home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Normal Jika Wanita Hamil Muntah, Tapi Apa Punca Lain Muntah Tiba-tiba?

Definisi|Simptom|Punca|Faktor risiko|Diagnosis dan rawatan|Pencegahan
Normal Jika Wanita Hamil Muntah, Tapi Apa Punca Lain Muntah Tiba-tiba?

Ingin tahu apa sebab muntah dan simptom muntah? Teruskan membaca artikel ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

Definisi

Apa itu muntah?

Muntah adalah refleks luar kawalan untuk menolak keluar kandungan dalam perut melalui mulut.

Muntah sering berlaku bersama rasa mual.

Dalam sesetengah kes, muntah boleh dilakukan dengan sengaja untuk mengeluarkan kandungan beracun dari dalam badan.

Terdapat banyak sebab muntah.

Cara terbaik untuk merawat muntah adalah dengan merawat sebab muntah terlebih dahulu.

Apakah kebarangkalian ia berlaku?

Muntah adalah simptom yang sangat biasa berlaku tidak mengira umur atau jantina.

Muntah sering berlaku bersama mual.

Muntah selalu berlaku pada wanita yang hamil pada awal kehamilan, pesakit yang mengalami migrain atau keracunan makanan.

Muntah juga merupakan kesan sampingan lazim bagi rawatan kimoterapi untuk pesakit kanser.

Simptom

Apakah simptom muntah?

sebab muntah

Muntah adalah tanda dan simptom bagi pelbagai jenis keadaan.

Beberapa tanda dan simptom yang boleh berlaku bersama muntah termasuklah:

  • Mual
  • Sakit abdomen
  • Cirit birit
  • Demam
  • Pening kepala
  • Vertigo
  • Nadi pantas
  • Peluh berlebihan
  • Mulut kering
  • Kurang kencing

Terdapat beberapa simptom serius boleh berlaku bersama muntah termasuklah:

  • Sakit dada
  • Sakit abdomen
  • Pengsan
  • Kebingungan
  • Tidur berlebihan
  • Muntah darah

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas.

Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang sesuatu simptom, sila berjumpa doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Muntah adalah perkara biasa dan sering dikaitkan dengan masalah perubatan.

Oleh itu, penting bagi anda untuk menghubungi doktor atau ke pusat kecemasan jika muntah anda bersama simptom di bawah:

  • Sakit dada
  • Sakit abdomen atau kejang yang teruk
  • Kabur pandangan
  • Pengsan
  • Kebingungan
  • Rasa dingin, pucat
  • Demam panas
  • Tengkuk tegang
  • Berbau najis ketika muntah

Punca

Apakah sebab muntah?

Terdapat banyak faktor dan keadaan yang menjadi sebab muntah.

Faktor dan keadaan tersebut termasuklah:

  • Gastroenteritis: Ini adalah radang (kemerahan, bengkak) lapisan perut yang boleh menyebabkan muntah. Penyakit usus seperti usus tersumbat, serangan hempedu, ulser perut dan apendisitis antara punca yang lebih serius
  • Akibat ubat: ubat seperti ubat kimoterapi, kodeina, morfin dan antibiotik sering menyebabkan mual dan muntah
  • Masalah psikologi berkaitan stres: Hal ini termasuklah bulimia nervosa, masalah kecelaruan makan. Perkara ini terjadi apabila individu tersebut muntah secara sengaja untuk mengeluarkan makanan yang dimakan bagi mengelakkan naik berat badan

Faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko sebab muntah berlaku kepada saya?

Anda mungkin berisiko untuk muntah jika anda hamil terutamanya ketika beberapa bulan pertama kehamilan (mabuk hamil) atau jika anda mengalami masalah pencernaan dan perut.

Ini termasuklah keracunan makanan, pencernaan tidak sempurna dan penyakit hempedu.

Pesakit kanser juga berisiko untuk muntah.

Ini merupakan kesan sampingan biasa untuk rawatan kimoterapi dan terapi radiasi.

Sesetengah individu yang mengalami mabuk kenderaan juga berisiko tinggi untuk muntah.

Kawal faktor risiko anda dan ambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko muntah.

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

sebab muntah

Bagaimana pesakit didiagnosis?

Doktor akan melakukan diagnosis melalui pemeriksaan fizikal dan mungkin memerlukan ujian darah, ujian air kencing dan x-ray.

Sesetengah doktor mungkin akan memeriksa sampel muntah anda untuk mengetahui puncanya.

Bagaimana pesakit dirawat?

Rawatan untuk muntah bergantung kepada punca muntah.

Kunci utama adalah untuk kekal hidrasi dengan menggantikan cecair dan elektrolit (bahan istimewa yang mengawal keseimbangan cecair di dalam badan).

Broth jernih atau larutan oral glukosa-elektrolit istimewa digunakan.

Simptom yang teruk mungkin memerlukan rawatan hospital dan cecair intravena.

Antibiotik boleh membantu mengubati jangkitan bakteria tetapi bukan untuk jangkitan viral.

Antacid, pengambilan tanpa preskripsi ubat penyekat histamin-2 (H2) dan perencat pam proton seperti omeprazol membantu mengawal simptom gastritis yang ringan.

Serangan hempedu, apendisitis dan usus tersumbat kebiasaannya memerlukan rawatan hospital dan pembedahan.

Sila berbincang dengan doktor untuk mengetahui rawatan yang terbaik untuk anda.

Pencegahan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani sebab muntah?

Berikut merupakan perubahan cara hidup dan kaedah rawatan sampingan yang dapat membantu anda menangani muntah:

  • Minum air sahaja jika anda banyak kali muntah. Mulakan dengan diet mudah hadam terlebih dahulu, sekiranya boleh. Kemudian, perlahan-lahan bertukar ke diet yang normal
  • Ambil ubat anda seperti yang disuruh oleh doktor dan ahli farmasi anda
  • Jika anda mengalami mabuk kenderaan, cuba untuk bersandar di tempat duduk dan perlahan-lahan menarik nafas dalam apabila anda menaiki kereta, bot atau kapal terbang. Cuba untuk duduk di tempat yang kurang bergerak
  • Rehat di katil yang berdekatan dengan kamar mandi atau letak besen besar di sebelah anda
  • Laporkan kepada Jabatan Kesihatan yang berdekatan jika ramai yang sakit selepas makan di majlis yang sama untuk membantu mencari punca jangkitan tersebut
  • Masak, urus dan simpan makanan dengan baik
  • Basuh tangan anda selepas menggunakan tandas dan ketika menyediakan makanan. Pastikan kebersihan kawasan dan alatan memasak

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Nausea and Vomiting. http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/physicalsideeffects/nauseaandvomiting/nauseaandvomiting/nausea-and-vomiting-causes. Assessed July 13, 2016.

Pagana, Kathleen D, and Timothy J. Pagana. Mosby’s Manual of Diagnostic and Laboratory Tests. St. Louis, Mo: Mosby/Elsevier, 2010. Print edition. Page 127.

Porter, Robert. Kaplan Justin. Homeier Barbara. The Merck manual home health handbook. New Jersey: John Wiley & Sons, Inc, 2009.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fariha Zakaria Disemak pada 28/05/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor