Ketua Koordinator Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin juga menyatakan bahawa kandungan arekolin dalam sirih dan pinang boleh membuatkan seseorang ketagih. Menurut beliau, sepertimana tembakau, nikotin yang terkandung di dalamnya adalah faktor ketagihan. Begitu juga dengan sirih dan pinang yang mengandungi arekolin. Arekolin adalah alkaloid yang toksik dan bertindak sebagai agonis ke atas sistem saraf. Menurut beliau lagi, pengambilan yang berlebihan menjadikannya sebagai risiko kepada kanser dan selain ia sudah dikategorikan sebagai karsinogen (bahan yang membentuk kanser) kepada manusia.
Di Malaysia, terdapat 10.3 peratus pemakan sirih dan pinang. Daripada angka ini, pengguna teramai adalah daripada golongan wanita iaitu sekitar 32.1 peratus berbanding lelaki, 10.3 peratus. Penyelidikan di India turut telah membuktikan bahawa semua kes kanser mulut berlaku dalam kalangan individu yang memakan sirih dan pinang. Beliau yang juga merupakan Pakar Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok di Pusat Pakar Universiti Malaya berkata, risiko untuk seseorang itu mendapat kanser mulut akibat mengambil sirih dan pinang lebih tinggi berbanding daripada pengguna tembakau. Beliau menyatakan, dianggarkan risiko keputihan di bahagian pipi dalam (oral lichen planus) boleh terjadi sebanyak 15.8 kali kerana memakan sirih dan pinang, manakala kebonjolan (nodular leukoplakia) pula adalah sebanyak 3,243.1 kali. Tambah beliau lagi, tabiat memakan daun sirih dan buah pinang juga dikaitkan dengan kesan kesihatan kepada jantung, saraf, perut atau usus, pernafasan dan sistem reproduktif.
Mengunyah campuran daun sirih mendedahkan kepada karsinogen

Mengunyah campuran daun sirih yang merupakan bahan psikoaktif yang paling popular keempat di dunia selepas tembakau, alkohol dan kafein, akan mendedahkan seramai 600 juta penggunanya kepada bahan-bahan yang bertindak sebagai karsinogen secara langsung di mulut. Ini berdasarkan kajian yang telah dijalankan dan diterbitkan pada tahun 2012 dalam jurnal Chemical Research in Toxicology oleh American Chemical Society.
Para penyelidik, Mu-Rong Chao dan Chiung-Wen Hu telah menjelaskan bahawa campuran daun sirih adalah campuran yang terdiri daripada buah pinang, yang kadangkala dicampurkan dengan rempah-rempah, seperti buah pelaga atau safron, serta bahan-bahan lain. Para saintis telah mengetahui selama beberapa dekad bahawa aktiviti mengunyah campuran daun sirih boleh menyebabkan kanser mulut dan baru-baru ini juga telah menunjukkan bahawa bahan-bahan dalam campuran daun sirih dapat diubah menjadi karsinogen dalam tubuh. Penulis kajian tersebut telah mengkaji sama ada terdapat sebarang bahan dalam buah pinang yang boleh menyebabkan kanser secara langsung, tanpa memerlukan tubuh untuk menukar atau “mengaktifkannya”.
Para penyelidik mendapati bahawa sebatian dalam buah pinang boleh memperkenalkan radikal alkil (alkylate) kepada DNA bahan genetik, yang menyebabkan perubahan yang meningkatkan risiko kanser, dan ia hadir dalam campuran daun sirih dalam jumlah yang cukup tinggi untuk melakukannya. Menurut para penyelidik, kajian mereka telah menunjukkan bahawa agen-agen alkylating ini berada di tahap yang mencukupi untuk menyebabkan kerosakan DNA dan berpotensi mempunyai implikasi buruk terhadap kesihatan manusia, terutamanya dalam hal perkembangan kanser mulut bagi mereka yang mengunyah campuran daun sirih.
Adakah buah pinang yang terdapat dalam campuran daun sirih turut memberi kesan besar terhadap ketagihan?
Bagi beratus-ratus juta individu di seluruh dunia yang mengunyah campuran daun sirih, aktiviti mengunyah campuran daun sirih bukan sahaja memberikan mereka keseronokan, malah turut merisikokan mereka untuk mendapat ketagihan dan kanser mulut. Penemuan penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik University of Florida pada tahun 2015 telah menunjukkan bagaimana bahan kimia psikoaktif buah pinang berfungsi di bahagian otak.
Buah pinang, yang merupakan sejenis biji atau benih daripada jenis pokok Areca, ditanam dan digunakan di negara India, sebahagian daripada China dan sebahagian besar negara-negara Asia Tenggara, termasuklah Indonesia dan kebanyakan kepulauan Pasifik. Budaya mengunyah campuran daun sirih yang terdiri daripada campuran buah pinang, rempah-rempah dan kapur yang dibungkus dengan daun sirih, telah menjadi tradisi kebudayaan di kawasan-kawasan tersebut selama berabad lamanya. Jika dimakan dengan dos kecil, ia mewujudkan rasa kegembiraan atau keterangsangan dan kewaspadaan. Penggunaan secara berpanjangan boleh menyebabkan ketagihan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengklasifikasikan buah pinang sebagai karsinogen.
Menurut Profesor Roger L. Papke yang merupakan seorang profesor di Department of Pharmacology and Therapeutics, College of Medicine, University of Florida, penemuan yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE menunjukkan bahawa bahan aktif yang terdapat dalam buah pinang iaitu arecoline, bertindak pada protein reseptor yang sama di otak sebagai nikotin. Ini menyebabkan kemungkinan bahawa ubat-ubatan preskripsi yang kini digunakan untuk menghalang kebergantungan nikotin juga berkesan terhadap ketagihan buah pinang.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen