Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit Tekanan Darah Tinggi didiagnosis?
Anda akan diminta untuk mengukur tekanan darah anda. Bacaan tekanan darah diukur dengan manset tekanan darah atau secara perubatan dikenali sebagai sphygmomanometer. Manset yang mampu mengembung akan dibalut di lengan atas, dan dikembungkan sehingga ke tekanan yang lebih tinggi daripada tekanan darah sistolik anda yang diketahui. Kemudian semasa manset dikecutkan semula, bunyi pertama yang terhasil pada stetoskop menunjukkan tekanan darah sistolik. Apabila bunyi tersebut mula hilang sepenuhnya, tekanan semasa yang dibaca adalah tekanan darah diastolik. Jika bacaan anda tinggi, lawatan susulan diperlukan untuk mengesahkan keadaan anda.
Perlu diingati bahawa sesetengah pesakit mungkin mengalami tekanan darah tinggi hanya apabila mereka berada di bilik doktor. Ini dikenali sebagai hipertensi kot putih. Doktor anda mungkin memerlukan anda untuk mengukur tekanan darah anda di rumah untuk menghapuskan kemungkinan ini.
Bagaimana pesakit Tekanan Darah Tinggi dirawat?
Bergantung kepada keadaan badan anda, doktor anda akan mengesyorkan pelbagai pelan rawatan, yang termasuk ubatan, perubahan gaya hidup dan kegiatan alternatif yang lain:
- Ubat: Pilihan ubat boleh meliputi ubat diuretik, perencat ACE (ACEi), penyekat reseptor Angiotensin II (ARB), penyekat beta (beta blocker), penyekat saluran kalsium (CCB), perencat renin langsung. Ubat-ubatan lain untuk tekanan darah tinggi, termasuklah penyekat alfa (alpha blocker) dan vasodilator. Doktor anda biasanya akan memilih dos ubat yang rendah terlebih dahulu. Sekiranya tidak berkesan, peningkatan dos atau rawatan kombinasi boleh digunakan.
- Perubahan gaya hidup: ini boleh termasuk diet yang sihat dan jadual bersenam.
- Kegiatan alternatif: akupunktur, kaedah biomaklum balas, pernafasan berpandukan alat, meditasi, pengurusan tekanan dan kerehatan, serta senaman yoga.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Tekanan Darah Tinggi?
Di samping itu, gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut pula mungkin membantu anda dalam mengatasi tekanan darah tinggi:
- Diet yang sihat: memilih diet sihat yang kaya dengan bijirin, buah-buahan, sayuran, produk rendah lemak dan daging tanpa lemak. Hadkan natrium, lemak, dan pengambilan minyak anda.
- Tabiat minum yang bijak: elakkan alkohol dan kafein.
- Bersenam secara kerap: cuba melakukan aktiviti fizikal intensif setiap hari, sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
- Kekal positif dan gembira.
- Pemeriksaan yang kerap: pemantauan kendiri terhadap tekanan darah anda di rumah dan menghadiri pemeriksaan biasa anda di hospital. Pemeriksaan menyeluruh badan dapat membantu anda mengenal pasti faktor risiko dengan lebih awal dan tepat.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen