3. Lap habuk di rumah setiap minggu
Salah satu tip membersihkan rumah yang berguna untuk penghidap alahan ialah penggunaan kain mikrofiber untuk mengelap habuk pada perabot anda.
Sama seperti penyapu, penggunaan bulu ayam hanya akan membuatkan debu tersebar dengan lebih teruk pada kawasan rumah anda.
Lebih baik jika anda gunakan kain mikrofiber yang boleh memerangkap debu tersebut dan membersihkan rumah dengan lebih berkesan.
Pilih kain mikrofiber yang tahan lasak dan boleh dibasuh selepas digunakan. Periksa juga peralatan yang datang bersama kain tersebut. Pastikan ia boleh ditanggalkan dan mesra pengguna.
4. Basuh alas tilam dan sarung bantal seminggu sekali
Jangan lupa basuh alas tilam dan sarung bantal anda seminggu sekali. Walaupun ia nampak bersih, alas tilam anda mungkin dipenuhi oleh habuk, debu dan bulu kucing yang tak nampak dek mata kasar.
Malah, jika anda selalu meluangkan masa berbaring di atas katil, mungkin anda secara tidak sengaja telah membawa benda asing seperti makanan atau pasir daripada luar dan mengotori tilam anda.
Basuh alas tilam dan sarung bantal seminggu sekali bukan sahaja baik untuk alahan, ia juga mungkin mempunyai faedah yang tersendiri terhadap kulit anda.
5. Bersihkan sekali langsir atau tirai di rumah anda

Tingkap dan langsir merupakan tempat pengumpulan debu yang paling banyak dan sukar untuk dibersihkan. Jika langsir anda sukar ditanggalkan, cuba gunakan penyedut hampagas untuk menanggalkan semua debu yang terdapat pada permukaan langsir.
Namun, jika ia boleh dicuci dengan mesin basuh, pastikan anda mencucinya sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Jika anda menggunakan tirai yang diperbuat daripada plastik, gunakan kain mikrofiber untuk membersihkannya secara berkala.
Jika anda ingin membersihkan tirai dengan lebih pantas, tidak ada salahnya jika anda berbelanja lebih untuk membeli pembersih tirai!
6. Elakkan alahan, gunakan alatan yang betul
Kepada semua penghidap penyakit alahan, pastikan anda gunakan alatan yang betul semasa membersihkan rumah. Jangan lupa pakai pelitup muka dan sarung tangan.
Perhatikan juga pencuci lantai yang anda gunakan. Jika anda mempunyai alahan, jangan gunakan pencuci yang mempunyai pewangi. Cuba cari bahan pencuci yang lebih selamat dan mesra alahan.
Setelah seharian mencuci rumah, tinggalkan kawasan yang baru dibersihkan untuk beberapa jam. Amalan ini boleh mengurangkan reaksi alahan yang bakal anda alami nanti.
7. Kurangkan alergen di kawasan rumah

Membersihkan rumah akan jadi lebih mudah jika anda tidak mempunyai sebarang produk atau item yang mencetuskan alahan di dalam rumah anda.
Sebagai contoh, elakkan menggunakan lilin atau penyembur pewangi di dalam kawasan rumah. Selain itu, elakkan juga membuka tingkap jika anda duduk di kawasan yang berdebu atau di tengah bandar.
Cuba disiplinkan diri untuk tidak menyepahkan rumah dengan barang. Semua item ini boleh memerangkap debu dan menyebabkan anda lebih berisiko untuk mengalami alahan.
Kesimpulan
Jika anda menghidap penyakit alahan, pastikan anda mengikuti tip membersihkan rumah yang kami berikan di atas. Mana tahu, ia mungkin berkesan untuk mengelakkan serangan alahan pada masa hadapan!