Kaedah paling popular dalam bidang ini adalah persenyawaan in-vitro (In-Vitro Fertilisation) dan sejak pengenalannya pada tahun 1978, sekitar 8 juta bayi telah dilahirkan melalui kaedah ini.
Di Malaysia, servis IVF ini semakin banyak ditawarkan dan kosnya adalah sekitar RM 16,000 hingga RM 20,000, bergantung kepada prosedur tambahan yang dijalani dan juga keadaan pesakit.
Kontraseptif

Kontraseptif atau pencegahan kehamilan merupakan topik yang semakin mendapat liputan. Ia merupakan salah satu komponen penting dalam perancangan keluarga.
Perancangan keluarga yang baik adalah penting bagi memastikan pembangunan keluarga itu harmoni tanpa stres dari faktor emosi dan juga kewangan, di samping menjamin perkembangan psikososial yang baik dan perhatian yang cukup diberikan kepada setiap anak yang dimiliki.
Kontraseptif kini disediakan dalam pelbagai bentuk yang boleh dilaraskan mengikut citarasa dan kesesuaian pesakit. Faktor kesesuaian ini penting bagi memastikan pesakit selesa menggunakan kaedah tersebut sekali gus meningkatkan peratusan kejayaan kaedah tersebut dalam membendung kehamilan.
Penyakit jangkitan kelamin

Penyakit jangkitan kelamin adalah salah satu cabang kesihatan seksual yang penting kerana ia membabitkan penyakit yang boleh berjangkit, memberi beban kesihatan jangka masa panjang dan kematian.
Menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, lapan jangkitan kelamin yang paling lazim adalah:
- Chlamydia
- Gonorrhea
- Virus Hepatitis B virus (HBV)
- Virus Herpes Simplex jenis 2 (HSV-2)
- HIV
- Virus Human Papillomavirus (HPV)
- Sifilis
- Trichomoniasis
Di Malaysia, amalan seks yang tidak selamat menyumbang kepada 80% daripada kes keseluruhan.
Kes HIV pertama yang dilaporkan di Malaysia adalah pada tahun 1986 dan sejak itu, terdapat lebih 100,000 kes HIV di seluruh Malaysia dan lebih 16,000 kematian telah dicatatkan pada Disember 2013.
Dalam negara kita, epidemik HIV kebanyakannya tertumpu dalam komuniti lelaki homoseksual, transgender, pekerja seks dan juga mereka yang berkongsi jarum.
Majoriti kes baru HIV berlaku dalam golongan berusia 20 hingga 29 tahun dan hubungan kelamin merupakan kaedah penyebaran yang paling tinggi (74%) berbanding berkongsi jarum suntikan (22%).
Kesimpulan
Kesihatan reproduktif adalah satu topik yang meliputi sebahagian besar populasi kita tanpa mengenal usia, jantina mahupun budaya dan agama.
Justeru, pentingnya untuk ambil cakna tentang keadaan berkaitan kesihatan seksual agar kita tahu melindungi diri dan juga bagaimana untuk mendapatkan bantuan serta rawatan sekiranya perlu.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen