backup og meta

"Jangan Main Hujan Nanti Demam": Betulkah Petua Ini?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    "Jangan Main Hujan Nanti Demam": Betulkah Petua Ini?

    Sejak kecil, kita sering diingatkan oleh mak atau ayah bahawa main hujan boleh membuatkan kita demam dan selesema. Pernahkah anda terfikir apa kaitan antara main hujan dan demam? Adakah petua yang diwariskan dari nenek moyang kita ini benar?

    Mari lihat apakah sudut pandang sains perubatan moden mengenai perkara ini.

    Demam atau selesema biasa (common cold) disebabkan oleh virus

    Selesema yang kerap dialami oleh ramai individu setiap tahun disebut sebagai common cold dalam bahasa Inggeris. Mereka yang mengalaminya kebiasaannya mempunyai simptom ringan seperti demam, hidung berair, sakit tekak, bersin, dan batuk. Simptom ini selalunya tidak lebih dari seminggu.

    Pada tahun 1956, saintis menemui virus pertama yang menjadi punca selesema dalam kalangan manusia, iaitu rhinovirus. 30 tahun selepasnya, 101 serotip (jenis) virus yang sama berjaya dikenal pasti. Disebabkan serotip yang banyak inilah anda kerap mendapat selesema setiap tahun. Selepas dijangkiti satu serotip, jangkitan dari serotip lain pula menyebabkan simptom.

    Walaupun selesema biasa bukan satu penyakit yang serius, ia menjadi perhatian doktor dan penyelidik kerana ia boleh menjejaskan produktiviti tenaga manusia dalam sesebuah komuniti dan negara. Purata jangkitan rhinovirus dalam kalangan kanak-kanak prasekolah ialah 5 hingga 7 kali setahun, dan 2 hingga 3 kali setahun dalam kalangan dewasa. Bayangkan berapa banyak cuti sakit dan produktiviti boleh terjejas?

    Banyak lagi mikroorganisme (bakteria, virus, fungus) lain yang boleh menyebabkan demam dan selesema tetapi rhinovirus adalah punca paling kerap.

    Apa pula kaitan main hujan dan demam?

    Tidak ada kajian saintifik yang secara pasti menjelaskan kaitan antara dua perkara ini. Namun, beberapa kajian yang pernah dijalankan menyokong petua dari nenek moyang tersebut.

    Teori pertama mengatakan bahawa suhu badan yang sejuk membuatkan seseorang lebih berisiko dijangkiti virus. Oleh itu, air hujan yang sejuk boleh membawa kepada demam dan selesema. Air hujan itu sendiri tidak menyebabkan demam, tetapi suhu rendah meningkatkan risiko.

    Teori lain mendakwa bahawa air hujan di sesetengah kawasan menyebabkan pencemaran udara, lalu meningkatkan risiko jangkitan dan demam.

    Tiada satu kajian yang boleh mengesahkan semua teori dan dakwaan ini. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mendapatkan jawapan akhir.

    Adakah saya patut biarkan anak saya main hujan?

    Jangan jadikan risiko demam sebagai alasan untuk mengurung anak di rumah di musim hujan. Air hujan tidak menyebabkan demam, cuma mungkin meningkatkan risiko dalam sesetengah individu. Sekali-sekala, tidak salah untuk membiarkan kanak-kanak bermain di luar supaya mereka lebih terdedah kepada alam sekitar dan berani meneroka perkara baru.

    Menakutkan mereka hanya bakal membunuh rasa ingin tahu dan menyekat mereka dari proses pembelajaran.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan