backup og meta

Bisul Di Punggung Ada Kaitan Dengan Duduk Atas Bantal? Ini Jawapannya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/01/2024

    Bisul Di Punggung Ada Kaitan Dengan Duduk Atas Bantal? Ini Jawapannya

    Bisul selalunya terjadi pada bahagian punggung. Tetapi apakah punca bisul di punggung, ya? Adakah ia berkaitan dengan larangan orang tua-tua agar tidak duduk di atas bantal? Musykil, bukan?

    Ikuti perkongsian artikel ini untuk mengetahui kebenarannya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Bisul di punggung

    Bisul adalah benjolan berisi nanah pada kulit. Ia terjadi apabila folikel rambut dan tisu di sekelilingnya dijangkiti. Bisul boleh menjadi kecil, besar, tunggal atau berkelompok.

    Benjolan nanah ini mungkin akan menyakitkan, menyebabkan ketidakselesaan, membesar dan mengakibatkan komplikasi kesihatan serius sekiranya tidak dirawat. 

    Amnya, untuk merawat bisul adalah proses mudah, tetapi adalah lebih baik untuk menyerahkan tugasan tersebut kepada doktor jika benjolan tersebut besar, dalam dan menyakitkan. 

    Amat penting untuk mengenal pasti yang mana satu bisul dan apa yang perlu dilakukan jika anda mengalaminya.

    Di samping itu, anda juga harus mengetahui masa yang sesuai untuk berjumpa doktor bagi mengelakkan bisul menjadi lebih teruk atau mengakibatkan masalah kesihatan lain. 

    punca bisul di punggung

    Punca bisul di punggung: Fahami simptomnya

    Gejala bisul paling biasa adalah dengan kehadiran benjolan atau benjolan merah, lembut dan menyakitkan pada kulit. Anda juga mungkin melihat kulit merah dan bengkak sekitar benjolan. 

    Biasanya bisul bermula sebagai bahagian menyakitkan atau lembut pada kulit dan cenderung bersaiz kecil atau kira-kira sebesar kacang pis. Kemudian ia akan menjadi keras.

    Benjolan tersebut akan terus membesar dan diisi dengan nanah. Pada peringkat ini ia cenderung menjadi lebih lembut dan besar.

    Pada akhirnya, akan muncul bahagian hujung kuning atau putih yang boleh pecah dan mengeluarkan nanah. Ada juga bisul yang tidak pecah dan berakhir dengan kerak terbentuk atas benjolan.

    Terdapat juga kes di mana bisul mengeluarkan cecair jernih. Jangan terkejut kerana bisul boleh membesar hingga mencapai saiz sebesar bola golf.

    Terdapat sesetengah keadaan kulit yang boleh menyerupai bisul. Ini termasuklah jerawat sista, sista sebum yang dijangkiti dan jangkitan kulit lain. 

    Jenis bisul

    Secara amnya terdapat 2 jenis bisul – furunkel dan karbunkel.

    Furunkel berlaku apabila jangkitan terbentuk di sekitar 1 folikel rambut. Bisul jenis ini biasanya lebih besar berbanding jerawat dan lebih menyakitkan serta terasa panas apabila disentuh.

    Jika ia lebih daripada 1 folikel rambut – dipanggil kluster – menjangkiti kawasan yang sama, bisul ini disebut sebagai karbunkel.

    punca bisul di punggung

    Bagi individu yang mempunyai sistem imun lemah, mereka mungkin mengalami beberapa bisul yang akan datang dan pergi atau berlaku di beberapa tempat sekali gus. Keadaan ini dipanggil sebagai furunculosis.

    Punca bisul di punggung & faktor risiko lain

    Duduk di atas bantal bukanlah punca bisul terjadi pada punggung.

    Pada dasarnya kulit diselaputi bakteria dan virus yang baik dan jahat. Staphylococcus aureus atau Staph adalah salah satu bentuk bakteria paling biasa pada tubuh dan merupakan antara punca utama bisul. 

    Folikel rambut adalah struktur dalam kulit yang mengeluarkan rambut. 

    Calar, luka pada kulit, kemunculan jerawat, bahkan gigitan pepijat boleh menghasilkan lubang untuk bakteria memasuki folikel. Sekali gus boleh memulakan jangkitan dan bisul akan mula berkembang apabila nanah terbentuk. 

    Bakteria biasanya hidup dalam persekitaran hangat dan lembap. Individu yang mempunyai berat badan berlebihan boleh mempunyai lipatan kulit yang berkemungkinan merupakan kawasan untuk bakteria berkembang dan mengakibatkan bisul.

    Faktor lain yang boleh menyebabkan sesetengah individu lebih cenderung mengalami bisul di punggung adalah:

    • Sistem imun yang lemah disebabkan keadaan kesihatan lain seperti menghidap diabetes atau kanser
    • Konjuktivitis, ekzema atau asma alahan

    punca bisul di punggung

    Pemeriksaan doktor

    Jika anda mengalami bisul pada punggung, perhatikan dengan sebaiknya untuk memastikan ia tidak membesar atau membentuk jalur merah. 

    Sekiranya tidak pasti punca bisul di punggung dan ia semakin membesar, mempunyai jaluran merah atau membuatkan anda berasa sakit untuk duduk, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera!

    Ada bisul yang akan hilang dengan sendirinya. Namun, seandainya bisul yang dialami anda berlarutan lebih seminggu, berjumpalah doktor.

    Selain itu, pemeriksaan doktor juga perlu dilakukan jika:

    • Bisul tumbuh di muka, tekak, leher atau tulang belakang
    • Diiringi dengan demam
    • Sangat menyakitkan sehingga menjejaskan aktiviti harian

    Merawat punca bisul di punggung

    Cara merawat bisul amat mudah. Tekapkan kain lap panas dan basah ke atasnya selama 20-30 minit, 4x sehari.

    Kehangatan membantu liang pori terbuka dan melembutkan kulit, sekali gus membolehkan nanah mengalir keluar. Jangan cuba memotong atau memicit bisul!

    Jika teknik ini tidak berkesan dalam tempoh seminggu, berjumpalah doktor. Mereka mungkin akan membuat hirisan kecil untuk mengeluarkan bisul. 

    Anda juga berkemungkinan akan diberikan antibiotik atau rawatan lain untuk mengurangkan risiko jangkitan selanjutnya. 

    Baca juga:

    Langkah pencegahan elak punca bisul di punggung

    Bisul bukan hanya boleh berlaku di punggung tetapi di mana-mana bahagian tubuh yang terdapat pengumpulan peluh dan rambut. 

    Pastikan anda sentiasa memastikan tubuh berada dalam keadaan bersih serta kering dan menggunakan sabun antibakteria ketika mandi.

    Sekiranya bisul yang dialami tidak hilang atau bertambah baik, berjumpalah doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan