Kandungan asid amino yang tinggi dan nutrisi bukan protein (NPN) yang baik
Kecuali asid amino tyrosine dan juga cysteine, untuk asid amino yang lain, susu kambing mengandungi kuantiti asid amino yang lebih banyak berbanding asid amino yang sama yang terdapat dalam susu lembu. Selain itu, susu yang dihasilkan oleh kambing juga mengandungi unsur atau nutrisi bukan protein (NPN) yang baik dan juga dalam kandungan yang lebih tinggi. Nukelotida (Nu) yang terdapat dalam susu kambing membantu untuk mematangkan sistem imun bayi yang menerima susu tersebut, menyebabkan ia sering ditambah ke dalam susu formula bayi. Berbeza dengan susu lembu, susu yang dihasilkan oleh kambing hampir mengandungi paras Nu yang sama dengan susu badan manusia, tanpa perlu Nu tambahan. Tambahan lagi, ia juga kaya dengan Polyamine. Polyamine yang terdapat dalam susu telah terbukti sebagai sebatian kimia yang penting untuk menyokong tumbesaran yang optimum, fungsi sel-sel dalam sistem gastrousus dan juga untuk kematangan enzim-enzim yang terdapat pada sepanjang sistem gastrousus. Kajian mendapati bahawa susu dan juga kolostrum kambing mengandungi kandungan polyamine yang tinggi. Bahkan, ia lebih tinggi berbanding susu binatang mamalia yang lain.
Kandungan dan metabolisma vitamin dan mineral yang lebih baik
Secara keseluruhan, kandungan mineral dan juga vitamin yang terdapat dalam susu kambing adalah lebih tinggi daripada kandungan vitamin dan mineral yang terdapat dalam susu badan manusia. Susu badan manusia hanya mengandungi satu per empat hingga satu per enam sahaja daripada kandungan kalsium dan magnesium yang terdapat dalam susu yang dihasilkan oleh kambing. Berdasarkan kajian terkini, manfaat nutrisi susu kambing bukan sahaja disebabkan oleh kandungan vitamin dan mineral di dalamnya, ia turut disokong oleh kecekapan badan kita dalam menggunakan mineral daripada susunya untuk proses metabolisma. Sebagai contoh, ketersediaan Zink dalam badan diperkuatkan dengan kehadiran susu kambing berbanding susu yang diperoleh daripada lembu. Selain itu, susu yang dihasilkan kambing juga dikenal pasti berupaya untuk mengekalkan ketersediaan kalsium dalam darah yang tinggi tanpa menghalang penggunaan zat besi oleh badan.
Dari sudut vitamin dan zat-zat lain, susu daripada kambing mengandungi jumlah iodin yang lebih tinggi berbanding susu manusia. Ia juga membekalkan vitamin A dan niacin yang mencukupi, di samping vitamin-vitamin baik yang lain seperti thiamin, riboflavin dan juga asid pantotenik untuk bayi kecil. Bahkan, seorang bayi yang hanya diberikan susu kambing akan dibekalkan dengan lebihan dalam nutrisi dan zat seperti protein, kalsium, fosforus, vitamin A, thiamin, riboflavin, niacin dan juga asid pantetonik menurut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Susu daripada kambing mengandungi vitamin A yang lebih tinggi berbanding susu lembu kerana metabolisma kambing menukarkan semua β-carotene dalam makanan mereka kepada vitamin A. Untuk sebab yang sama, susu mereka lebih putih berbanding susu lembu. Malahan, jumlah vitamin A yang terdapat dalam susu kambing sama dengan kandungan vitamin A dalam susu badan manusia. Vitamin A penting dalam tindak balas sistem imun semula jadi (innate) dan juga sistem imun adaptif, termasuklah imuniti sel berperantara (cell-mediated immunity) dan tindak balas antibodi.
Mengandungi karbohidrat yang serupa dengan susu badan manusia
Oligoskarida, jenis karbohidrat yang lazim, merupakan komponen yang bermanfaat yang terdapat dalam susu badan manusia kerana sifat prebiotik dan antijangkitannya. Kajian mendapati susu yang dihasilkan oleh kambing, secara puratanya mengandungi 250 hingga 300mg/L oligosakardia, sekitar 4 hingga 5 kali ganda lebih tinggi berbanding yang terdapat dalam susu lembu dan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding susu kambing biri-biri. Walaupun kandungan oligosakarida tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan susu badan manusia (5–8 g/L), struktur kompleks oligosakaridanya adalah yang paling hampir dengan struktur oligosakarida yang terdapat dalam susu badan manusia. Untuk tujuan itu, susu daripada sumber kambing adalah sumber semula jadi terbaik untuk mendapatkan oligosakarida yang serupa dengan susu badan manusia, untuk diberikan kepada bayi.

Baik untuk kesihatan jantung
Susu kambing mempunyai pelbagai tindakan yang menjadikannya baik untuk kesihatan jantung anda dan juga bayi anda. Sebagai contoh, susu yang dihasilkan kambing mengandungi kandungan karnitin yang tinggi. Kandungan karnitin yang tinggi ini membantu untuk meningkatkan penghasilan tenaga daripada oksidasi asid lemak dan dengan cara ini juga, ia mengurangkan ketersediaan substrat yang berpotensi untuk menjalani proses peroksidasi lipid.
Tambahan lagi, bila dibandingkan dengan susu lembu, susu yang diperoleh daripada kambing mengandungi asid lemak mono tidak tepu (MUFA), asid lemak poli tidak tepu (PUFA) dan juga rantaian trigliserida sederhana (MCT) yang lebih tinggi. Kesemua sebatian yang disebut tadi adalah bermanfaat untuk mereka yang mempunyai keadaan kardiovaskular ataupun untuk mereka yang ingin mencegah daripada menghidapi keadaan-keadaan tersebut. Sebagai contoh, MUFA membantu untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan secara keseluruhan dan juga paras Lipoprotein berketumpatan rendah (LDL). Dalam masa yang sama, MUFA mengekalkan paras Lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) dalam badan. LDL digelar sebagai kolesterol jahat kerana ia bertindak sebagai pengangkut yang menghantar kolesterol daripada hati kepada salur darah. Kolesterol baik pula (HDL), dikatakan kolesterol baik kerana tindakannya yang membuang kolesterol dalam salur darah. Kandungan HDL yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit jantung akibat arterosklerosis yang lebih rendah.
Dari sudut kandungan kolesterol pula, susu daripada kambing mengandungi kandungan kolesterol keseluruhan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan susu lembu. Akhir sekali, susu kambing memberikan kesan perlindungan kepada jantung kerana ia bertindak mencetuskan kesan hipokolesterolemia dalam badan, dengan cara merendahkan paras trigliserida dalam plasma yang akhirnya membawa kepada kesan positif dalam metabolisma asid lemak.
Mengandungi pelbagai jenis antioksidan
Antioksidan adalah suatu unsur yang menyahaktifkan radikal bebas di dalam badan (free radicals). Radikal bebas ini terhasil oleh beberapa laluan metabolisma badan dan ia terjadi akibat ciri-cirinya yang tidak stabil. Radikal bebas ini juga berupaya untuk mencederakan sel, tisu badan dan juga salur darah. Vitamin C adalah antioksidan boleh larut dalam air yang cukup terkenal. Ia juga merupakan vitamin yang banyak terkandung di dalam susu kambing, lebih tinggi berbanding kandungan yang terdapat dalam susu lembu. Selain itu, ia juga mengandungi antioksidan lain seperti vitamin E. Antioksidan seperti vitamin C ini banyak mempengaruhi sistem imun termasuklah dalam kawalan sistem imun badan.
Sebagai rumusan, terdapat pelbagai manfaat kesihatan yang seseorang boleh nikmati apabila mereka mengamalkan pengambilan susu kambing. Kebanyakan daripada manfaat kesihatan ini datangnya daripada profil nutrisi susu yang dihasilkan kambing. Kandungan seperti vitamin dan mineral yang tinggi menjadikannya sumber vitamin yang cukup bagus. Di samping itu, bagaimana badan manusia menghadam susunya dan juga persamaan struktur khasiat mereka kepada komponen seperti karbohidrat yang terdapat dalam susu badan manusia, menjadikannya alternatif susu badan yang cukup baik. Jika anda risau atau tidak tahu bagaimana untuk memulakan pengambilan susu ini, dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen