Pakar mengesyaki pesakit hipertensi mungkin mempunyai tahap CoQ10 yang rendah di dalam badan.
Malah, ada juga kajian yang menunjukkan pengambilan CoQ10 dapat memberikan kesan positif terhadap tubuh seawal 12 minggu.
Bukan itu sahaja, CoQ10 juga didapati dapat mengurangkan simptom penyakit kegagalan jantung.
Walaupun dapatan kajian sedikit bercampur, CoQ10 mungkin dapat menurunkan tekanan darah pesakit.
Malah, menurut Mayo Clinic, terdapat juga kajian yang mencadangkan pengambilan CoQ10 bersama nutrisi lain untuk membantu kesembuhan pesakit yang menghidap pembedahan injap jantung.
Fungsi CoQ10 lain selain sebagai ubat tekanan darah tinggi
Bukan tekanan darah tinggi sahaja, suplemen CoQ10 juga mungkin berkesan untuk merawat:
- Diabetes. Banyak kajian yang mencadangkan pengambilan CoQ10 untuk mengurangkan kolesterol LDL di dalam darah pesakit diabetes. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian perlu dijalankan.
- Migrain. Mereka yang mengambil suplemen CoQ10 dikatakan kurang mengalami migrain.
- Prestasi fizikal. Disebabkan CoQ10 membantu penghasilan tenaga, suplemen ini dipercayai dapat meningkatkan prestasi fizikal pengamalnya. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk menyokong kenyataan ini.
- Membantu kesuburan. Mengambil suplemen CoQ10 dikatakan dapat membantu masalah kesuburan wanita dan lelaki.
- Kesihatan kulit. Mengaplikasikan CoQ10 terus kepada kulit dikatakan dapat mengurangkan kerosakan yang berlaku disebabkan sinaran UV dan mengurangkan kedutan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kenyataan di atas masih memerlukan lebih banyak kajian yang mendalam.
Keselamatan suplemen CoQ10

Dari segi keselamatan pula, suplemen CoQ10 selamat untuk dimakan sebagai ubat darah tinggi. Walaupun begitu, ia mungkin datang dengan beberapa kesan sampingan seperti:
- Sakit perut bahagian atas.
- Hilang selera makan.
- Loya dan muntah-muntah.
- Cirit-birit.
Selain itu, mereka yang mengamalkan ubat CoQ10 juga mungkin mengalami:
- Pening kepala.
- Insomnia.
- Keletihan.
- Ruam kulit.
- Rasa cepat marah.
Untuk wanita mengandung dan sedang menyusukan anak pula, elakkan mengambil suplemen CoQ10 tanpa kebenaran doktor.
Boleh didapati di dalam makanan
Anda mungkin tidak memerlukan suplemen untuk mendapatkan CoQ10.
Kompaun ini juga boleh didapati di dalam makanan seperti tuna, salmon, organ haiwan seperti hati dan juga bijirin penuh.
Walaupun diet dapat membekalkan kita dengan CoQ10, mereka yang berumur 50 tahun ke atas digalakkan untuk mengambil suplemen ini, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai masalah jantung dan darah tinggi.
Suplemen ini boleh didapati di farmasi berdekatan dalam bentuk pil keras dan juga gel lembut.
Mereka yang ingin mengambil ubat ini untuk masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan untuk memilih produk dengan dos sebanyak 30 hingga 200 mg sehari.
Jika anda masih ragu-ragu, anda boleh bertanya pada ahli farmasi yang bertugas. Mereka dapat membantu anda untuk memilih suplemen CoQ10 yang sesuai dengan umur serta kondisi kesihatan anda.
Kesimpulan

Tidak ada salahnya jika anda ingin mengambil suplemen tambahan untuk merawat kondisi atau penyakit yang anda alami.
Walau bagaimanapun, kepada mereka yang telah menerima ubat-ubatan daripada doktor, pastikan anda bertanyakan doktor sebelum mengambil apa-apa jenis suplemen.
Ingat ya, ubat ini bukanlah 100% berkesan untuk merawat tekanan darah tinggi.
Suplemen bukanlah ubat ajaib untuk merawat penyakit yang anda alami. Jika anda mempunyai penyakit tekanan darah tinggi, pastikan anda mengambil ubat seperti saranan doktor.
Jika doktor mencadangkan perubahan dari segi gaya hidup, cuba untuk patuhinya sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan lain. Pastikan anda sentiasa mengikuti pelan rawatan doktor dan menghadiri setiap janji temu ya!