backup og meta

Tak Yakin Nak Senyum Sebab Gigi Jarang? Ini 5 Rawatan Anda Boleh Cuba!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/02/2023

    Tak Yakin Nak Senyum Sebab Gigi Jarang? Ini 5 Rawatan Anda Boleh Cuba!

    “Eh, kenapa gigi jarang? Macam tiang gol!” Individu yang ada masalah gigi ini mesti selalu terima ujaran berbaur sindiran seperti ini. Sebenarnya, ia bukan masalah yang besar malah sudah banyak rawatan gigi jarang yang anda boleh cuba.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.

    Apa maksud, punca dan kesan gigi jarang?

    Buat anda yang mungkin belum tahu, ia adalah kondisi di mana wujud ruang atau jarak di antara dua gigi depan atas. Kebiasaannya, masalah ini akan berlaku di usia kanak-kanak.

    Kanak-kanak dengan kondisi diastema ini tidak perlu risau kerana itu adalah gigi susu yang akan tertanggal atau tercabut sendiri dewasa kelak dan terganti dengan gigi kekal yang lebih teratur.

    Namun, turut ada risiko untuk individu dewasa masih mengalami masalah ini dan menyebabkan gigi ada ruang atau jarak sekitar 0.5 milimiter yang sudah tentu menjejaskan fungsi serta imej anda.

    rawatan gigi jarang

    Persoalannya, apa punca yang mengakibatkannya? Ia akan bergantung kepada faktor risiko yang berikut:

    • Kaitan di antara saiz gigi dengan rahang
    • Kondisi gusi
    • Tabiat buruk
    • Mengunyah dengan cara yang tidak betul
    • Kewujudan sista
    • Kehilangan gigi
    • Prosedur kosmetik yang disengajakan

    Bagi individu dengan masalah gigi ini, ia akan menjejaskan fungsi dan imej gigi, sedangkan ia sama sekali tidak benar. Ketahuilah bahawa ia normal dan tiada implikasi yang berbahaya!

    Sekiranya anda masih ingin merapatkan jurang yang wujud di antara gigi itu bagi tujuan kosmetik, maka jangan tangguh untuk berbuat temu janji bersama doktor gigi yang bertauliah dan berdaftar ya?

    Ini senarai rawatan gigi jarang terbaik!

    Untuk pengetahuan anda semua, rawatan gigi jarang hanya atas dasar kosmetik dan tiada masalah jika individu tidak melakukannya. Berikut adalah antara pilihan rawatan klinikal yang anda boleh cuba:

    #1. Menampal jurang gigi yang jarang

    Pertama, jika masalah gigi jarang dengan jarak yang kecil sahaja, doktor mungkin akan mengesyorkan rawatan tampalan gigi. Composite resin adalah bahan yang biasa digunakan dalam prosedur ini.

    Namun, rawatan ini mungkin hanya akan bertahan selama beberapa tahun sahaja kerana ia boleh pecah, rosak, tertanggal atau bertukar warna. Maka, rawatan ulangan mungkin turut diperlukan.

    Rawatan gigi jarang #2. Pendakap gigi

    Merupakan prosedur yang paling popular terutama dalam golongan remaja dan belia, braces akan digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi sekali gus mengurangkan jarak di antara gigi.

    Apa yang mungkin perlu anda beri perhatian adalah ini akan memakan kos dan masa yang banyak. Dalam pada itu, tidak semua gigi sesuai dipakaikan pendakap, jadi dapatkan nasihat doktor.

    rawatan gigi jarang

    Rawatan gigi jarang #3. Perapat gigi

    Hampir sama dengan kaedah di atas tadi, tetapi tetap ada beza kerana aplians adalah alatan yang menyelesaikan masalah gigi jarang dan boleh tanggal. Ia hanya sesuai jika jarak gigi itu kecil.

    Diperbuat daripada bahan akrilik, ia amat sesuai untuk dipakai ketika sedang tidur di malam hari. Serupa dengan braces, tidak semua orang yang boleh pakai aplians dan perlu rundingan doktor.

    Baca lagi artikel berkaitan:

    Pilihan rawatan gigi jarang paling bagus #4. Veneer

    Anda pernah dengar atau baca tentang veneer? Ia adalah sejenis alatan yang akan dilekatkan pada permukaan hadapan gigi dan terbahagi kepada dua jenis utama yakni seramik atau porselin.

    Sebenarnya, veneer adalah pilihan rawatan untuk masalah gigi jarang yang terbaik kerana ia mampu tahan lebih lama berbanding tampalan dan tidak pula makan kos serta masa yang banyak seperti pendakap atau perapat gigi. Jadi, apa lagi yang anda tunggu?

    rawatan gigi jarang

    #5. Menggunakan gigi palsu

    Penggunaan gigi palsu itu mungkin adalah alternatif paling mudah namun sementara. Ada banyak lagi alternatif lain seperti bridge atau implant gigi yang turut individu boleh pertimbangkan.

    Rawat segala masalah dental terlebih dahulu!

    Diingatkan, individu perlu kenal, diagnosis dan rawat segala masalah dental yang dialami terlebih dahulu sebelum cuba sebarang jenis rawatan agar tidak pula timbul komplikasi lain nanti.

    Contohnya, anda perlu rawat masalah karies, akar atau segala yang berkaitan dengan gigi dan gusi anda terlebih dahulu untuk elak serta cegah masalah gigi daripada berlaku di peringkat awal lagi.

    Konklusinya, masalah ini tiada implikasi negatif yang begitu besar pada tahap kesihatan oral anda namun pilihan untuk membuat rawatan ada di tangan anda. Maka, sila buat keputusan yang bijak!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan