Keju: Khasiat Tersembunyi Di Dalamnya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Pernahkah anda menonton siri kartun kanak-kanak Tom & Jerry? Sudah pasti anda akan terhibur dan tertawa melihat gelagat si tikus Jerry yang cuba sedaya upaya untuk melarikan diri daripada si kucing Tom dalam usahanya untuk mendapatkan keju kegemarannya. Begitu gemar dia terhadap produk tenusu ini, bukan?

Bukan sahaja dalam kartun, ada juga individu yang sebenarnya sangat obses dengan keju. Sebut apa sahaja makanan yang berasaskan bahan ini seperti piza, lasagna atau sebagainya, sudah pasti mereka ini akan terliur. Rasanya yang berlemak memang sangat sesuai digunakan sebagai bahan penambah perasa dalam makanan.

Untuk pengetahuan anda, keju merupakan antara produk tenusu yang sihat dan penuh dnegan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Sayangnya, ramai individu takut untuk memakannya ekoran kandungan lemaknya yang tinggi. Namun begitu, mungkin mereka belum tahu bahawa ia sebenarnya membawa 1001 manfaat tersembunyi di dalamnya.

Selain rasanya yang sedap, sebenarnya terdapat beberapa khasiat tersembunyi di dalam produk tenusu ini. Ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

Apa itu keju?

Keju atau ‘queijo’ dalam bahasa Portugis adalah salah satu daripada produk tenusu yang mengandungi protein dan lemak daripada susu, biasanya susu lembu, kambing, kerbau atau biri-biri. Ia dihasilkan oleh penggumpalan bagi protein kasein susu. Kebiasaannya, susu tersebut akan dijadikan asid dan renet yang akan menyebabkan penggumpalan. Pepejal ini seterusnya akan dipisahkan dan dijadikan bentuk akhir. Anda juga perlu tahu bahawa ada sesetengah jenis keju yang mengandungi kulat, sama ada pada kulit luar sahaja ataupun keseluruhannya.

Di dunia ini terdapat ratusan jenis keju. Rasa, gaya dan teksturnya pula adalah berbeza bergantung kepada rasa asal susu haiwan yang digunakan. Ia juga bergantung kepada kandungan lemak mentega, spesies bakteria dan kulat serta pemprosesannya. Dalam pada itu, herba, rempah atau asap kayu juga boleh digunakan sebagai ejen-ejen penambah perisa. Untuk pengetahuan anda, warna kuning pada keju adalah hasib daripada penambahan bahan yang bernama ‘annatto’. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau digunakan sebagai bahan penambah perasa dalam makanan.

vitamin B untuk kanak-kanak

Jenis-jenis keju

Mozarella

Mozarella adalah berasal dari Itali dan sangat terkenal di persada dunia ekoran penggunaannya di dalam makanan yang dimakan oleh hampir semua individu yang hidup di planet ini iaitu piza. Ia sangat lembut dan boleh digunakan untuk eaktu yang singkat sahaja. Pun begitu, ia boleh tahan lebih lama jika dikendalikan dengan betul dan menggunakan bekas simpanan vakum. Akan tetapi, kebiasaannya ia akan digunakan sehari selepas penyediaannya sahaja untuk menjamin kualitinya.

Bagi penggemar produk tenusu ini, sudah pasti mereka akan memesan segala jenis makanan dengan keju tambahan. Lihat sahaja reaksi mereka apabila pesanan itu sampai. Mereka tentu akan menarik makanan tersebut untuk melihat keju yang melekat semakin memanjang. Nampak menyelerakan, bukan?

Bukan sahaja piza, kini mozarella juga digunakan dalam pelbagai variasai makanan termasuklah di restoran mamak. Di sana, anda akan dapati bahawa menu seperti ‘nan cheese mozarella’ mengungguli carta sebagai makanan yang paling banyak dipesan. Ia mungkin digunakan kerana ia amat mudah cair pada suhu yang tinggi serta mudah didapati di mana-mana pasaran kerana harganya yang juga berpatutan.

Parmesan

Parmesan juga adalah berasal dari Itali di daerah Parma dan beberapa kawasan yang lain. Keju terbaik daripada daerah ini dikenali dengan nama ‘Parmigiano-Reggiano’ dan ia merupakan satu pengiktirafan yang dikeluarkan oleh kerajaan Itali itu sendiri.

Keju yang diperbuat daripada susu segar ini sangat kaya dengan protein, karbohidrat, lemak dan zat besi. Ia juga tergolong dalam kumpulan keju keras kerana ia melalui proses pemeraman yang sangat panjang iaitu sehingga 2 tahun lamanya. Disebabkan itu, ia seringkali digunakan dalam bentuk parutan atau hirisan dan dicampur di dalam masakan. Sebagai contoh, lihat sahaja hidangan pasta. Keju yang biasanya ditabur di atasnya adalah jenis ini.

Cheddar

Cheddar adalah berasal dari sebuah perkampungan di England yang terletak di daerah Somerset. Ia dihasilkan daripada susu lembu dan juga sangat popular di serata dunia. Disebabkan itu, pasarannya sangat luas.

Ia akan mencapai tempoh matang apabila berusia 9 hingga 24 bulan. Ia juga mempunyai tekstur yang sangat rapuh dan mudah pecah. Disebabkan itu, ia tergolong dalam kumpulan keju separa-keras. Untuk pengetahuan anda, warna asalnya adalah kuning keputihan atau keemasan. Ia bergantung kepada sama ada terdapat atau tidak pewarna tambahan yang digunakan ketika pemprosesannya.

Bagi anda yang kurang mengenalinya, cheddar adalah jenis keju yang banyak dijual di pasar raya dengan bentuk yang nipis dan petak di dalam paket. Ia selalu digunakan di sebagai ‘topping’ pelbagai jenis makanan seperti roti dan biskut. Selain itu, ia juga sering digunakan di restoran makanan segera sebagai penambah perasa dalam produk mereka, terutamanya burger.  

Emmental

Emmental adalah berasal dari Switzerland dan merupakan salah satu daripada keju keras yang sangat popular di seluruh dunia. Bagi anda yang sedang membayangkan bentuknya, senang sahaja. Pernah lihat atau tidak siri kartun kanak-kanak popular, Tom & Jerry? Bentuknya adalah sama seperti gambaran keju yang selalu dikejar oleh si tikus Jerry sambil dikejar oleh si kucing Tom. Comel, bukan?

Uniknya, ia mempunyai lubang-lubang pada permukaannya. Selain bentuknya, rasanya juga unik dan diminati oleh ramai individu kerana ia sangat lembut dan mempunyai aroma yang sangat lazat.

Ia diperbuat daripada susu lembu dan proses pematangan pula akan dilakukan di ruang yang cukup dingin selama dua minggu lamanya. Selepas itu, ia akan dipindahkan ke ruangan yang lebih hangat selama enam hingga lapan minggu untuk melakukan proses fermentasi.

Ketika proses itu dijalankan, ia akan memerangkap gas karbon dioksida kerana ia tidak dapat keluar daripada kulit keju yang terlalu tebal. Lubang-lubang yang terbentuk padanya adalah hasil dari gas karbon dioksida ini.

 

Warnanya pula adalah kuning kecoklatan. Disebabkan sifatnya yang sangat mudah meleleh, ia sesuai untuk digunakan di dalam roti lapis bakar, burger, quiche atau foundue.

Edam

Edam adalah berasal dari sebuah kawasan yang bernama Edam di Belanda. Ia merupakan antara keju yang tertua, berusia sekitar tahun 1300 sehingga 1700. Keunikan keju ini adalah kerana ia disaluti dengan lilin paraffin pada bahagian luarnya serta mampu bertahan lama ekoran ia akan menjadi keras dari masa ke semasa.

Disebabkan itu, ia sangat sesuai digunakan oleh individu yang tinggal jauh di pedalaman atau yang sedang di dalam pelayaran kerana sifatnya yang boleh tahan lama. Pun begitu, ia selalu digunakan ketika teksturnya masih lagi kenyal dan rasanya yang lembut dan manis seperti kekacang. Ia akan mencapai usia matang sekurang-kurangnya 17 minggu disimpan. 

Gouda

Gouda juga adalah berasal dari Belanda dan namanya pula adalah bersempena dengan nama sebuah kota di Belanda. Ia diperbuat daripada susu lembu dan dipasarkan sebagai keju berwarna kuning yang popular di seluruh dunia.

Ia mengandungi 2 jenis iaitu gouda tua dan gouda muda. Yang tua rasanya sedikit pahit namun lebih berkrim dan berlemak. Ia agak keras dan sukar untuk dipotong dengan alat pemotong keju, tetapi dapat dipotong dengan pisau. Bagi gouda muda pula, rasanya lebih ringan namun mudah untuk dipotong dengan alat pemotong keju.

Sebenarnya terdapat banyak lagi jenis keju yang terdapat di dunia ini. Senarai di atas ini adalah antara jenis-jenis yang paling popular sahaja.

Fakta menarik mengenai keju!

Selain mempunyai ratusan jenis, ia juga sebenarnya mempunyai pelbagai fakta yang unik dan menarik untuk anda semua tahu!

#1. Tikus tidak begitu menggemarinya

Hakikatnya, kartun Tom & Jerry itu hanya menipu diri anda. Sebenarnya, jika anda menggunakan produk tenusu ini sebagai umpan perangkat tikus, ia hanya akan menyebabkan haiwan itu lari daripadanya.

Menurut kajian pada tahun 2006, tikus sebenarnya lebih gemarkan makanan yang manis dan bergula. Disebabkan itu, ia kurang tertarik kepada keju dan hanya akan memakannya jika ia sedang kelaparan.

#2. Anda boleh memakannya walaupun anda alah kepada susu

Kebanyakan individu yang mengalami intoleransi laktosa boleh makan keju yang kering dan lama seperti cheddar, parmesan, pecorino dan gouda. Bakteria yang terdapat di dalamnya mampu mengubah laktosa menjadi asid laktik, yang mana semua individu boleh makan.

#3. Usianya adalah sangat tua

Para pengkaji sejarah mencadangkan bahawa keju dicipta pada tahun 6000 SM. Pada tahun 2014, keju tertua di dunia telah ditemukan terkubur bersama sekelompok mumia di barat laut Cina oleh kumpulan ahli arkeologi Sweden. Mereka kemudiannya mendapati bahawa kubur itu telah wujud sekitar tahun 1615 SM lagi, menjadikannya ia adalah keju yang tertua di dunia. Lebih menarik, ia juga adalah bebas dengan laktosa.

#4. Ada jenis yang berbahaya untuk dimakan

Casu marzu, adalah sejenis keju tradisional Sardinia yang diperbuat daripada susu kambing biri-biri. Ia mempunyai hubungan yang agak aneh dengan European Union (EU) dan telah dianggap diwartakan sebagai berbahaya untuk dimakan kerana ia mengandungi berenga dan larva yang masih hidup dan mampu membahayakan kesihatan individu yang memakannya. Kini, ia dianggap sebagai makanan tradisional dan sangat sukar untuk ditemui.

#5. Ia mempunyai musimnya yang tersendiri

Seperti buah, keju juga mempunyai musimnya yang tersendiri, maksudnya, ia tidak akan ada sepanjang tahun. Keju yang diperbuat daripada susu lembu hanya akan mampu dihasilkan ketika lembu sedang memproses susu dan rasanya juga akan berbeza jika lembu tidak dapat sumber makanannya iaitu rumput yang cukup kuantiti dan bagus kualitinya.

Selain itu, ia juga sama seperti buah kerana ia mempunyai usia ‘matang’ atau ‘masak’. Jika anda membeli keju jenis camembert atau brie, anda perlu mengujinya terlebih dahulu dengan memicitnya secara perlahan-lahan. Jika terlalu keras, ia masih belum bersedia untuk dimakan.

#6. Keju paling busuk di dunia adalah berasal dari Perancis

Produk tenusu ini sememangnya terkenal dengan baunya yang kuat. Sebagai contoh, blue cheese adalah jenis yang memiliki bau, rasa dan tekstur yang sangat unik dan kuat. Sekumpulan pengkaji dari Bedfordshire University telah berjaya menemukan keju yang paling busuk di dunia yang pernah tercatat dalam sejarah iaitu Vieux Boulogne. Ia berasal dari Utara Perancik dan diperbuat daripada bir yang bereaksi dengan enzim di dalamnya. Disebabkan terlalu busuk, ia dilarang untuk dibawa di dalam pengangkutan awam di negara itu.

Khasiat tersembunyi di dalamnya

Orang dahulu mencipta keju bertujuan untuk memastikan masalah kebuluran dapat diselesaikan. Disebabkan sifatnya yang tahan lama dan mudah alih selain kaya kandungan lemak, protein, kalsium dan fosforus, ia sangat sesuai disimpan sebagai sumber makanan yang baik di dalam sebuah rumah. Berbanding susu, ia lebih padat dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Disebabkan itu, ia lebih bernilai untuk dijual di pasaran.

Kini, produk tenusu ini telah berevolusi sebagai salah satu daripada jenis makanan atau bahan penambah perasa yang sangat popular di seantero dunia. Pun begitu, timbul persoalan yang sering diutarakan iaitu, adakah keju ini makanan sihat yang sihat atau tidak?

Walaupun banyak yang meragukannya, keju sememangnya merupakan sejenis produk tenusu yang membawa kepada beberapa manfaat, antaranya:

#1. Mencegah penyakit

Ia mengandungi bahan yang dipanggil sebagai Conjugated Linoleic Acid. Bahan ini dapat membantu tubuh badan anda mencegah pelbagai jenis penyakit terutamanya penyakit-penyakit yang simptomnya ringan seperti demam, batuk atau selesema.

#2. Menambahkan berat badan

Ia adalah sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam usaha menambahkan berat badan. Ini kerana ia sangat kaya dengan protein, kalsium dan lemak yang berfungsi untuk menambahkan otot, lemak, berat serta kepadatan dan ketumpatan tulang. Jadi, ia sangat sesuai buat anda yang terlalu kurus dan ingin menambahkan berat badan sebagai ‘suplemen’ semulajadi.

#3. Mengekalkan kesihatan mata

Vitamin A yang terdapat di dalamnya memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan kesihatan mata yakni mengelakkan rabun dan menggalakkan penglihatan yang normal.

#4. Meningkatkan sistem imunisasi

Ada beberapa jenis keju seperti Blue, Swiss dan Cheddar adalah kaya dengan selenium dan antioksidan yang sangat penting untuk sistem imunisasi tubuh badan anda. Selain itu, vitamin B yang terdapat di dalamnya juga akan membantu meningkatkan sistem imunisasi serta mengekalkan fungsi tubuh badan.

#5. Baik untuk kulit

 

Disebabkan sifat semulajadi keju yang sangat kaya dengan vitamin B, ia adalah sangat baik untuk kulit untuk pertumbuhan sel baharu. Ini sekali gus akan menjadikan kulit lebih bersinar dan bercahaya

Seperti yang kita tahu, keju kaya dengan vitamin B. Ini menjadikan ia sangat baik untuk kulit kerana vitamin B amat diperlukan dalam pertumbuhan sel. Ini dapat mengeluarkan noda yang sekali gus menjadikan kulit bercahaya dan bersinar.

Konklusi

Konklusinya, keju adalah antara produk tenusu yang sangat sedap dan sudah sinonim dengan pelbagai masyarakat di dunia ini sebagai bahan penambah perasa makanan. Negara kita juga tidak terkecuali daripadanya. Lihat sahaja penggunaannya di dalam sajian seperti pisang goreng, burger, roti john, kuih cheese tart malahan juga di dalam air teh!

Selain itu, ia juga mengandungi 1001 khasiat yang tersembunyi terhadap kesihatan dan kecantikan individu. Oleh itu, apa lagi anda mahu takutkan? Walaupun ia mengandungi lemak yang tinggi, nutrien lain yang terdapat di dalamnya juga adalah vital buat kita. Jadi, tidak salah rasanya untuk sepotong keju setiap hari, bukan?

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda lebih mengetahui dan mengenali produk tenusu ini dengan lebih dalam lagi.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut