Air kosong sememangnya merupakan minuman yang paling baik untuk kesihatan jantung. Pun begitu terdapat juga 7 minuman kesihatan untuk jantung yang boleh anda amalkan.
Teruskan membaca perkongsian artikel Hello Doktor ini untuk mengetahui lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Menjaga kesihatan jantung melalui minuman
Selalunya, apabila bercakap mengenai penjagaan jantung, pastinya ia akan melibatkan aspek pemakanan, betul tak?
Dan apabila berkaitan minuman yang menyihatkan jantung, hanya air kosong yang terlintas di fikiran.
Ini kerana tubuh amat memerlukan air. Bahkan kebanyakan organ utama terdiri daripada air, termasuklah, jantung.
Sebahagian besar tindak balas kimia yang berlaku dalam sel tubuh juga memerlukan air. Ia juga membantu darah membawa nutrien ke seluruh badan.
Tetapi adakah terdapat pilihan air yang lain?
7 minuman kesihatan untuk jantung
Sebenarnya selain daripada air kosong sebagai pilihan utama dalam keperluan cecair harian kita, terdapat minuman lain yang boleh diamalkan.
#1 Air buah sitrus
Menambah potongan buah sitrus seperti lemon atau oren yang tinggi nutrien ke dalam minuman bermanfaat untuk jantung. Ini kerana, ia mengandungi antioksidan flavonoid yang baik untuk jantung.
Pengambilan jus sitrus sebagai minuman kesihatan untuk jantung setiap hari turut membantu menurunkan tahap tekanan darah – faktor risiko penting untuk penyakit jantung.
Kekal hidrat penting untuk fungsi jantung, dan jika dehidrasi, ia berisiko meningkatkan masalah kardiovaskular, termasuklah strok.
#2 Susu
Susu rendah lemak atau susu soya juga merupakan minuman alternatif yang baik dalam menjaga jantung.
Jika memilih susu soya, sebaiknya dapatkan yang diperkaya dengan kalsium.
#3 Jus delima, antara minuman kesihatan untuk jantung
Buah delima adalah buah yang baik untuk jantung.
Antioksidan istimewa di dalamnya membantu mencegah pengerasan dan penyempitan arteri yang membawa darah ke jantung.
Selain dapat menurunkan tekanan darah, buah ini turut dilengkapi dengan polifenol – mikronutrien yang membantu menurunkan keradangan dan merangsang peredaran darah.
#4 Teh
Merupakan minuman yang dapat mengurangkan risiko strok, beberapa barah dan penyakit jantung.
Ia mengandungi fitonutrien – bahan kimia tumbuhan – dikenali sebagai flavonoid yang terbukti baik untuk kesihatan jantung dengan mengurangkan keradangan dan penumpukan pada arteri.
Teh hijau dan hitam turut mengandungi jumlah kafein lebih sederhana daripada kopi dan boleh dijadikan pilihan yang baik bagi individu yang sensitif dengannya.
#5 Kopi
Dianggap minuman kesihatan untuk jantung kerana mereka yang minum antara 3 hingga 5 cawan sehari menunjukkan risiko penyakit jantung, strok dan kegagalan jantung lebih rendah.
Situasi itu disebabkan kandungan kafein dalam kopi, bersifat antioksidan dan antiradang.
Namun sebaiknya hadkan pengambilan kopi harian anda kerana meminumnya dengan terlalu banyak boleh menyebabkan kegelisahan.
Elakkan juga menambah krimer tinggi lemak tepu, gula dan kalori kosong, okay?
Minuman kesihatan untuk jantung #6 Jus tomato
Jus tomato kaya dengan vitamin dan mineral yang membantu melawan penyakit jantung.
Ia tinggi vitamin C dan E, zat besi, magnesium dan kalium – diperlukan tubuh untuk memastikan aliran darah dan menyingkirkan natrium tambahan.
Merupakan sumber likopen luar biasa – antioksidan yang membantu menguatkan arteri, mengurangkan kolesterol dan risiko penyakit jantung.
#7 Teh matcha
Merupakan sejenis teh hijau yang mengandungi kadar epigallocatechin gallate (EGCG) tinggi – sebatian polifenol dalam teh yang mempunyai sifat antioksidan dan antiradang kuat.
Dianggap sebagai minuman kesihatan untuk jantung terbaik kerana EGCG membantu mencegah aterosklerosis – penumpukan zat berlemak pada dinding arteri dan dapat mengurangkan kerosakan sel.
Baca juga: