backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Selalu Rasa Pening & Pusing Kepala? Ini Mungkin Tanda Anda Ada Darah Tinggi, 'Check' Cepat!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 06/12/2023

Selalu Rasa Pening & Pusing Kepala? Ini Mungkin Tanda Anda Ada Darah Tinggi, 'Check' Cepat!

Hipertensi atau penyakit darah tinggi merupakan penyakit kronik yang sering didiagnosis dalam kalangan rakyat Malaysia. Faktor risiko seperti obesiti dan gaya hidup tidak aktif yang kian meningkat boleh menyumbang kepada terjadinya penyakit ini. Di dalam artikel ini, penulis akan membincangkan 5 simptom darah tinggi.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Jantung, sila dapatkannya di sini.

Perihal hipertensi

Jika anda tidak tahu apa itu tekanan darah sistolik atau diastolik, ia merupakan bacaan tekanan darah sewaktu ruang ventrikel di dalam jantung mengembang atau mengecut.

Bacaan sistolik mengukur tekanan darah sewaktu ruang ventrikel jantung mengepam darah ke seluruh badan. Bacaan diastolik pula merupakan ukuran tekanan darah sewaktu jantung berehat di antara degupan dan ventrikel diisi dengan darah.

Mereka yang mengalami tanda darah tinggi, kebiasaannya akan mempunyai bacaan tidak normal pada salah satu atau kedua-dua bacaan tersebut. Hipertensi bukanlah satu penyakit yang akan menyebabkan gejala secara serta-merta.

Kesannya kepada tubuh badan memakan masa yang panjang dan buat kebanyakan individu, mereka tidak mengalami apa-apa simptom atau tanda darah tinggi.

Bila anda dikatakan menghidap hipertensi?

Menurut Panduan Pengamalan Klinikal (CPG) Kementerian Kesihatan Malaysia, hipertensi merupakan keadaan kesihatan di mana terdapat kenaikan berterusan pada bacaan sistolik tekanan darah bersamaan dengan 140 mmHg atau lebih atau/dan kenaikan berterusan pada bacaan diastolik tekanan darah bersamaan dengan 90 mmHg atau lebih.

5 simptom darah tinggi yang tidak boleh diambil ringan

simptom darah tinggi

Bacaan tekanan darah anda melebihi bacaan normal

Seperti yang dibincangkan, sekiranya tekanan darah sistolik, diastolik atau kedua-duanya melebihi nilai bacaan normal yang disarankan oleh garis panduan CPG, ia merupakan petanda darah tinggi.  

Bacaan tekanan darah anda kebiasaannya ditulis dalam susunan sistolik, diastolik dan unit. Sebagai contoh 110/85 mmHg. 110 merupakan bacaan sistolik, 85 merupakan bacaan diastolik dan mmHg adalah unit kepada bacaan tekanan darah.

Apa yang anda perlu tahu adalah, tidak semua mesin pengukur tekanan darah menunjukkan bacaan dalam urutan sedemikian. Oleh itu, penting bagi anda untuk memastikan bacaan yang ditunjukkan merupakan bacaan yang betul. 

Jika anda mempunyai bacaan yang tidak normal pada salah satu atau kedua-dua nilai, apa yang perlu anda lakukan? Menurut garis panduan, untuk mendapatkan nilai yang betul, ukuran tersebut perlu dilakukan sebanyak dua kali pada dua waktu berbeza.

Anda juga perlu berehat sekurang-kurangnya 1 jam selepas melakukan aktiviti fizikal supaya ia tidak mempengaruhi bacaan tekanan darah.

Namun, penulis menggalakkan pembaca untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan fizikal jika anda khuatir akan bacaan tersebut.

Simptom darah tinggi – Penglihatan anda semakin kabur

simptom darah tinggi

Simptom darah tinggi boleh mempengaruhi fungsi salur darah di segenap tubuh. Salah satu daripadanya adalah salur darah pada bahagian mata. Salur darah tersebut terdedah kepada kerosakan dek tekanan darah tinggi berikutan saiznya yang kecil.

Jika tekanan darah tinggi sudah mula menampilkan dirinya melalui simptom penglihatan, ini bermakna keadaan kesihatan tersebut sudah mula untuk menjadi lebih serius.

Penglihatan kabur merupakan satu komplikasi hipertensi. Ia bukanlah simptom darah tinggi secara langsung, namun disebabkan oleh manifestasi hipertensi kebiasaannya secara senyap, ini mungkin tanda darah tinggi yang paling jelas dialami buat sesetengah pesakit sebelum didiagnosis. 

Jika tidak dirawat, perkara ini boleh menyebabkan komplikasi mata yang lebih serius termasuklah kebutaan.

Pening dan merasa tidak seimbang

Jika anda merasa pening, tidak semestinya mempunyai masalah tekanan darah tinggi. Namun, jika dibiarkan sahaja, ia boleh membawa padah. 

Hipertensi merupakan faktor risiko utama dalam terjadinya strok.

Jika anda merasai pening dan tidak seimbang secara tiba-tiba, segeralah berjumpa dengan doktor. Ini berikutan, selain daripada hilang keseimbangan badan, pertuturan tidak jelas dan sukar untuk berjalan, pening kepala juga merupakan gejala amaran strok.

Pening juga boleh disebabkan oleh pengambilan ubat-ubat tekanan darah tinggi. Ia merupakan kesan sampingan yang didokumenkan dan seringkali diberitahu kepada pesakit saat doktor ingin mempreskripsikan ubat-ubatan berkaitan.

Simptom Darah Tinggi: Mual dan muntah

simptom darah tinggi

Seperti pening kepala, mual dan muntah juga merupakan simptom darah tinggi tidak spesifik kepada masalah hipertensi. 

Ia berikutan oleh manifestasinya dalam pelbagai jenis penyakit lain. Contohnya, seorang wanita yang berada dalam lingkungan usia subur berasa mual dan muntah, pasti dianggap mengandung.

Sukar untuk ditentukan diagnosis kepada tanda seperti ini, namun jika ia berlaku kepada pesakit yang menghidap masalah darah tinggi, ia seringkali berlaku pada keadaan bahaya.

Krisis hipertensi merupakan keadaan di mana tekanan darah sistolik berada pada tahap 180 mmHg atau lebih atau tekanan darah diastolik berada pada tahap 120 mmHg atau lebih.

Keadaan ini kebiasaannya berlaku kepada pesakit yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi tidak terkawal.

Simptom lain seperti sakit dada, sakit kepala, keresahan, kesukaran untuk bernafas dan sawan merupakan simptom darah tinggi tidak terkawal yang mungkin juga merupakan manifestasi krisis hipertensi.

Sukar kencing

Menurut The American Heart Association (AHA), hipertensi merupakan punca kedua tertinggi kepada masalah kerosakan buah pinggang.

Ia merupakan komplikasi lewat yang boleh merendahkan kualiti hidup individu di samping mengganggu produktiviti harian kesan daripada keperluan untuk menghadiri rawatan dialisis secara kerap.

Apabila berlakunya hipertensi, salur darah yang membekalkan oksigen dan nutrisi penting kepada unit buah pinggang yang dikenali sebagai nefron tidak berfungsi dengan baik.

Ini akan menyebabkan kerosakan kepada unit tersebut dan kesannya, buah pinggang anda tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

Kesukaran untuk kencing merupakan tanda awal kepada keadaan kesihatan tersebut dan ia mungkin merupakan tanda darah tinggi tidak terkawal.

Konklusi

Jika anda mengalami mana-mana tanda darah tinggi yang tersenarai di atas, pastikan anda berjumpa dengan pakar kesihatan bagi mendapatkan rawatan susulan, pengesahan berkaitan dengan diagnosis anda.

Diagnosis penyakit tidak boleh dibuat berdasarkan simptom tertentu semata-mata kerana mungkin ada perkara lain yang mempengaruhi keadaan anda. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 06/12/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan