8 Manfaat Minuman Probiotik Yang Mungkin Anda Tak Sedar, Bukannya Baik Untuk Usus Sahaja!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 08/07/2022

    8 Manfaat Minuman Probiotik Yang Mungkin Anda Tak Sedar, Bukannya Baik Untuk Usus Sahaja!

    Minuman probiotik memang terkenal kerana kebaikannya untuk sistem penghadaman tubuh. Tetapi tahukah anda sebenarnya banyak lagi kelebihan jika mengamalkan pengambilan harian susu probiotik?

    Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Pengambilan minuman probiotik

    Apabila menyebut perkataan bakteria, biasanya kita akan mengaitkannya dengan sesuatu yang negatif – virus dan penyakit berbahaya pada tubuh.

    Namun hakikatnya, wujud bakteria baik dan jahat dalam diri. Justeru, adalah penting untuk kita mengawalnya kerana jumlah bakteria berbahaya yang banyak boleh mengakibatkan penyakit.

    Jadi bagaimana untuk mengawal jumlah bakteria dalam tubuh? Caranya mudah!

    Dengan pengambilan minuman yang mengandungi probiotik. Ia berfungsi menambah bakteria baik dalam tubuh bagi membantu meningkatkan kesihatan usus dan mengembalikan keseimbangan bakteria badan.

    Baca juga:

    Memahami apa itu probiotik

    Probiotik adalah gabungan bakteria hidup dan yis yang secara semula jadi hidup dalam tubuh – berperanan melawan jangkitan dan membantu meningkatkan fungsi tubuh lain.

    Probiotik adalah sebahagian daripada mikrobiom – ‘komuniti’ organisma dalam badan yang memastikan kita sihat. Setiap komuniti terdiri daripada mikrob. Manakala mikrob pula terdiri daripada:

    • Kulat
    • Bakteria
    • Virus

    Setiap individu mempunyai mikrobiom yang berbeza, sebab itu anda perlu mengambil pelbagai suplemen untuk memberi manfaat kepada kesihatan.

    Mikrob perlu mempunyai ciri khusus untuk dilabelkan sebagai probiotik, iaitu:

    • Mempunyai manfaat
    • Bertahan dalam usus selepas dimakan
    • Selamat untuk dimakan

    Manfaat minum minuman probiotik

    Suplemen boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti pil atau ditambah ke dalam makanan, begitu juga dengan probiotik. Tetapi cara paling mudah adalah dengan meminumnya.

    Menambah minuman yang mengandungi probiotik dalam diet harian memberikan pelbagai kebaikan dalam jangka masa panjang.

    Selain membantu mengawal bakteria usus, ia juga:

    1. Mengatasi masalah kulit

    Masalah kulit berjerawat dan bintik hitam perkara yang paling tidak disukai. Ada kalanya ia sukar untuk ditangani.

    Dengan menjadikan minuman kaya dengan probiotik ini sebagai amalan, ia dapat membantu melawan bakteria punca jerawat.

    2. Meningkatkan sistem imun, kelebihan minuman probiotik

    Kesihatan usus adalah komponen penting dalam mempunyai sistem imun yang kuat. Jika sistem imun lemah, anda terdedah kepada pelbagai penyakit.

    minuman probiotik

    Berita baiknya minuman ini boleh menguatkan sistem ketahanan tubuh. Ia juga berperanan dalam melawan keradangan dan kerosakan radikal bebas, di samping meningkatkan penyerapan nutrien.

    Kesannya, anda mungkin akan kurang mengalami gejala selesema, flu, masalah kulit dan gangguan pencernaan.

    3. Mengurangkan risiko alahan atau sensitiviti makanan

    Apabila sistem imun bertambah kuat, ia akan menghalang usus bocor dan menutup saluran gastrousus.

    Probiotik adalah antara cara yang dapat membantu kerana ia mengurangkan alahan makanan serta gejala intoleransi laktosa.

    4. Susu probiotik boleh bantu menurunkan berat

    Lemak berfungsi memberikan tenaga, namun ada kalanya ia boleh kekal dan menjadi punca pertambahan berat badan.

    Apabila anda minum minuman probiotik, ia membuatkan anda berasa kenyang untuk tempoh lebih lama serta membantu mengurangkan lemak yang tersimpan dalam usus – dikumuhkan melalui najis – sekali gus membantu menurunkan berat.

    5. Merawat cirit-birit

    Pengambilan antibiotik akan mengganggu keseimbangan bakteria dalam usus, mengakibatkan anda terdedah dengan masalah cirit-birit.

    Oleh sebab probiotik kaya dengan bakteria sihat, ia dapat membantu bakteria usus kekal seimbang walaupun ketika sedang mengambil antibiotik.

    Mengamalkan minum probiotik juga membantu mereka yang mengalami cirit-birit yang bukan disebabkan antibiotik.

    minuman probiotik

    6. Minuman probiotik turut bermanfaat untuk kesihatan jantung

    Masalah kesihatan jantung seperti serangan jantung dan strok boleh mengancam nyawa.

    Dengan penambahan probiotik pada rejimen anda, kesihatan jantung akan meningkat, serta mewujudkan perlindungan tambahan terhadap penyakit jantung.

    7. Membantu kesihatan mental

    Kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Namun ada kalanya keadaan seperti kemurungan dan kegelisahan boleh menghalang kita daripada menjaga kesihatan mental dengan baik.

    Jika anda rajin minum susu probiotik, ia dapat membantu kesihatan tubuh secara keseluruhan, termasuklah kesihatan mental.

    Kelebihan & kekurangan susu probiotik

    Probiotik boleh…

    Menjadi pelengkap terbaik dalam rutin kecergasan. Jika kerap melakukan aktiviti senaman berat, anda mungkin menekan sistem imun dan menjadikan tubuh terdedah kepada jangkitan.

    Memandangkan probiotik boleh membantu menguatkan sistem imun, pengambilannya secara tetap boleh memberi manfaat kepada atlet dan mereka yang gemar bersenam.

    minuman probiotik

    Probiotik tidak boleh…

    Menghasilkan ‘keajaiban’ segera dalam sistem pencernaan. Jangan berharapkan dengan hanya minum sekali probiotik akan membantu membersihkan sistem usus anda selama seminggu.

    Sebaliknya, dengan pengambilan secara berkala, ia boleh membantu meningkatkan keteraturan sistem pencernaan, mengurangkan perut kembung dan memerangi masalah sembelit.

    Pentingnya minuman probiotik untuk kesejahteraan

    Kebanyakan virus dan penyakit yang kita hadapi selalunya datang daripada bakteria yang tidak seimbang dalam usus.

    Namun dengan mengamalkan minuman kaya probiotik ini ia akan membantu mengawal bakteria dalam usus dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

    Jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai kesesuaian pengambilan probiotik harian, berundinglah dengan doktor untuk lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 08/07/2022

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan