backup og meta

Usia MUDA Turut Berisiko Kena Penyakit Jantung! Ini Cara Pencegahan Ikut Umur, Cubalah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/01/2022

    Usia MUDA Turut Berisiko Kena Penyakit Jantung! Ini Cara Pencegahan Ikut Umur, Cubalah!

    Selalu disindir apabila anda sibuk mencari cara mengelakkan penyakit jantung walaupun masih muda? Hakikatnya seseorang itu tidak pernah terlalu muda atau tua untuk menjaga jantung.

    Mencegah penyakit jantung (dan semua penyakit kardiovaskular) bermakna anda perlu melakukan pilihan bijak untuk kesejahteraan kesihatan pada masa hadapan.

    Jom ketahui cara penjagaan mengikut usia anda!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Cara mengelakkan penyakit jantung pada usia 20-an

    Mula menjaga jantung sedari awal dapat mengurangkan risiko penyakit ini. 

    Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala termasuklah memeriksa tekanan darah, kadar kolesterol, degupan jantung, gula dalam darah dan indeks jisim badan.

    Dapatkan nasihat doktor mengenai diet dan amalan gaya hidup yang seimbang.

    Pastikan anda juga melakukan pemeriksaan gula dalam darah jika sedang hamil, mempunyai berat badan berlebihan atau menghidap diabetes. 

    Mengetahui tahap glukosa membolehkan anda membuat jangkaan kemungkinan perubahan pada masa mendatang.

    cara mengelakkan penyakit jantung

    Kekal aktif secara fizikal. Ia adalah lebih mudah untuk menjadi aktif dan mengekalkannya jika bermula pada usia muda.

    JANGAN merokok dan elakkan daripada menjadi perokok kedua atau pasif!  

    Jika anda merokok sejak remaja, sudah tiba masanya untuk berhenti merokok sebagai cara mengelakkan penyakit jantung.

    Terdedah kepada asap rokok sahaja sudah cukup meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan serius.

    Menjaga jantung di usia 30-an

    Sibuk menguruskan keluarga dan kerjaya menjadi punca kebanyakan individu dewasa terlupa untuk menjaga jantung mereka.

    Jangan risau, ada cara untuk mengimbangkannya. Jadikan kehidupan sihat sebagai acara keluarga. 

    Ajaklah anak melakukan aktiviti riadah di taman berhampiran. Anda boleh bercucuk tanam di halaman rumah serta lakukan aktiviti memasak bersama-sama.

    Ambil tahu mengenai sejarah kesihatan keluarga, jika ada yang pernah mengalami masalah berkaitan jantung.

    Jika ada, maka anda perlu lebih fokus untuk menjaga jantung dengan mengekalkan berat seimbang, bersenam secara teratur, tidak merokok dan mengamalkan pemakanan sihat. 

    Pastikan anda juga mengawal tekanan. Ini kerana tekanan jangka panjang boleh menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung dan tekanan darah yang boleh merosakkan dinding arteri.

    Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah penyakit jantung dalam keluarga anda, okay?

    Baca juga:

    Cara mengelakkan penyakit jantung ketika berumur 40-an

    Jika anda baru ingin bermula menjaga jantung, tidak mengapa. Paling penting anda perlu membuat perubahan pada gaya hidup dan konsisten untuk melakukannya.

    Sentiasa pantau berat badan walaupun mungkin metabolisme tubuh semakin perlahan pada usia ini.

    Elakkan kenaikan berat dengan mengamalkan diet sihat untuk jantung dan bersenam secara berkala.

    Tip untuk dapat bersenam secara berkala adalah dengan melakukan rutin senaman disukai atau cari rakan untuk melakukan senaman bersama.

    Di samping itu, cara mengelakkan penyakit jantung lain adalah dengan mendapatkan pemeriksaan tahap gula darah, tekanan darah dan pemeriksaan kesihatan jantung secara berkala.

    Anda juga disarankan menjalani ujian glukosa darah puasa pada usia 45 tahun. Ia adalah asas untuk ujian yang akan dilakukan setiap 3 tahun sekali. 

    Ujian tersebut mungkin perlu dilakukan lebih awal atau kerap jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, diabetes atau berisiko menghidapinya.

    Jangan ambil mudah masalah berdengkur, jika pasangan anda mengeluh mengenainya.

    Dianggarkan 1 daripada 5 individu dewasa mengalami apnea tidur ringan – keadaan yang menyebabkan nafas terhenti semasa tidur.

    Jika tidak dirawat, apnea tidur boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan angin ahmar.

    cara mengelakkan penyakit jantung

    Langkah pencegahan di usia 50-an

    Anda mungkin terlupa untuk menjaga jantung kerana penyakit itu tidak tampak secara fizikal seperti kedutan dan uban.

    Cara mengelakkan penyakit jantung pada usia ini memerlukan langkah tambahan, melibatkan pengambilan ubatan mengikut jadual dan perubahan diet serta gaya hidup.

    Anda harus makan makanan yang sihat dengan mengambil lebih banyak sayuran dan buah, bijirin tinggi serta ikan – sebaiknya ikan berlemak 2x seminggu, kekacang dan kurangkan pengambilan daging. 

    Kenal pasti dan fahami simptom amaran serangan jantung dan strok. Ini kerana tidak semua individu akan mengalami strok atau sakit dada teruk bersama serangan jantung.

    Untuk menjaga jantung dan mengurangkan risiko, ikuti rawatan perubatan anda. 

    Ini kerana dalam fasa usia ini, anda mungkin didiagnosis dengan tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes atau keadaan lain yang meningkatkan risiko penyakit jantung atau strok. 

    Cara mengelakkan penyakit jantung semasa berusia 60 tahun ke atas

    Dalam usia ini, risiko untuk penyakit jantung semakin meningkat bersama masalah tekanan darah, kolesterol dan keadaan jantung lain.

    cara mengelakkan penyakit jantung

    Pantau tahap kesihatan dan sebarang isu yang timbul. 

    Pada usia 60-an, anda disarankan untuk menjalani ujian indeks pergelangan kaki-brachial sebagai sebahagian daripada ujian fizikal. 

    Ia akan menilai denyutan di kaki untuk mendiagnosis penyakit arteri periferal (PAD) – salah satu penyakit kardiovaskular di mana plak terbentuk di arteri kaki.

    Tubuh hanya memerlukan sedikit kalori, jadi pantau berat berat dengan menjaga pemakanan dan jangan lupa bersenam secara berkala!

    Jika berat berlebihan, ia menyebabkan jantung perlu bekerja lebih keras dan meningkatkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.

    Ketahui serta fahami tanda amaran serangan jantung dan strok, kerana dengan mengetahui anda menghidapinya membolehkan pertolongan segera diberikan. 

    Rawatan pantas dapat menyelamatkan nyawa dan mencegah ketidakupayaan yang serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan