Gemar Minum Air Kosong? Tabiat Ini Juga Bahaya, Boleh Buat Kegagalan Jantung!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/07/2022

    Gemar Minum Air Kosong? Tabiat Ini Juga Bahaya, Boleh Buat Kegagalan Jantung!

    Kegagalan jantung, turut dikenali dengan nama kegagalan jantung kongestif berlaku apabila jantung tidak dapat lagi mengepam darah secara normal. Disebabkan penyakit ini merupakan sesuatu yang amat ditakuti masyarakat, ramai yang mencari diet atau makanan yang sesuai untuk jantung.

    Walau bagaimanapun, tidak ada diet yang spesifik untuk penghidap kegagalan jantung kongestif.

    Selalunya, nasihat yang akan diberikan oleh doktor adalah mengurangkan garam dalam makanan dan elakkan daripada minum terlalu banyak air.

    Garam yang terlalu banyak boleh menyebabkan retensi cecair. Perkara yang sama juga boleh berlaku jika pesakit minum terlalu banyak air.

    Kedua-dua amalan ini boleh menyebabkan jantung sukar untuk mengepam darah dengan betul.

    Beban jantung anda boleh dikurangkan jika anda mengubah corak pemakanan. Dengan cara ini, simptom penyakit kegagalan jantung yang anda alami dapat dikurangkan.

    Kurangkan garam dalam makanan untuk kesihatan jantung

    jantung kongestif

    Pada zaman ini, terlalu banyak makanan yang kita ambil mempunyai kandungan garam yang tinggi. Malah, makanan segera dan makanan yang diproses dijual dengan berleluasa dan semakin murah harganya.

    Akibatnya, semakin ramai yang mengambil makanan tinggi garam, gula dan lemak. Pada masa yang sama, kita juga tidak lagi makan sayur-sayuran dan buah-buahan sekerap dahulu.

    Garam merupakan sumber utama natrium (sodium). Terlalu banyak makan natrium boleh meningkatkan risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan juga strok.

    Tetapi, pesakit kegagalan jantung perlu lebih berhati-hati ketika mengambil garam dalam makanan.

    Disebabkan pesakit mempunyai cecair berlebihan dalam badan, retensi cecair boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius jika ia tidak dibendung.

    Secara amnya, pesakit haruslah mengehadkan pengambilan garam kepada 2,000 mg sehari. Walaupun nampak banyak, 2,000 mg sebenarnya lebih sedikit daripada 1 sudu teh.

    Disebabkan kita sudah biasa makan makanan dengan jumlah garam yang banyak, pengurangan garam dalam diet seharian mungkin sukar untuk dilakukan pada awalnya.

    Tetapi, tidak ada garam bukan bermaksud makanan akan jadi tawar dan tidak sedap, ya!

    Ada banyak lagi herba dan juga perasa makanan lain yang boleh anda gunakan sebagai pengganti garam.

    Tip memasak untuk pesakit kegagalan jantung kongestif

    jantung kongestif

    Pengambilan makanan merupakan faktor yang penting untuk kesihatan jantung, lebih-lebih lagi untuk mereka yang menghidap kegagalan jantung kongestif.

    Di bawah, kami akan kongsikan beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan garam dalam makanan ketika memasak atau menyediakan hidangan.

    1. Ubah habit anda!

    Garam merupakan makanan yang amat berbahaya kepada pesakit kegagalan jantung. Kadangkala, kita kena paksa diri untuk berubah. Dengan cara ‘paksa’ inilah, barulah kita dapat mengurangkan ketagihan terhadap garam.

    Cuba alihkan garam dari tempat memasak, lebih-lebih lagi jika anda menggunakan penggoncang garam.

    Penggunaan penggoncang garam membuatkan kita sukar untuk agak jumlah sebenar garam dalam masakan.

    Jika ingin tambah garam dalam makanan, gunakan sudu teh untuk mengagak jumlah garam yang sesuai.

    2. Masak secara lebih kreatif

    Cuba gunakan bahan-bahan lain seperti herba, bawang putih, bawang merah dan jus limau untuk menambah perisa makanan anda.

    Jangan bergantung harap pada garam semata-mata. Jika ingin mudah, gunakan penambah rasa makanan yang bebas garam.

    3. Baca pembungkusan makanan sebelum beli

    Jadual nutrisi yang dicetak di belakang pembungkus makanan sebenarnya mempunyai pelbagai fungsi. Salah satunya adalah untuk memudahkan anda sebagai pembeli untuk membuat perbandingan secara lebih bijak.

    Selepas ini, cuba rajinkan diri dan baca jadual nutrisi sebelum membeli. Pilih makanan yang mempunyai kandungan garam kurang daripada 350 mg setiap hidangan.

    Jika anda nampak perkataan garam atau sodium berada pada 5 bahan pertama, itu bermaksud makanan tersebut mempunyai kadar garam yang tinggi.

    Jika anda menghidap kegagalan jantung, makanan ini perlulah dielakkan pada masa hadapan.

    4. Lebih berhati-hati semasa makan di luar

    Tidak salah jika anda minta pelayan kurangkan garam dalam makanan anda ketika makan di luar.

    Selain itu, elakkan juga menggunakan terlalu banyak sos atau MSG pada makanan. Semua bahan ini mempunyai garam yang tinggi, terutamanya sos keju, BBQ dan sebagainya.

    Kurangkan minum air untuk pesakit kegagalan jantung

    jantung kongestif

    Selain garam, pesakit juga mungkin perlu kurangkan minum air untuk mengelakkan jantung terbeban dengan jumlah cecair yang terlalu banyak.

    Selain air masak, pesakit juga perlu mengambil kira pengambilan cecair lain seperti sup, aiskrim, gelatin dan sebagainya.

    Jumlah minuman berbeza mengikut individu. Namun, doktor selalunya menggalakkan agar pesakit kegagalan jantung minum sekurang-kurangnya 2,000 mL cecair setiap hari.

    Cara yang terbaik untuk mengelakkan masalah retensi cecair dalam kalangan pesakit adalah dengan memantau pengambilan air setiap hari.

    Gunakan telefon bimbit untuk mencatat jumlah pengambilan cecair harian. Jika anda sukakan kaedah yang lebih tradisional, tulis dalam buku nota supaya boleh dirujuk pada masa hadapan.

    Lama-kelamaan, anda dapat lihat tabiat minum anda setiap hari. Oleh itu, lebih mudah untuk anda mengikuti pelan pengambilan air untuk elakkan anda daripada kehausan atau terlebih minum.

    Kesimpulan

    Pesakit kegagalan jantung kongestif perlu melakukan perubahan dari segi diet untuk mengawal penyakit yang dialami.

    Oleh sebab itu, pastikan anda kurangkan pengambilan garam dalam makanan untuk mengelakkan masalah retensi cecair.

    Selain itu, jangan minum terlalu banyak air. Mengurangkan pengambilan cecair juga merupakan perkara yang penting untuk merawat masalah kegagalan jantung.

    Paling penting, jangan lupa untuk berhubung dengan doktor berkenaan penyakit jantung kongestif anda. Ikut nasihat yang doktor berikan dan makan ubat seperti yang dijadualkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/07/2022

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan