Jagung : Adakah ‘Popcorn’ Boleh Menyebabkan Kanser?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jagung sangat terkenal dengan warnanya yang kuning dan isinya yang manis. Di negara kita, anda boleh menemuinya di mana-mana sahaja terutamanya jika anda mengunjungi pasar. Anda akan dapat melihat pelbagai jenis juadah yang menggunakan jagung dalam masakannya. Ia boleh dijadikan sebagai hidangan utama atau sebagai hidangan sampingan. Ingin tahu lebih lanjut mengenai jagung? Sila ikuti artikel ini. 

Apa itu jagung?

Jagung (corn atau maize) merupakan bijirin makanan ruji dari Mesoamerica dan merupakan spesies Zea mays ssp. mays. Ia berasal dari teosinte Zea mays ssp. parviglumis, iaitu sejenis tumbuhan asal di lembah sungai Balsas, selatan Mexico, dengan sehingga 12% bahan genetik didapati daripada Zea mays ssp. Mexicana melalui proses introgresi. Istilah ‘teosinte’ digunakan untuk menggambarkan semua spesies dalam genus Zea, kecuali Zea mays ssp. mays. Ada pendapat yang menyatakan bahawa genus Tripsacum yang berkait rapat dengan asal tumbuhan jagung telah dinafikan dengan analisa genetik yang moden.

Jagung juga adalah bijirin yang pertama kalinya dijadikan sebagai tumbuhan domestik oleh orang asli di kawasan selatan Mexico kira-kira 10,000 tahun yang dahulu. Tahun demi tahun, tumbuhan ini kian popular di seantero dunia malahan pembuatannya pernah melebihi industri pembuatan nasi atau gandum. Walau bagaimanapun, ketika itu ia tidak banyak digunakan sebagai sumber makanan manusia. Ia lebih banyak digunakan sebagai etanol, makanan haiwan ternakan dan pelbagai lagi produk berasaskan tumbuhan ini seperti kanji jagung, minyak jagung atau sirap jagung. 

Jagung sebenarnya terdapat beberapa jenisnya yang tersendiri. Kebiasaannya, jenis yang mempunyai isi yang manis akan digunakan sebagai makanan manusia manakala jenis-jenis yang lain pula akan digunakan untuk pelbagai tujuan yang lain.

Ia sangat terkenal di benua Amerika dengan 361 juta tan metrik dihasilkan di Amerika Syarikat pada 2014. Kira-kira 40 peratus daripada jumlah itu iaitu sebanyak 130 juta tan metrik digunakan untuk dibuat sebagai etanol. Jagung yang telah diubahsuai secara genetik pula meliputi 85 peratus di Amerika Syarikat pada tahun 2009. Ia sangat terkenal dalam kalangan bijirin-bijirin lain di persada dunia dan pembuatannya adalah yang paling tinggi di antara yang lain pada tiap tahun. Pada 2014, jumlah pembuatannya mencecah kira-kira 1.04 bilion tan.

Jenis-jenis jagung

Di dunia ini, terdapat banyak jenis jagung yang mempunyai pelbagai rasa berbeza. Berikut merupakan antara jenis-jenis jagung yang wujud:

#1. Jagung manis (sweet corn)

Ini adalah jenis jagung yang paling popular dan selalu dijadikan hidangan utama. Ia biasanya digunakan sebagai bahan pembuat sirap atau pemanis buatan. Antara ciri khasnya adalah isinya yang masih muda adalah berwarna jernih seperti kaca dan seakan-akan bercahaya. Isi yang telah masak dan kering pula akan kelihatan seperti berkerut, ia biasanya dimakan begitu sahaja, direbus, dibakar atau dijadikan sebagai jagung dalam cawan.

#2. Jagung mutiara (flint corn)

Ia memiliki tekstur isi yang agak bulat dan berukuran lebih kecil daripada isi jagung gigi kuda. Warnanya pula lebih bervariasi kerana ia mempunyai warna kuning, putih dan ada juga yang berwarna merah! Di dunia, jenis ini adalah yang paling banyak ditanam di dunia. Di Amerika Syarikat dan Argentina sahaja, sebahagian besarnya digunakan untuk keperluan makanan haiwan ternakan.

#3. Jagung gigi kuda (dent corn)

Ia memiliki ciri khas berupa lekukan di bahagian tengah atau bahagian atas isinya. Ukurannya agak besar dan terbahagi kepada beberapa baris dengan warna yang berbeza. Warnanya mungkin kuning, putih atau warna lain serta sesuai dibuat tepung jagung. Di negara kita, jagung jenis ini jarang ditanam kerana tidak tahan serangan hama. Manakala di Amerika pula, ia sering dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan.

#4. Jagung pod (pod corn)

Ia pertama kali ditermukan di Amerika Selatan. Ciri khasnya adalah isinya diselubungi oleh kulit sehingga seolah-olah tidak kelihatan.

#5. Jagung berondong (pop corn)

Ciri jagung jenis ini adalah isinya adalah isinya kecil-kecil dan hampir keseluruhan bahagiannya adalah keras. Jika ia dipanaskan pula, ia dapat mengembang 10 hingga 30 kali ganda saiz yang asal. Ia terdapat dua jenis iaitu rice popcorn yang isinya lebih runcing atau pear popcorn yang isinya lebih bulat. Jagung jenis ini adalah intipati kepada pembuatan bertih jagung yang sangat popular di panggung wayang.

#6.  Jagung ketan (waxy corn)

Kebiasaannya, ia dikenali sebagai jagung empuk kerana kadar amilo peptinnya yang tinggi. Isinya pula adalah kecil-kecil dan berwarna seakan-akan seperti lilin dan zat patinya menyerupai tepung ubi. Ia berasal dari Asia dan sambutannya adalah sangat hangat kerana ia berupaya menggantikan tepung ubi dan sagu. Selain itu, ia juga sangat sesuai untuk dijadikan makanan haiwan ternakan.

#7. Jagung tepung (flour corn)

Ia sangat terkenal di Amerika Selatan. Antara ciri khasnya adalah hampir keseluruhan isinya terdiri daripada pati yang menyerupai tepung sehingga ia amat mudah pecah jika terdedah kepada panas cahaya matahari. Ia sangat sesuai diubahsuai menjadi tepung maizena.

Fakta menarik mengenai jagung

Tumbuhan ini sebenarnya sangat unik dari segi rasa, warna dan teksturnya. Selain itu, ia juga mempunyai pelbagai keunikannya yang tersendiri. Berikut merupakan beberapa fakta menarik mengenainya:

  • Lebih dari 8.000.000.000.000 kg tanaman ini ditanam pada setiap tahun
  • Ia adalah tumbuhan yang hidup di setiap benua kecuali benua Antartika
  • Ia adalah tanaman terbesar di Amerika Syarikat selain kacang soya
  • Ia adalah tanaman di Amerika Syarikat hanya sedikit dimakan manusia
  • Ia adalah tanaman rumput raksasa
  • Ia tidak boleh hidup di alam liar tanpa perawatan manusia
  • Ada lebih dari 3.500 penggunaan yang berbeda untuk jagung
  • Lebih dari setengah hasil tanaman tumbuhan ini di dunia berasal dari Amerika Syarikat.
  • Jumlah baris pada setongkol tumbuhan ini umumnya adalah 16.
  • Jumlah isi pada batang tumbuhan ini umumnya lebih dari 800 biji.
  • Orang Indian Inca mengunyah daun jagung muda seperti mana mengunyah gula-gula getah kerana rasanya yang lebih manis.
  • Tanaman ini mempunyai kalori yang rendah dan mengandungi banyak serat dan baik untuk sesiapa yang berdiet. Ia mengandungi Vitamin A, C, magnesium, potassium dan folsin.
  • Tanaman ini yang ditumbuk boleh dijadikan ‘mask’ untuk muka. Ia boleh menutup liang-liang roma dan menegangkan kulit muka.
  • Tanaman ini boleh diolah menjadi etanol yang dapat digunakan untuk bahan bakar.
  • Tongkol tanaman ini berguna untuk mengubati pendarahan pada luka.
  • Bulu tanaman ini yang berwarna kuning keemasan boleh dituam pada luka dan mengelakkan daripada bernanah. Selain itu juga berguna untuk paru-paru yang lemah dan dapat mengurangkan tekanan.
  • Dengan memakan tanaman ini, ia dapat membantu dalam memperkuatkan tulang, gigi dan rambut.

Adakah jagung boleh dimakan mentah?

Apa yang akan terlintas di fikiran anda saat terdengar atau terbaca nama ‘jagung’? Kebanyakan individu mungkin akan menjawab warnanya yang kuning dan rasanya yang manis. Selain itu, kebanyakan individu juga mungkin akan beranggapan bahawa ia adalah pengganti nasi yang sangat bagus dan ia adalah sumber karbohidrat yang baik untuk membantu individu kenyang lebih lama.

Walaupun ia adalah sejenis sayur yang terkenal dengan sifat semulajadinya yang boleh dimakan begitu sahaja, jagung mungkin dikecualikan daripadanya. Persoalannya, adakah tumbuhan ini boleh dimakan mentah?

Sama ada direbus, dibakar atau dimasak bersama makanan lain, jagung adalah salah satu sumber karbohidrat yang sangat mudah diolah menjadi apa-apa sajian sekalipun. Pun begitu, kebolehannya untuk dimakan begitu sahaja adalah sangat dikhuatiri.

Menurut laman sesawang Very Well Fit, ia boleh dimakan begitu sahaja! Ia sebenarnya memiliki rasa yang sangat manis dan tekstur yang renyah saat dikunyah. Ia juga mengandungi nutrisi seperti serat, protein, vitamin B, vitamin C, magnesium, kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium dan juga zink.

Selain itu, tumbuhan ini juga mengandungi karotenoid, iaitu zat antioksidan pemberi warna kuning pada buah-buahan dan juga sayur-sayuran. Untuk pengetahuan anda, bahan kimia ini sebenarnya sangat penting untuk penjagaan mata anda.

Oleh itu, anda tidak perlu terlalu bimbang mengenainya. Anda boleh makan ia begitu sahaja atau mencampurkannya secara mentah ke dalam salad kegemaran anda. Ataupun, anda juga boleh memasukkannya ke dalam sup yang telah siap dimasak. Jika anda seorang yang lebih kreatif, cuba pelbagaikan kegunaan tumbuhan ini ke dalam aneka menu anda.

Masih ada risikonya!

Pun begitu, makan tumbuhan ini secara mentah masih ada risikonya. Di sebalik timbunan nutrisi yang terdapat di dalamnya, memakannya secara mentah juga boleh mendatangkan risiko masalah pencernaan. Ini disebabkan oleh kewujudan pelbagai jenis bakteria yang sangat sukar meninggalkan buah-buahan dan sayur-sayuran, terutamanya jika ia tidak dicuci dengan sebersihnya.

Sebagai contoh, ia mungkin mengandungi bakteria-bakteria seperti E-coli, Salmonella atau Listeria. Ia mungkin berasal dari tempat tumbuhan ini ditanam, atau sumber air yang dipakai untuk membersihkannya, atau peralatan yang digunakan adalah kotor dan telah dicemari dengan bakteria.

Jawapannya, anda boleh memakannya secara mentah asalkan anda membersihkannya terlebih dahulu dengan baik dan diyakini telah hilang segala bakteria yang terdapat padanya.

Selamat atau tidak makan ‘popcorn’?

Siapa sahaja yang tidak menyukai mengunyah bertih jagung atau ‘popcorn’ sambil menonton panggung wayang, bukan? Majoriti individu mungkin akan beranggapan ia adalah satu kewajipan dan ada juga yang akan memakannya walaupun bukan ketika menonton wayang. Pun begitu, ada pendapat yang mengatakan bahawa ia boleh menyebabkan kanser. Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini?

Apakah itu ‘popcorn’?

Ia adalah makanan ringan yang diperbuat daripada jagung dan yang dilengkapi dengan gabungan rasa manis dan masin dan ya, ia memang sangat enak untuk dimakan lebih-lebih lagu buat anda yang gemarkan makanan berlemak. Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai individu yang menyukainya.  

Adakah benar makan ‘popcorn’ boleh menyebabkan kanser?

Sebenarnya, bukan jagung yang merupakan bahan utama dalam pembuatan ‘popcorn’ yang menjadi punca penyakit kronik seperti kanser ini berlaku. Hakikatnya, bahan kimia perfluorinated (PFC) yang terkandung di dalam resepi pembuatan snek ini yang merupakan punca utamanya.

Kebanyakan ahli perubatan berpendapat bahawa ketika bahan kimia ini yang telah dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro, PFC akan terurai menjadi asid perfluorooctanoic (PFOA). Asid ini kemudiannya akan memasuki aliran darah dalam tubuh badan sehingga ia menjadi punca pertumbuhan dan pengembangan sel-sel kanser dalam tubuh badan. 

Para pengkaji dari C8 Science Panel pula mencuba mencari kebenaran antara hubungan PFOA ini dengan risiko kanser atau pelbagai penyakit lain. Mereka menggunakan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Virginia, Amerika Syarikat dengan mengkaji kesan pendedahan PFOA terhadap kesihatan mereka. Hasilnya, pendedahan jangka panjang PFOA ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang ketara bagi kes kanser testis dan kanser ginjal bagi populasi individu yang mendiami kawasan tersebut. 

Antara penelitian yang lain adalah PFOA yang terdapat dalam ‘popcorn’ sebenarnya adalah lebih berbahaya jika ia telah dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro berbanding yang tidak dipanaskan di dalamnya.

Ia masih boleh dijadikan snek kegemaran anda

Pun begitu, anda tidak perlu terlalu risau kerana ia masih boleh dimakan kerana kebenaran PFOA ini masih memerlukan banyak lagi kajian yang lain untuk mengukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa ia adalah berbahaya dan boleh mengakibatkan kanser.

Selain itu, Food and Drug Administration (FDA) sudah mengambil pelbagai langkah dengan melarang penggunaan PFC dan PFOA dalam segala produk makanan yang diperbuat di Amerika. Selain itu, mereka juga sudah mula mengharamkan penggunaan diacetyl yang juga berbahaya buat kesihatan manusia.

Jadi, adakah ia akan mengakibatkan kanser? Jawapannya adalah tidak sekiranya ia tidak mengandungi bahan-bahan berbahaya seperti PFC dan PFOA ini. Oleh itu, sebagai pengguna, cuba kenali produk-produk ‘popcorn’ yang anda ingin beli dan makan terlebih dahulu. 

Ia boleh dibuat sendiri oleh anda di rumah

Jika anda seorang penggemar snek ini, sudah pasti anda akan berasa sedih dan takut kerana ia mungkin tidak selamat buat anda. Namun begitu, usah anda berasa kecewa kerana kini penggunaan bahan kimia yang dikhuatiri sebagai penyebab kanser berlaku itu seperti PFC dan PFOA tidak lagi boleh digunakan dalam industri pembuatan makanan.

Ya, ini mungkin akan membuat anda berasa lega dan boleh kembali menikmati kesedapan ‘popcorn’ sambil menonton filem kegemaran anda. Pun begitu, buat anda yang masih gusar, terdapat satu lagi alternatif yang lain jika anda masih mahu makan snek kegemaran anda ini. Alternatifnya adalah buat sendiri ‘popcorn’ di rumah. 

Ia sudah tentu sahaja tidak akan mengandungi sebarang bahan kimia seperti PFC dan PFOA yang anda sendiri tahu berisiko menyebabkan kanser. Selain itu, ia juga lebih mudah menepati citarasa dan selera anda, bukan?

Dalam pada itu, caranya juga tidaklah sesukar yang anda sangkakan. Hanya menggunakan isi jagung, minyak zaitun, karamel dan juga mentega. Jika anda mahukan rasa yang lebih unik, cuba tukar bahan-bahan tersebut dan bersikap lebih kreatif ketika membuatnya.

Sebagai contoh, sekiranya anda seorang yang sangat gemarkan rasa manis, cuba tukar minyak zaitun tersebut dengan madu. Sudah pasti rasa manis itu akan lebih kuat dan kena dengan lidah anda. Dalam pada itu, anda juga boleh tambahkan keju, coklat atau apa sahaja bahan yang anda rasakan sesuai untuk anda.

Konklusi

Konklusinya, jagung adalah satu tumbuhan yang sangat unik. Ia sangat dikenali di persada dunia dengan warnanya yang kuning dan rasanya yang manis. Namun begitu, anda perlu tahu tidak semua warna, rasa dan tekstur setiap jenis jagung adalah sama kerana ia mempunyai pelbagai jenis.

Buat anda yang risau sama ada ia boleh dimakan mentah atau tidak, jangan risau. Jawapannya adalah boleh asalkan anda membasuhnya dengan teliti. Buat anda yang khuatir sama ada bertih jagung boleh menyebabkan kanser juga tidak perlu risau kerana belum terdapat sebarang bukti kukuh yang menyokong dakwaan ini.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda untuk lebih mengenali tumbuhan jagung serta dapat mengetahui mengenai sebarang permasalahan yang melibatkannya.

 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut