
Anda perasan ada bisul muncul di tubuh tetapi anda tidak tahu apakah punca bisul tersebut.
Ada yang menasihatkan agar mencungkil ‘mata’ bisul tersebut dan keluarkan nanah jika ingin merawatnya. Namun, adakah ini cara menghilangkan bisul yang benar-benar tepat?
Apakah yang dimaksudkan dengan bisul?
Dalam terma bahasa Inggeris, bisul disebut sebagai ‘boil’ atau ‘furuncle’. Bisul terbentuk disebabkan oleh jangkitan bakteria pada kawasan folikel rambut dan juga tisu di sekitarnya.
Ia lebih kerap berlaku di bahagian rambut kepala tetapi ia juga boleh berlaku di kawasan tubuh lain yang turut mempunyai rerambut. Ini termasuklah di kawasan ketiak, punggung, leher, muka dan paha.
Apabila folikel rambut ini dijangkiti bakteria, ia akan mengalami keradangan. Biasanya, kawasan bisul akan mempunyai sedikit benjolan berwarna merah.
Setelah itu, ia akan dipenuhi dengan nanah dan menjadi semakin besar.
Semakin besar saiz bisul tersebut, maka anda akan berasa semakin sakit sehinggalah bisul pecah dan mengeluarkan lendiran di dalamnya.
Bakteria punca bisul terbentuk
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, punca bisul terbentuk adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria. Jenis bakteria yang biasa menyebabkan bisul ialah Staphylococcus aureus atau ringkasnya S. aureus.
Memandangkan bakteria ini dianggap sebagai bendasing oleh sistem imun tubuh, maka sistem imun akan bertindak melawan kemasukan bakteria S. aureus.
Disebabkan serangan daripada sistem imun ini maka bisul terbentuk pada kulit anda. Ia sebenarnya adalah sel-sel darah putih yang mati melawan serangan bakteria tersebut.
Simptom-simptom jangkitan bisul
Bisul akan biasa terbentuk pada kawasan yang mudah berpeluh atau mudah bergeser kerana di situ terdapatnya luka kecil atau calar akibat geseran yang berlaku.
Antara tanda atau simptom tumbuh bisul ialah:
- Muncul benjolan kecil berwarna merah yang boleh membesar sehingga lebih daripada 2 inci
- Kulit berwarna merah di sekitar benjolan tersebut
- Benjolan tersebut semakin membesar setiap hari dan dipenuhi nanah
- Hujung benjolan berwarna putih kekuningan yang kemudiannya akan pecah dan menyebabkan nanah keluar
Siapakah yang mudah mendapat bisul?
Semua individu berisiko untuk mendapat benjolan ini, namun bisul lebih mudah berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah atau menghidap sebarang keadaaan kesihatan yang memperlambatkan kesembuhan luka pada tubuh.
Sebagai contoh, penghidap penyakit diabetes atau ekzema mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan bisul.
Selain itu, mereka yang berhubungan dengan mereka yang dijangkiti benjolan ini turut berisiko untuk mendapat jangkitan bisul yang sama.
Jangan risau, ini cara menghilangkan bisul yang boleh dilakukan!
Kebiasaannya, bisul yang dialami akan pecah dan membaik dengan sendiri dalam tempoh masa 2 minggu.
Bagi bisul yang masih tidak pecah, anda disaran untuk menggunakan beberapa kaedah yang akan menggalakkan bisul tersebut untuk pecah dan sembuh.
Salah satu cara menghilangkan bisul adalah melalui penggunaan kompres hangat (warm compresses) yang akan membantu mempercepatkan bisul anda untuk ‘masak’.
Antara contoh kompres hangat adalah dengan menggunakan kain tuala yang direndam dengan air suam.
Sekiranya bisul anda telah pecah, teruskan menggunakan kaedah kompres hangat ini untuk menggalakkan bisul tersebut sembuh selain mengurangkan rasa sakit yang dialami.
Selain itu, anda juga perlu mencuci tangan dan kawasan punca bisul tersebut dengan menggunakan sabun antibakteria bagi mengelakkan penyebaran jangkitan ke kawasan lain.
Namun, jika bisul yang wujud itu masih tidak pecah dan berasa sakit lebih dari 2 minggu, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Bagi cara menghilangkan bisul yang dilakukan oleh doktor, anda mungkin akan diberikan ubat antibiotik dan juga sedikit pembedahan kecil bagi mengeluarkan nanah pada bisul tersebut.
Jangan picit benjolan bisul anda di rumah, bahaya!
Jangan sesekali memicit, mencucuk atau memotong bisul anda di rumah kerana ia hanya akan membuatkan bisul menjadi semakin parah.
Selain itu, anda juga mungkin akan mendapat parut yang agak besar jika prosedur tersebut dilakukan secara bersendirian.
Berjumpa sahaja dengan doktor yang akan membantu anda memecahkan bisul tersebut dengan menggunakan peralatan yang telah disterilkan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.