Apa yang akan terlintas di fikiran anda saat terdengar atau terbaca nama ‘jagung’? Kebanyakan individu mungkin akan menjawab warnanya yang kuning dan rasanya yang manis. Selain itu, kebanyakan individu juga mungkin akan beranggapan bahawa ia adalah pengganti nasi yang sangat bagus dan ia adalah sumber karbohidrat yang baik untuk membantu individu kenyang lebih lama.
Walaupun ia adalah sejenis sayur yang terkenal dengan sifat semulajadinya yang boleh dimakan begitu sahaja, jagung mungkin dikecualikan daripadanya. Persoalannya, adakah tumbuhan ini boleh dimakan mentah?
Sama ada direbus, dibakar atau dimasak bersama makanan lain, jagung adalah salah satu sumber karbohidrat yang sangat mudah diolah menjadi apa-apa sajian sekalipun. Pun begitu, kebolehannya untuk dimakan begitu sahaja adalah sangat dikhuatiri.
Menurut laman sesawang Very Well Fit, ia boleh dimakan begitu sahaja! Ia sebenarnya memiliki rasa yang sangat manis dan tekstur yang renyah saat dikunyah. Ia juga mengandungi nutrisi seperti serat, protein, vitamin B, vitamin C, magnesium, kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium dan juga zink.
Selain itu, tumbuhan ini juga mengandungi karotenoid, iaitu zat antioksidan pemberi warna kuning pada buah-buahan dan juga sayur-sayuran. Untuk pengetahuan anda, bahan kimia ini sebenarnya sangat penting untuk penjagaan mata anda.
Oleh itu, anda tidak perlu terlalu bimbang mengenainya. Anda boleh makan ia begitu sahaja atau mencampurkannya secara mentah ke dalam salad kegemaran anda. Ataupun, anda juga boleh memasukkannya ke dalam sup yang telah siap dimasak. Jika anda seorang yang lebih kreatif, cuba pelbagaikan kegunaan tumbuhan ini ke dalam aneka menu anda.
Masih ada risikonya!
Pun begitu, makan tumbuhan ini secara mentah masih ada risikonya. Di sebalik timbunan nutrisi yang terdapat di dalamnya, memakannya secara mentah juga boleh mendatangkan risiko masalah pencernaan. Ini disebabkan oleh kewujudan pelbagai jenis bakteria yang sangat sukar meninggalkan buah-buahan dan sayur-sayuran, terutamanya jika ia tidak dicuci dengan sebersihnya.
Sebagai contoh, ia mungkin mengandungi bakteria-bakteria seperti E-coli, Salmonella atau Listeria. Ia mungkin berasal dari tempat tumbuhan ini ditanam, atau sumber air yang dipakai untuk membersihkannya, atau peralatan yang digunakan adalah kotor dan telah dicemari dengan bakteria.
Jawapannya, anda boleh memakannya secara mentah asalkan anda membersihkannya terlebih dahulu dengan baik dan diyakini telah hilang segala bakteria yang terdapat padanya.

Selamat atau tidak makan ‘popcorn’?
Siapa sahaja yang tidak menyukai mengunyah bertih jagung atau ‘popcorn’ sambil menonton panggung wayang, bukan? Majoriti individu mungkin akan beranggapan ia adalah satu kewajipan dan ada juga yang akan memakannya walaupun bukan ketika menonton wayang. Pun begitu, ada pendapat yang mengatakan bahawa ia boleh menyebabkan kanser. Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini?
Apakah itu ‘popcorn’?
Ia adalah makanan ringan yang diperbuat daripada jagung dan yang dilengkapi dengan gabungan rasa manis dan masin dan ya, ia memang sangat enak untuk dimakan lebih-lebih lagu buat anda yang gemarkan makanan berlemak. Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai individu yang menyukainya.
Adakah benar makan ‘popcorn’ boleh menyebabkan kanser?
Sebenarnya, bukan jagung yang merupakan bahan utama dalam pembuatan ‘popcorn’ yang menjadi punca penyakit kronik seperti kanser ini berlaku. Hakikatnya, bahan kimia perfluorinated (PFC) yang terkandung di dalam resepi pembuatan snek ini yang merupakan punca utamanya.
Kebanyakan ahli perubatan berpendapat bahawa ketika bahan kimia ini yang telah dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro, PFC akan terurai menjadi asid perfluorooctanoic (PFOA). Asid ini kemudiannya akan memasuki aliran darah dalam tubuh badan sehingga ia menjadi punca pertumbuhan dan pengembangan sel-sel kanser dalam tubuh badan.
Para pengkaji dari C8 Science Panel pula mencuba mencari kebenaran antara hubungan PFOA ini dengan risiko kanser atau pelbagai penyakit lain. Mereka menggunakan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Virginia, Amerika Syarikat dengan mengkaji kesan pendedahan PFOA terhadap kesihatan mereka. Hasilnya, pendedahan jangka panjang PFOA ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang ketara bagi kes kanser testis dan kanser ginjal bagi populasi individu yang mendiami kawasan tersebut.
Antara penelitian yang lain adalah PFOA yang terdapat dalam ‘popcorn’ sebenarnya adalah lebih berbahaya jika ia telah dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro berbanding yang tidak dipanaskan di dalamnya.
Ia masih boleh dijadikan snek kegemaran anda
Pun begitu, anda tidak perlu terlalu risau kerana ia masih boleh dimakan kerana kebenaran PFOA ini masih memerlukan banyak lagi kajian yang lain untuk mengukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa ia adalah berbahaya dan boleh mengakibatkan kanser.
Selain itu, Food and Drug Administration (FDA) sudah mengambil pelbagai langkah dengan melarang penggunaan PFC dan PFOA dalam segala produk makanan yang diperbuat di Amerika. Selain itu, mereka juga sudah mula mengharamkan penggunaan diacetyl yang juga berbahaya buat kesihatan manusia.
Jadi, adakah ia akan mengakibatkan kanser? Jawapannya adalah tidak sekiranya ia tidak mengandungi bahan-bahan berbahaya seperti PFC dan PFOA ini. Oleh itu, sebagai pengguna, cuba kenali produk-produk ‘popcorn’ yang anda ingin beli dan makan terlebih dahulu.
Ia boleh dibuat sendiri oleh anda di rumah
Jika anda seorang penggemar snek ini, sudah pasti anda akan berasa sedih dan takut kerana ia mungkin tidak selamat buat anda. Namun begitu, usah anda berasa kecewa kerana kini penggunaan bahan kimia yang dikhuatiri sebagai penyebab kanser berlaku itu seperti PFC dan PFOA tidak lagi boleh digunakan dalam industri pembuatan makanan.
Ya, ini mungkin akan membuat anda berasa lega dan boleh kembali menikmati kesedapan ‘popcorn’ sambil menonton filem kegemaran anda. Pun begitu, buat anda yang masih gusar, terdapat satu lagi alternatif yang lain jika anda masih mahu makan snek kegemaran anda ini. Alternatifnya adalah buat sendiri ‘popcorn’ di rumah.
Ia sudah tentu sahaja tidak akan mengandungi sebarang bahan kimia seperti PFC dan PFOA yang anda sendiri tahu berisiko menyebabkan kanser. Selain itu, ia juga lebih mudah menepati cita rasa dan selera anda, bukan?
Dalam pada itu, caranya juga tidaklah sesukar yang anda sangkakan. Hanya menggunakan isi jagung, minyak zaitun, karamel dan juga mentega. Jika anda mahukan rasa yang lebih unik, cuba tukar bahan-bahan tersebut dan bersikap lebih kreatif ketika membuatnya.
Sebagai contoh, sekiranya anda seorang yang sangat gemarkan rasa manis, cuba tukar minyak zaitun tersebut dengan madu. Sudah pasti rasa manis itu akan lebih kuat dan kena dengan lidah anda. Dalam pada itu, anda juga boleh tambahkan keju, coklat atau apa sahaja bahan yang anda rasakan sesuai untuk anda.
Konklusi
Konklusinya, jagung adalah satu tumbuhan yang sangat unik. Ia sangat dikenali di persada dunia dengan warnanya yang kuning dan rasanya yang manis. Namun begitu, anda perlu tahu tidak semua warna, rasa dan tekstur setiap jenis jagung adalah sama kerana ia mempunyai pelbagai jenis.
Buat anda yang risau sama ada ia boleh dimakan mentah atau tidak, jangan risau. Jawapannya adalah boleh asalkan anda membasuhnya dengan teliti. Buat anda yang khuatir sama ada bertih jagung boleh menyebabkan kanser juga tidak perlu risau kerana belum terdapat sebarang bukti kukuh yang menyokong dakwaan ini.
Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda untuk lebih mengenali tumbuhan jagung serta dapat mengetahui mengenai sebarang permasalahan yang melibatkannya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen