
Ubat darah tinggi terdapat pelbagai jenis dengan nama yang berbeza-beza.
Kadangkala, ia membuatkan ramai orang terkeliru dengan nama dan fungsinya.
Mengapa perlu banyak sangat ubat? Bolehkah satu ubat dikongsi dengan semua orang?
Bagi mengelakkan kekeliruan, mari lihat apa ubat-ubatan yang tersedia untuk tekanan darah tinggi.
Sebelum itu, anda boleh dapatkan maklumat tentang tekanan darah di sini.
Bagaimana ingin memilih jenis ubat?
Pilihan dibuat berdasarkan banyak faktor. Antaranya adalah:
- Tahap tekanan darah
- Kehadiran penyakit lain seperti jantung, buah pinggang dan diabetes
- Keberkesanan ubat mengikut individu
Di samping ubat-ubatan, gaya hidup dan pemakanan juga perlu dikawal untuk mendapatkan hasil yang optimum. Sila berbincang dengan doktor untuk maklumat lanjut.
Apakah pilihan ubat darah tinggi?
Ubat darah tinggi 1: Perencat ACE
Ia adalah sejenis enzim yang menukarkan angiotensin I kepada angiotensin II.
Apabila terbentuk, angiotensin II menyebabkan otot pada dinding saluran darah mengecut.
Ini menjadikan saluran darah sempit, seterusnya meningkatkan tekanan darah.
Perencat ACE berfungsi dengan menghalang aktiviti ACE daripada menghasilkan angiotensin II, seterusnya menuurunkan tekanan darah.
Tambahan pula, ubat ini turut melambatkan komplikasi tekanan darah tinggi melibatkan buah pinggang dan diabetes.
Kesan sampingan:
- Batuk
- Tekanan darah rendah
- Mudah penat
- Sakit kepala
- Tahap potassium darah meningkat
Antara contoh perencat ACE:
- Enalapril.
- Captopril.
- Ramipril.
Ubat darah tinggi 2: Penghalang reseptor angiotensin (angiotensin receptor blockers/ARBs)
Cara ARBs bekerja hampir sama dengan perencat ACE.
Jika perencat ACE menghalang penghasilan angiotensin II, ARBs pula menghalang angiotensin II daripada berfungsi ke atas reseptor angiotensin II.
Kesannya, saluran darah akan kembang dan tekanan darah dapat diturunkan.
Ini akan mengurangkan beban ke atas jantung.
Kesan sampingannya hampir sama dengan perencat ACE.
Antara contoh ARBs:
- Losartan.
- Valsartan.
- Irbesartan.
Ubat darah tinggi 3: Penghalang beta (beta blockers)
Ubat ini menghalang aktiviti hormon adrenaline dan noradrenaline ke atas reseptor beta yang berada pada organ-organ tertentu termasuk otot pada saluran darah.
Hormon ini membuatkan saluran darah mengecut.
Dengan menghalang reseptor beta, ubat ini membantu mengembangkan saluran darah serta menurunkan tekanan darah.
Dalam masa yang sama, ia juga mungkin menyebabkan saluran pernafasan mengecut.
Oleh sebab itu, pesakit asma tidak dinasihatkan mengambil penghalang beta.
Kesan sampingan:
- Penat
- Pening lalat
- Sesak nafas
- Mati pucuk
- Tekanan darah rendah
Antara contoh penghalang beta:
- Atenolol
- Labetalol
- Bisoprolol
4. Penghalang saluran kalsium (calcium channel blockers/CCBs)
Kalsium adalah elemen yang penting dalam fungsi otot.
Untuk membuatkan otot mengecut, kalsium akan masuk ke dalam sel-sel otot melalui saluran tertentu.
CCBs berfungsi mencegah kalsium masuk ke dalam otot dengan menghalang salurannya.
Keadaan ini akan mengurangkan kekuatan jantung mengepam darah, seterusnya mengurangkan tekanan darah.
Kesan sampingan:
- Tangan dan kaki bengkak (peripheral edema)
- Sembelit
- Sesak nafas
- Ruam
- Sakit kepala
Antara contoh CCBs:
- Amlodipine
- Diltiazem
- Verapamil
5. Diuretik
Diuretik atau juga dikenali sebagai pil air adalah antara ubat paling lama digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi.
Ia berfungsi ke atas buah pinggang dan membuatkan badan membuang lebih banyak air melalui air kencing.
Pengurangan cecair mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh jantung serta mengurangkan tekanan darah.
Pesakit yang mengambil ubat ini akan kerap ke tandas.
Kesan sampingan:
- Dehidrasi
- Tahap potassium darah rendah
- Tekanan darah rendah
- Mudah letih
- Gula darah naik
- Tahap asid urik naik
Antara contoh diuretik:
- Hydrochlorothiazide
- Furosemide
- Chlorthiadone
Ubat darah tinggi yang disebut di atas adalah sebahagian daripada pilihan yang paling kerap digunakan.
Terdapat juga ubat-ubatan lain seperti penghalang alpha, clonidine dan minoxidil.
Kebiasaannya, rawatan akan dimulakan dengan satu jenis ubat.
Jika tekanan darah masih tidak terkawal, kombinasi beberapa ubat mungkin diperlukan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.