backup og meta

Tahap Kolesterol Jahat Tinggi? Bahaya Tau, Walaupun Anda Sihat Walafiat!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 22/08/2023

    Tahap Kolesterol Jahat Tinggi? Bahaya Tau, Walaupun Anda Sihat Walafiat!

    Pernahkah anda dengar mengenai kolesterol jahat? Kolesterol jahat merupakan kolesterol LDL (low-density lipoprotein) yang meningkatkan risiko pembentukan plak pada kawasan arteri (aterosklerosis).


    Mereka yang mempunyai tahap kolesterol LDL yang tinggi lebih berisiko untuk menghidap sakit jantung, strok dan juga penyakit arteri periferal (PAD)

    Mungkin ramai yang sangka mereka terselamat daripada penyakit jantung jika mereka sihat dan mempunyai faktor risiko yang rendah.

    Walau bagaimanapun, menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Circulation, individu yang sihat masih perlu memerhatikan kadar kolesterol dalam badan mereka.

    Malah, para pengkaji juga mendapati mereka yang mempunyai kadar kolesterol LDL yang tinggi di dalam badan lebih berisiko untuk meninggal dunia disebabkan penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang mempunyai kolesterol LDL yang lebih rendah!

    Tetapi, sebelum kita teruskan pembacaan, mari ketahui dengan lebih lanjut tentang maksud kolesterol baik dan juga jahat ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Kolesterol baik VS kolesterol jahat

    Tahukah anda, ada dua jenis kolesterol iaitu kolesterol baik dan kolesterol jahat? Kolesterol baik ialah HDL (high-density lipoprotein) yang boleh melindungi manusia daripada sakit jantung dan strok.

    Malah, kolesterol HDL boleh ‘membawa’ LDL keluar daripada arteri dan kembali ke bahagian hati untuk dikeluarkan daripada badan.

    kolesterol jahat

    Walau bagaimanapun, kolesterol HDL tidak dapat membuang semua kolesterol LDL. Hanya 1/3 atau ¼ sahaja kolesterol dalam darah yang boleh dikumuhkan oleh HDL.

    Kolesterol LDL adalah ‘si jahat’ yang merangkumi sebahagian besar daripada jumlah kolesterol dalam badan manusia.

    Kolesterol LDL yang tinggi di dalam badan boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap sakit jantung dan strok.

    Kolesterol jahat bahaya untuk mereka yang sihat!

    Kajian tersebut telah membandingkan data daripada 36,375 orang peserta.

    Kesemua peserta tidak mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular atau diabetes dan mempunyai risiko 10 tahun yang rendah untuk mengalami sebarang penyakit kardiovaskular pada masa hadapan.

    Selepas mengikuti peserta selama 27 tahun bermula daripada umur 30 hingga 40 tahun, para pengkaji mendapati mereka yang mempunyai tahap kolesterol LDL yang lebih tinggi daripada 160 berisiko sebanyak 70-90% lebih tinggi untuk meninggal dunia disebabkan penyakit jantung.

    Dapatan kajian ini amat menakutkan kerana kebanyakan rakyat Amerika Syarikat mempunyai kadar kolesterol LDL sebanyak 240 atau lebih tinggi.

    kolesterol jahat

    Oleh sebab itu, menurut Dr. Shuaib M. Abdullah, Penolong Profesor DI UT Southwestern Medical Center, pemeriksaan kolesterol amat penting untuk mengesan penyakit jantung pada peringkat awal.

    Malah, semua individu digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kolesterol sekali setiap 4 hingga 6 tahun bermula daripada umur 20 tahun.

    Menurut Dr. Christie Ballantyne pula, kajian ini memberikan doktor informasi penting yang perlu dibincangkan bersama pesakit.

    Jika doktor mendapati tahap kolesterol LDL dalam badan pesakit tinggi, beliau boleh mencadangkan perubahan dari segi gaya hidup atau pengambilan ubat seperti statin untuk mengurangkan risiko sakit jantung.

    Tambah beliau lagi, individu yang sihat juga disarankan menjalani gaya hidup sihat seperti elakkan merokok, mengawal tekanan darah dan bersenam untuk memastikan jantung sentiasa sihat.

    Malah, kebanyakan penyakit kardiovaskular boleh dielakkan, lebih-lebih lagi jika pesakit mendapat informasi yang bertepatan dengan kondisi mereka.

    Dengan cara ini, mereka boleh melakukan perubahan secepat mungkin mengikut saranan doktor.

    Cara terbaik untuk turunkan kadar kolesterol jahat

    Seperti apa yang anda sedia maklum, bacaan kolesterol tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan serangan jantung.

    Pengambilan ubat-ubatan boleh membantu anda untuk menguruskan kadar kolesterol dengan lebih baik. 

    Walau bagaimanapun, jika anda ingin melakukan perubahan dari segi gaya hidup, anda boleh cuba 5 langkah di bawah:

    1. Makan makanan yang sihat

    kolesterol jahat

    Elakkan makanan yang mengandungi lemak tepu dan lemak trans. Dengan mengurangkan pengambilan lemak tepu, dalam masa yang sama anda juga boleh mengurangkan kadar kolesterol LDL dalam darah.

    2. Bersenam dengan lebih kerap

    Tahukah anda, senaman boleh meningkatkan kadar kolesterol baik di dalam badan? Oleh sebab itu, cuba lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

    3. Berhenti merokok

    Sudah tentulah, anda perlu berhenti merokok jika inginkan jantung yang lebih sihat. Malah, berhenti merokok juga membuatkan kadar kolesterol HDL anda jadi bertambah baik.

    4. Turunkan berat badan

    Walaupun nampak remeh, berat badan berlebihan memberikan impak terhadap kadar kolesterol dalam badan. Jika anda ingin menurunkan berat badan, elakkan minum minuman manis.

    Selain itu, cuba lakukan lebih banyak aktiviti fizikal setiap hari. Sebagai contoh, cuba banyakkan berjalan setiap hari.

    Elakkan duduk terlalu lama dan cuba berdiri ketika melakukan kerja.

    Baca juga:

    5. Elakkan pengambilan alkohol

    Elakkan mengambil terlalu banyakminuman beralkohol. Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti tekanan darah tinggi, kegagalan jantung dan strok.

    Kesimpulan

    Walaupun anda masih sihat, penting untuk anda melakukan ujian kolesterol untuk memantau kadar kolesterol LDL dalam badan anda.

    Mereka yang mempunyai tahap kolesterol jahat yang tinggi dalam badan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung pada masa hadapan.

    Oleh sebab itu, pastikan anda jaga pemakanan dan bersenam dengan kerap untuk merendahkan kadar kolesterol dalam badan.

    Selain itu, jika anda perlu makan ubat-ubatan, pastikan anda mengambilnya mengikut jadual yang diberikan oleh doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 22/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan