Apa yang tersenarai di atas boleh didiagnosis pada mana-mana jantina.
Namun, oleh sebab lelaki dan wanita mempunyai struktur anatomi berbeza, terdapat diagnosis yang lebih spesifik kepada jantina tersebut.
Benjolan pada kemaluan wanita (faraj)
Berbeza dengan lelaki, benjolan pada kemaluan wanita boleh terjadi disebabkan pelbagai jenis keadaan kesihatan, antaranya:
- Radang pundi kencing: Walaupun lelaki dan wanita mempunyai pundi kencing, keadaan ini lebih lazim berlaku pada wanita. Kebengkakan yang berlaku pada otot organ tersebut boleh menyebabkan munculnya benjolan perineum.
- Jangkitan saluran kencing (UTI): Seperti punca pertama, UTI lazim berlaku pada wanita berikutan saluran uretra yang lebih pendek dan terletak berhampiran dengan dubur. Kebengkakan yang berlaku disebabkan oleh UTI boleh dimanifestasikan sebagai benjolan perineum.
- Benjolan semasa kehamilan: Mereka yang hamil mudah mendapat masalah benjolan perineum semasa trimester ketiga. Ia berikutan berat bayi meningkat dan keadaan posisi mereka di dalam pelvis.
- Sakit pada bahagian faraj (vulvodynia). Keadaan ini boleh menyebabkan tisu pada bahagian perineum membengkak.
- Komplikasi setelah prosedur episiotomi semasa bersalin. Bagi memudahkan bayi untuk keluar, ada masanya doktor akan memotong sedikit bukaan faraj. Ia dikenali sebagai prosedur episiotomi. Setelah bahagian tersebut dijahit, jangan pelik jika ada benjolan yang kadangkala gatal.
Benjolan pada kemaluan lelaki
Berbeza dengan wanita, lelaki hanya mempunyai satu keadaan kesihatan yang lazim menyebabkan benjolan perineum, iaitu prostatitis atau keradangan pada kelenjar prostat.
Apabila organ tersebut membengkak, ia boleh menolak bahagian perineum keluar menyebabkan terbentuknya benjolan.
Rawatan dan cara atasi rasa tidak selesa

Walaupun kebiasaannya punca benjolan perineum tidak berbahaya, ia boleh memberikan ketidakselesaan kepada individu yang mengalaminya.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk merawat atau mengurangkan rasa tidak selesa. Antaranya:
- Gunakan bantal duduk ‘donat’ yang direka khas untuk pesakit buasir untuk kurangkan tekanan pada kawasan perineum.
- Gunakan paket ais untuk redakan rasa sakit atau bengkak.
- Pakai pakaian yang longgar.
- Urutan lembut pada kawasan perineum anda.
- Basuh kawasan bengkak dengan teliti selepas berhadas.
- Ambil ubat tahan sakit (rujuk doktor terlebih dahulu).
- Jika puncanya adalah abses, doktor akan menggunakan jarum untuk mengeluarkan nanah tersebut.
- Kalau punca boleh dirawat melalui pembedahan, rujuk pakar untuk mengetahui jika pilihan tersebut sesuai dengan anda. Antara struktur yang boleh dibedah adalah buasir, sista dan ketumbuhan.
Konklusi
Benjolan pada kemaluan (perineum) walaupun tidak berbahaya tapi boleh menyebabkan ketidakselesaan dan mempengaruhi produktiviti kerja.
Apa yang anda perlu faham adalah benjolan tersebut bukan boleh berpunca daripada penyakit kelamin sahaja.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan berkenaan dengan jenis rawatan bersesuaian, rujuk doktor perubatan anda sekarang.