teh.

    Dapatan kajian ini menyokong kajian Feng yang dijalankan pada tahun 2017 yang menunjukkan penurunan pada kadar risiko gangguan kognitif disebabkan oleh proses penuaan. Mereka yang mengambil minuman teh secara berkala boleh mengalami penurunan risiko sebanyak 50%. 

    Perkara ini menggalakkan kajian lanjut dan kini, penemuan berkaitan pengstrukturan otak kesan daripada pengambilan minuman tersebut dapat memberikan perspektif terhadap langkah yang boleh diambil semasa muda bagi memastikan tahap kesihatan di waktu tua pada kadar yang optimum.

    Kesan ambil teh secara berlebihan

    Sudah berkurun lamanya minuman teh digunakan dalam rawatan tradisional bagi merawat penyakit tertentu. Kandungan teh tersebut berpotensi untuk merendahkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser dan obesiti.

    Namun, pengambilannya melebihi 4 cawan sehari boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan individu secara menyeluruh.

    Bukan minum kopi secara berlebihan sahaja boleh mendatangkan kemudaratan. Minuman teh, jika diambil secara berlebihan juga boleh menyebabkan kesan negatif terhadap proses fisiologi badan.

    Berikut merupakan antara kesan sampingan yang boleh dialami oleh mereka yang ‘terlebih’ ambil minuman tersebut.

    1. Kurang zat besi dalam darah

    Terdapat kompaun di dalam minuman teh yang boleh menyebabkan masalah kurang zat besi diserap masuk ke dalam aliran darah.

    Kompaun tersebut digelar sebagai tannin. Ia berupaya untuk bergabung dengan zat besi bagi menghalang penyerapannya melalui sistem penghadaman manusia. 

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Kansas pada tahun 2017, tannin lebih cenderung untuk menghalang penyerapan zat besi daripada sumber sayur-sayuran berbanding dengan daging haiwan.

    Oleh sebab itulah, bagi mereka yang tidak mengambil daging di dalam diet, anda perlu mengambil berat berkenaan dengan jumlah minuman teh yang anda ambil.

    Pengambilan minuman teh pada kadar 3 cawan atau kurang, dalam masa sehari kebiasaannya dianggap selamat buat kebanyakan individu. 

    2. Masalah sukar untuk tidur

    minuman teh

    Kafein adalah antara bahan yang terkandung di dalam minuman teh. Pengambilannya secara berlebihan boleh menyebabkan masalah sukar untuk tidur dan bakal mengganggu kestabilan kitaran tidur jaga anda. 

    Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan minuman berkafein boleh menyekat rembesan molekul melatonin.

    Melatonin merupakan hormon penting yang mengawal atur kitaran tidur jaga. Ia kebiasaannya dirembeskan apabila tiada sumber cahaya (gelap) pada persekitaran individu. 

    Pengurangan pada rembesan melatonin boleh menyebabkan masalah sukar untuk tidur. Ia seterusnya berpotensi untuk menyebabkan komplikasi seperti kelesuan, gangguan memori dan mudah hilang tumpuan.

    Apa yang lebih teruk lagi adalah masalah kekurangan tidur kebiasaannya dikaitkan dengan masalah kronik yang lain seperti obesiti dan kencing manis.

    Jika anda menghadapi masalah ini, seeloknya dikurangkan kekerapan pengambilan minuman tersebut terutamanya jika ia dekat dengan waktu anda tidur. 

    Konklusi

    Minuman teh, jika diambil secara berkala pada kuantiti yang disarankan, boleh memberikan faedah fisiologikal yang dapat meningkatkan kualiti hidup.

    Ia juga mengandungi kafein seperti minuman kopi namun jumlahnya tidak sebanyak minuman tersebut. Jika anda menginginkan minuman berkafein namun tidak mahu mencuba kopi, minumlah teh. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/12/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan