home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Apa Itu Kolesterol? Ini Maklumat Mengenainya Yang Wajib Anda Tahu

Apa itu kolesterol?|Diagnosis|Rawatan dan pengurusan |Konklusi
Apa Itu Kolesterol? Ini Maklumat Mengenainya Yang Wajib Anda Tahu

Apabila berkaitan dengan gaya hidup dan pemakanan sihat, kolesterol mempunyai reputasi buruk.

Doktor sering mengingatkan pesakit mereka agar lebih berhati-hati dalam pengambilan makanan berkolesterol.

Keadaan ini terutamanya apabila menjelang sambutan perayaan dan setiap individu terpanggil untuk mencuba pelbagai jenis juadah yang tersedia.

Walau bagaimanapun, nasihat agar setiap individu ‘berjaga-jaga dengan tahap kolesterol’ tidak begitu membantu jika mereka tidak tahu apa yang hendak dipantau.

Jika anda ingin mempelajari sedikit sebanyak tentang pengambilan kolesterol, baca artikel ini sehingga habis.

Apa itu kolesterol?

Kolesterol adalah lemak lipid sterol yang dihasilkan oleh organ hati (perkataan ‘kole/chole’ secara umumnya merujuk kepada jus hempedu yang dihasilkan oleh hati).

Ia juga boleh didapati pada sumber makanan terutamanya produk haiwan seperti daging dan telur.

Kolesterol adalah elemen penting di dalam badan memandangkan ia boleh mengekalkan struktur sel serta ia merupakan asas kepada pembuatan hormon seperti testosteron dan estrogen.

Kolesterol baik dan kolesterol jahat

Anda pasti pernah dengar akan istilah kolesterol baik dan kolesterol jahat.

Kolesterol baik merujuk kepada lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL).

HDL dianggap sebagai kolesterol yang lebih memberikan kebaikan kepada badan.

Ini berikutan keupayaannya mengumpul kolesterol daripada kawasan badan lain dan membawanya ke organ hati untuk dimetabolismekan.

Kolesterol jahat pula mempunyai perwatakan yang bertentangan dengan HDL. Ia dikenali sebagai lipoprotein berketumpatan rendah (LDL).

LDL adalah sejenis kolesterol yang boleh memasuki sel pada tisu badan. Ia berupaya untuk membawa kolesterol daripada hati ke tisu periferal.

Peningkatan paras LDL di dalam badan sering dikaitkan dengan peningkatan pada risiko penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung dan strok.

Berbeza dengan HDL yang boleh mengutip kolesterol untuk dimetabolismekan, LDL berupaya untuk melekat pada salur darah manusia bagi membentuk plak kolesterol.

Diagnosis

kolesterol normal

Anda tidak perlu panik atau risau. Apa yang penting adalah anda perlu mengetahui paras normal kolesterol.

Setelah mengetahui status anda, doktor akan membuat pelan bagi memastikan profil lemak anda berada pada paras yang optimum.

Bila saya perlu melakukan pemeriksaan kolesterol?

Meskipun risiko penyakit jantung meningkat seiring dengan peningkatan usia individu, namun Persatuan Jantung Amerika menyarankan profil lemak diuji pada usia 9 hingga 11 tahun dan 17 hingga 21 tahun.

Orang dewasa yang berusia 20 tahun dan ke atas perlu menjalani ujian pemeriksaan umum disertakan sekali dengan ujian profil lipid sekiranya terdapat faktor risiko.

Selepas itu, pemeriksaan perlu diulangi setiap 4 hingga 6 tahun sekali.

Selepas anda berusia 40 tahun, ujian ini akan menjadi lebih penting terutamanya jika anda mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang tinggi atau mula menunjukkan simptom dan tanda kolesterol tinggi.

Apakah parameter yang akan diukur oleh ujian ini?

Kebiasaannya, doktor akan membuat ujian kolesterol, profil lipid atau ujian panel lipid untuk menentukan paras kolesterol dan lemak terkini.

Bergantung kepada permintaan doktor dan peralatan makmal di dalam fasiliti, ujian panel lipid boleh memeriksa paras:

  1. Jumlah kolesterol
  2. HDL
  3. LDL
  4. Trigliserida (lemak)
  5. Nisbah trigliserida berbanding kolesterol

Ujian ini akan dijalankan dengan mengambil sampel darah daripada salur vena yang terdapat pada lengan atau tangan, sama seperti pemeriksaan kiraan darah lengkap (CBC/FBC).

Pemeriksaan mungkin akan dilakukan pada sampel darah yang sama.

Anda dikehendaki berpuasa semalaman (8 hingga 12 jam) sebelum sampel darah akan diambil.

Berapa bacaan yang dianggap normal?

Seperti ujian perubatan yang lain, tiada parameter normal yang mutlak bagi setiap ujian.

Apa yang dianggap normal oleh seseorang boleh jadi tinggi untuk individu lain.

Walau bagaimanapun, terdapat lingkungan nilai normal bagi kumpulan usia dan jantina tertentu.

Lingkungan nilai normal bagi jumlah kolesterol: <200 mg/dL.

Lingkungan nilai normal HDL: 45-70 mg/dL dan 50-90 mg/dL.

Paras jumlah kolesterol melebihi 240 mg/dL dianggap tinggi.

Wanita kebiasaannya mempunyai peratusan lemak badan yang tinggi berbanding lelaki. Maka, nilai normal kolesterol dan trigliserida berbeza bagi kedua-dua jantina.

Usia juga memainkan peranan dalam menentukan paras normal kolesterol.

Rawatan dan pengurusan 

gaya hidup

Dalam kebanyakan kes, doktor akan menasihatkan anda untuk mengamalkan tabiat pemakanan sihat jika anda mempunyai paras kolesterol tinggi atau faktor risiko penyakit kardiovaskular.

Makanan yang mempunyai kandungan serat, protein dan asid lemak omega 3 yang tinggi merupakan pilihan terbaik.

Senaman berkala juga digalakkan bersama dengan pemakanan sihat untuk menambak baik profil lipid dan tahap kesihatan menyeluruh.

Tip pengurusan

Jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan, penurunan berat badan boleh meningkatkan tahap kesihatan jantung dan menurunkan risiko penyakit.

Sekiranya diet dan senaman tidak cukup, doktor akan mempreskripsikan ubat seperti statin atau fibrate.

Penting buat anda untuk menuruti arahan doktor semasa mengambil ubat ini.

Jika anda mengalami sebarang kesan sampingan seperti kram otot, anda perlu memaklumkan kepada doktor yang merawat.

Selain itu, amalan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, tidur secukupnya dan tidak mengambil alkohol turut boleh menurunkan risiko penyakit kardiovaskular.

Konklusi

Apabila ia berkaitan dengan kolesterol, ia tidak terhad kepada pengurangan pengambilan makanan berlemak sahaja.

Lemak penting merupakan komponen yang membentuk sel manusia. Maka, kepentingannya tidak boleh disingkirkan sepenuhnya dalam hidup kita.

Pastikan anda mengambil makanan berkhasiat dan jalani gaya hidup sihat untuk mengoptimumkan tahap kesihatan anda.

health-tool-icon

Kalkulator BMI

Guna kalkulator ini untuk mengira Indeks Jisim Badan (BMI) dan semak tahap kesihatan berat badan anda. Anda juga boleh menyemak BMI anak.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Cholesterol. (https://www.heart.org/en/health-topics/cholesterol/about-cholesterol). Diakses pada 3 Januari 2020. 
  2. How to Get Your Cholesterol Tested. (https://www.heart.org/en/health-topics/cholesterol/how-to-get-your-cholesterol-tested). Diakses pada 3 Januari 2020. 
  3. LDL and HDL Cholesterol: “Bad” and “Good” Cholesterol. (https://www.cdc.gov/cholesterol/ldl_hdl.htm). Diakses pada 3 Januari 2020.
  4. Cholesterol. (https://www.aafp.org/family-physician/patient-care/clinical-recommendations/all-clinical-recommendations/cholesterol.html). Diakses pada 3 Januari 2020.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 07/01/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
x