home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Susu Kacang Soya Lebih Sihat Dan Bermanfaat Daripada Susu Lembu, Betul Ke?

Susu Kacang Soya Lebih Sihat Dan Bermanfaat Daripada Susu Lembu, Betul Ke?

Untuk kekal sihat, makanan bukan sahaja faktor yang perlu anda jaga. Minuman juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada tahap kesihatan seseorang secara menyeluruh.

Terdapat segelintir populasi yang memilih untuk mengambil susu vegan dalam merealisasikan gaya hidup sihat namun adakah ia lebih sihat daripada susu lembu? Ikuti artikel ini untuk maklumat selanjutnya.

Kenapa tak minum susu lembu, ya?

susu lembu

Sejak beribu tahun lamanya, susu lembu merupakan minuman sumber protein yang kerap diambil oleh penduduk di seluruh dunia. Ia dapat meningkatkan imuniti badan berikutan kandungannya yang kaya dengan protein seperti antibodi.

Kajian yang dibuat oleh Loss pada tahun 2015 telah mendapati bayi yang minum susu lembu mempunyai risiko demam dan jangkitan salur pernafasan yang rendah.

Jika ia mampu memberikan banyak kebaikan kepada kesihatan individu secara menyeluruh, mengapa ramai yang memilih untuk mengambil susu yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan seperti kacang soya, kacang almond, kelapa dan beras?

Berikut merupakan beberapa sebab yang sering dikaitkan dengan pemilihan susu vegan berbanding susu lembu:

  • Kebanyakan susu mengandungi patogen yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Jika tidak dipasteurkan dengan baik, bakteria seperti Salmonella dan Escherichia coli boleh merebak dan menyebabkan penyakit yang berkaitan
  • Kebanyakan bayi dan kanak-kanak mempunyai risiko untuk mengalami kesan alergi daripada pengambilan susu lembu. Namun kajian berskala besar Gray pada tahun 2014 telah mendapati bahawa 35% daripada populasi kanak-kanak tersebut berupaya untuk mengambil semula susu lembu pada usia 5 tahun dan ke atas
  • Intoleransi laktosa merupakan isu yang sering dikaitkan dengan pengambilan susu lembu. Susu tersebut kaya dengan laktosa justeru individu yang tidak mempunyai enzim laktase akan mengalami simptom seperti cirit-birit, kekembungan dan kekejangan abdomen
  • Pada tahun 2007, kajian oleh Qin telah mendapati pengambilan susu secara kerap boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser prostat. Dapatannya disokong oleh kajian yang dibuat oleh Song pada tahun 2013.

Pada tahun 2017, kajian yang dibuat oleh Sai Kranthi dan Vijaya telah mendapati bahawa cuma susu terpilih seperti susu kacang soya merupakan alternatif terbaik bagi menggantikan susu lembu.

Susu yang lain tidak mempunyai kalori yang cukup atau tidak mempunyai kepelbagaian nutrisi. Namun, kajian lanjut perlu dijalankan bagi melihat kesan pemprosesan susu alternatif ini terhadap rasa, tekstur dan nutrisi susu tersebut.

Susu vegan tidak semestinya lebih sihat daripada susu lembu

susu vegan

Menurut Dr Alexis Willet, penulis sains yang mempunyai doktor falsafah dalam bidang sains biomedikal, susu vegan tidak semestinya satu alternatif yang sihat.

Walaupun ia kebiasaannya diperbuat daripada bahan yang sihat seperti kekacang, majoriti bahan yang digunakan adalah air dengan kandungan kacang tersebut hanya setinggi 2.5 peratus.

Ini bermakna, berbanding dengan susu lembu, ia mempunyai kandungan kalori, protein dan lemak yang jauh lebih rendah berbanding dengan susu lembu.

Malahan, susu kacang soya seringkali dilihat sebagai alternatif sesuai. Ini berikutan hanya mengandungi 8g protein di dalam segelas 240ml susu berbanding dengan susu lembu yang mengandungi 8.4g protein.

Tambahan pula, susu vegan kebanyakannya ditambah dengan suplemen tambahan seperti vitamin B, D dan kalsium menjadikan ia sukar untuk diserap masuk ke dalam badan.

Susu vegan hanya mempunyai kadar serapan di antara 20 ke 30 peratus. Susu lembu pula mempunyai kadar serapan minimum 30 peratus.

Kolesterol dan penyakit jantung

susu vegan

Bahan tenusu seperti keju tidak lagi dilihat sebagai alternatif terbaik dalam mengekalkan tahap kesihatan yang optimum.

Ini berikutan kajian-kajian yang menunjukkan peningkatan lemak tepu dalam kandungan susu boleh menyebabkan kolesterol “jahat” dipanggil LDL meningkat. Ini merupakan jenis kolesterol yang sering dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular.

Namun, jika dilihat pada kandungan susu, ia tidaklah mengandungi lemak yang tinggi. Susu berlemak cuma mempunyai 3.5g lemak dalam 100g.

Jika dibandingkan dengan kek span Victoria (20g lemak dalam 100g) atau daging lembu cincang (20g lemak dalam 100g), kandungan lemaknya jauh lebih rendah.

Susu berlemak juga mengandungi suplemen lain yang dapat memberikan manfaat kepada tahap kesihatan jantung secara menyeluruh.

Antaranya adalah seperti vitamin A, kalsium dan peptida bioaktif. Komponen ini dapat membantu mengekalkan tahap kesihatan jantung.

Konklusi

Susu lembu masih merupakan sumber protein terbaik berbanding dengan susu vegan yang lain. Jika anda mempunyai alergi terhadapnya, alternatif kepadanya adalah susu soya dan susu kacang almond. Ia boleh digunakan untuk mendapat sumber protein dan mineral yang lain.

Mungkin ramai yang bilang susu vegan lebih baik. Namun hakikatnya, kajian lanjut perlu dijalankan bagi mengenal pasti pengaruh faktor lain dalam mempengaruhi kesihatan badan secara menyeluruh.

Baca juga:

health-tool-icon

Kalkulator BMR

Guna kalkulator pengambilan kalori ini untuk menentukan keperluan kalori seharian yang anda perlu, berdasarkan tinggi, berat, umur dan tahap aktiviti anda.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Why trendy plant milks are no healthier than cow’s milk according to DR ALEXIS WILLETT – a science writer with a PhD in biomedical science. (https://www.dailymail.co.uk/health/article-7648777/Why-trendy-plant-milks-no-healthier-cows-milk-according-DR-ALEXIS-WILLETT.html). Diakses pada 7 November 2019.
  2. How well do plant based alternatives fare nutritionally compared to cow’s milk? (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5756203/). Diakses pada 7 November 2019.
  3. Lactose intolerance 101 – Causes, Symptoms and Treatment. (https://www.healthline.com/nutrition/lactose-intolerance-101#section3). Diakses pada 7 November 2019.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 23/06/2020
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung