Media:
Media memainkan peranan yang penting dalam memberikan kesedaran berkaitan warga tua kepada setiap lapisan masyarakat.
Penyelidikan dan pembangunan:
kajian perlu dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat agar perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan tertumpu untuk kesejahteraan warga tua.
Sehingga kini, terdapat beberapa usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan dan swasta bagi mengelakkan sebarang kejadian pengabaian warga tua daripada berlaku. Ini termasuklah penyediaan pusat jagaan, pusat jagaan harian, bantuan kewangan untuk tujuan sara hidup, kemudahan perubatan, khidmat penjagaan dan bantuan di rumah dan khidmat bimbingan dan kaunseling.
Pusat Jagaan
Di pihak kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan dua jenis pusat jagaan untuk warga tua yang terabai iaitu Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan. Rumah Seri Kenangan adalah untuk penjagaan warga tua yang terbiar manakala Rumah Ehsan pula khusus untuk penjagaan warga tua terbiar yang sakit terlantar. Kemudahan yang tersedia di pusat jagaan ini termasuklah perlindungan, kemudahan perubatan, bimbingan dan kaunseling, cara pulih kerja, selain kemudahan riadah dan beribadat.
Pusat Jagaan Harian
Bagi waris yang bekerja, pusat jagaan harian berperanan menjaga warga tua agar aspek kebajikan sentiasa terjaga dan mereka tidak rasa seperti diabaikan. Pusat jagaan akan mengisi masa warga tua dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti senaman dan riadah, pemeriksaan kesihatan, kaunseling dan aktiviti kumpulan sokongan. Mereka juga dapat berinteraksi dengan warga yang lain disamping meningkatkan kemahiran mereka melalui aktiviti harian yang dijalankan.
Bantuan Alat Tiruan
Bantuan alat tiruan atau alat sokongan turut disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi warga tua atau OKU yang tidak berkemampuan seperti kaki palsu, callipers, tongkat tangan, kerusi roda, tangan palsu, alat pendengaran, cermin mata khas atau peralatan-peralatan sokongan yang disarankan oleh doktor.
Bantuan kewangan
Bantuan bulanan untuk tujuan sarahidup warga tua turut disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mereka yang layak berpandukan penilaian pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut kriteria-kriteria tertentu. Bagi warga tua yang terlantar dan dijaga oleh warisnya, bantuan bulanan sebanyak RM300 turut diberikan kepada mereka bagi mengurangkan beban tanggungan menjaga warga tua yang terbabit berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
Kemudahan penjagaan kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memainkan peranan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui sektor perubatan dan penjagaan kesihatan warga tua. Inisiatif yang dijalankan oleh KKM antaranya pengecualian caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1 di semua klinik dan hospital milik kerajaan, pengecualian caj pendaftaran rawatan pakar dan pengurangan caj pesakit kelas 3 sebanyak 50 peratus dengan bayaran maksimum sebanyak RM250 bagi setiap kemasukan. Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital-hospital kerajaan turut membiayai kos rawatan yang tidak dibekalkan oleh hospital kerajaan bagi warga tua yang tidak berkemampuan. Agensi bantuan lain yang turut membantu caj perubatan bagi mereka yang tidak berkemampuan termasuklah Tabung Bantuan Perubatan KKM, Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal, Lembaga Zakat Negeri, MAKNA dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.
Khidmat bantuan dan penjagaan di rumah
Inisiatif ini telah mula diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui khidmat sukarelawan bagi membantu keluarga warga emas yang memerlukan sokongan sosial dalam aspek penjagaan. Sukarelawan terlatih akan membantu menjalankan urusan harian seperti pembersihan kawasan kediaman, penjagaan kesihatan dan menemani mereka setiap hari.
Pihak swasta turut memainkan peranan dalam sektor penjagaan warga tua di rumah. Baru-baru ini, satu aplikasi perkhidmatan penjagaan warga emas telah dilancarkan di Malaysia pada 14 Februari 2019 yang dikenali sebagai Homage. Perkhidmatan berbayar ini menyediakan khidmat penjagaan diri, penyediaan makanan, pemakanan, pergerakan, senaman, peringatan berkaitan ubat-ubatan dan servis peribadi yang lain untuk kemudahan keluarga dan kesejahteraan warga tua.
Khidmat bimbingan dan kaunseling
Bagi warga emas yang mempunyai masalah psikososial, mereka boleh mendapatkan khidmat bantuan bimbingan dan nasihat daripada kaunselor bertauliah daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan seperti hospital dan klinik kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta badan-badan bukan kerajaan yang lain.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen