Tambahan lagi, konsep makanan seimbang yang diketengahkan oleh PSM ini secara tidak langsung menyarankan hidangan yang rendah lemak, gula dan garam sejajar dengan Panduan Diet Malaysia, 2010.
Secara umumnya, inisiatif PSM ini sesuai untuk diguna pakai oleh golongan dewasa kerana ianya boleh membantu dalam pengurusan berat badan dan pencegahan penyakit kronik berkaitan dengan obesiti seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit kardiovaskular. Selain itu, PSM ini juga cukup versatil untuk digunakan oleh golongan yang mengamalkan diet vegetarian daripada pelbagai etnik.
Namun yang demikian, terdapat golongan tertentu yang mungkin tidak sesuai untuk mengambil PSM ini sebagai panduan hidangan mereka seperti mereka yang mempunyai penyakit atau keadaan kesihatan tertentu, wanita yang hamil dan juga ibu yang menyusukan anak. Bagi golongan ini, mereka disarankan untuk mendapatkan nasihat profesional kesihatan (sebaik-baiknya Pegawai Dietetetik atau Pakar Pemakanan) berkaitan dengan diet apa yang sesuai untuk diamalkan oleh mereka dan juga nutrisi apakah yang diperlukan dalam kuantiti yang lebih.
Bagaimana untuk mengambil makanan segera dengan cara yang lebih sihat?

Jika anda sampai ke bab ini, jelas sekali makanan segera memainkan peranan yang penting dalam hidup anda. Jika anda tidak mampu untuk mengelaknya, kurangkan kekerapan pengambilannya. Jika itupun merupakan sesuatu yang sukar, anda mungkin boleh cuba kaedah berikut.
Pastikan saiz hidangan kecil
Jika restoran makanan segera menawarkan beberapa saiz sandwich, pilihlah saiz hidangan yang paling kecil. Elakkan daripada mengambil menu burger yang mengandungi dua atau tiga patti daging lembu, kerana jumlah kalori dalam makanan segera seperti itu boleh menjadi hampir 800 kalori. Sebaliknya pilihlah burger biasa atau bersaiz kanak-kanak, yang mempunyai kira-kira 250 kalori. Penukaran dari segi saiz hidangan makanan segera ini sahaja boleh mengelakkan anda daripada memasukkan lebihan 200 hingga 300 kalori ke dalam tubuh badan anda. .
Memberi perhatian kepada penerangan dalam menu
Hidangan dilabel deep-fried, pan-fried, basted, batter-dipped, breaded, creamy, crispy, scalloped, atau au gratin biasanya tinggi dengan kalori, lemak yang tidak sihat, dan natrium. Sebaliknya, anda boleh memilih menu makanan segera yang disediakan dengan cara yang membabitkan kurang minyak dan penggunaan garam. Penyediaan yang lebih sihat lazimnya mampu untuk memberikan rasa hebat dan lazat yang sama, dengan penggunaan bahan-bahan yang tidak elok dalam kadar yang sangat sedikit.
Tumpukan perhatian anda kepada daging panggang
Elakkan makanan goreng dan dilapisi tepung roti, seperti sandwic ayam rangup dan filet ikan dilapisi tepung roti atau daging yang diproses seperti sosej, bacon, hot dog, atau ham. Sebaliknya pilih ayam belanda, dada ayam, atau daging lembu panggang. Memilih makanan yang disaluti dengan tepung yang tebal akan menyebabkan anda mengambil lebih banyak karbohidrat daripada sepatutnya.
Pilihan hijau
Pilih hidangan utama salad dengan ayam panggang, udang atau sayur-sayuran dengan sos bebas lemak atau rendah lemak, dan bukannya sos salad biasa. Kebanyakan kedai makanan segera kini meletakkan beberapa pilihan sayur dalam menu mereka. Pastikan walau apa pun hidangan anda, dapatkan satu hidangan yang berteraskan sayur-sayuran atau buah-buahan.
Anda juga boleh mengambil langkah untuk tidak mengambil tambahan seperti keju dan croutons, yang dengan cepatnya dapat meningkatkan jumlah kalori anda.
Perhatikan apa yang anda minum
Minuman berkarbonat yang sering kali disediakan adalah sumber besar gula dan kalori tersembunyi. Secara purata, pek minuman berkarbonat besar berupaya untuk mengandungi sekitar 300 kalori dan 19 sudu gula! Tambahan lagi, jangan mudah terpedaya dengan air limau dan minuman buah-buahan kerana minuman seperti ini biasanya telah ditambah dengan gula dan tidak mengandungi zat yang anda inginkan daripada buah-buahan. Sebaliknya, jadikan satu tabiat untuk memastikan anda meminum air mineral dengan hidangan anda.
Dengan pengambilan makanan yang lebih sihat dan mengubah sedikit cara anda mengambil makanan segera, anda berupaya untuk mengurangkan risiko anda untuk menghidap penyakit kronik.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen