backup og meta

Capati: Makanan Ruji Alternatif Kepada Nasi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/07/2022

    Capati: Makanan Ruji Alternatif Kepada Nasi

    Benarkah capati adalah makanan alternatif yang bagus kepada nasi? Jika ya, ketahui sebab-sebabnya menerusi artikel ini.

    Masyarakat kita tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India atau lain-lain tidak boleh lari daripada pengambilan nasi sebagai sumber makanan utama. Ini kerana nasi sudah sangat sinonim dengan masyarakat kita. Ia adalah makanan yang boleh diambil pada setiap waktu makan meskipun ia selalu dijadikan menu makan tengah hari atau malam.

    Hakikatnya, nasi adalah makanan ruji bagi rakyat Malaysia. Ia adalah sejenis makanan yang boleh dimasak dengan pelbagai cara. Anda mungkin boleh menanaknya, mengukusnya, menggoreng atau memanggangnya. Selain itu, ia juga sebenarnya boleh dimakan dengan pelbagai jenis lauk seperti ayam, daging atau makanan laut bergantung kepada selera individu.

    Pun begitu, nasi seringkali disalahertikan sebagai makanan yang tidak sihat. Kebanyakan individu beranggapan bahawa nasi adalah makanan yang boleh menjadikan seseorang itu gemuk sekali gus meninggikan risiko obesiti. Akan tetapi, nasi masih diperlukan kerana ia mendatangkan tenaga kepada kita ekoran mengandungi kalori yang tinggi.

    Jadi, adakah terdapat sebarang makanan alternatif yang bagus kepada nasi? Sebenarnya, terdapat beberapa makanan yang berpotensi untuk menjadi alternatif nasi. Pun begitu, mungkin hanya terdapat satu makanan yang paling terbaik dalam kalangannya iaitu capati. Persoalannya, mengapakah capati terpilih sebagai makanan alternatif terbaik kepada nasi?

    Ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

    nasi putih

    Nasi: makanan ruji masyarakat kita

    Sebelum itu, kita perlu tahu terlebih dahulu punca nasi menjadi makanan ruji masyarakat kita. Bagi anda yang belum tahu, nasi sememangnya merupakan makanan ruji bagi masyarakat Malaysia sehingga ada segelintir di antara kita yang tidak boleh hidung senang tanpa nasi. Di negara kita, nasi terdapat aneka jenis. Antara yang paling popular dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang bangsa ini adalah nasi lemak.

    Sebut sahaja nasi lemak, siapa yang tidak pernah mencubanya, bukan? Ia adalah salah satu daripada simbol makanan yang popular di Malaysia. Selain itu, kita juga ada nasi dagang, nasi kerabu, nasi minyak, nasi hujan panas dan pelbagai lagi nasi yang menjadi kegemaran masyarakat kita. Pun begitu, tiada satu pun jenis nasi yang dapat mengalahkan nasi putih sebagai makanan ruji utama masyarakat di Malaysia.

    Namun demikian, ada individu yang beranggapan bahawa nasi adalah sumber makanan ruji yang tidak sihat. Mereka juga berpendapat bahawa ia perlu digantikan dengan makanan yang lain seperti capati.

    Apa itu capati?

    Capati, chapati, chappati atau chapathi adalah sejenis roti rata yang tidak beragi. Ia berasal daripada India, Pakistan dan Nepal. Disebabkan ia sangat disukai dan digemari di sana, popularitinya mula menular ke benua Asia dan seterusnya di persada dunia. Mungkin ramai yang belum tahu bahawa capati juga sebenarnya mempunyai variasinya yang tersendiri mengikut kawasan. Di China, capati dinamakan sebagai roti rata laobing. Di Kenya, Tanzania dan Uganda juga, capati turut dikenali dengan pelbagai nama unik masing-masing.

    Jika mahu dilihat daripada aspek linguistik, capati adalah perkataan dalam bahasa India yang membawa maksud “leper bulat”. Capati juga pernah dicatatakam di dalam Ain-i-Akbari, dokumen abad ke-16, oleh Maharaja Mughal, wazir Akbar, Abul-Fazl ibn Mubarak. 

    Bagaimana cara sebenar memasak capati?

    Capati diperbuat daripada tepung gandum yang telah ditambah dengan garam, minyak masak dan juga air. Pertama sekali, bahan-bahan tadi akan dicampurkan dan diproses menjadi doh. Doh itu kemudiannya akan dijadikan bahagian-bahagian kecil ke dalam cakera yang banyak seperti Tortilla dengan menggunakan pencanai. Doh itu akan ditebar dan dicanai, dan kemudian dimasak di dalam kuali yang kering.

    Di Nepal, capati hanya dimasak sebahagiannya sahaja di dalam kuali kering. Kemudiannya pula, mereka akan meletakkan ia secara langsung pada api yang tinggi seolah-olah menjadikannya seperti perbuatan meletupkan belon. Ini bertujuan untuk memasukkan udara yang panas ke dalam capati. Di India dan Pakistan perbuatan ini dikenali sebagai ‘phulka’ yang membawa maksud ‘melambung’. 

    Kebiasaannya, bahagian atas capati akan disapu dengan mentega atau minyak sapi sebagai penambah rasa. Ia boleh dimakan bersama dengan pelbagai jenis kuah seperti kuah dal, kuah kari, daging atau sayur. Cara ia dihidangkan pula selalunya mudah sahaja iaitu ia akan diletakkan di dalam satu pinggan besar. Hidangan sampingan pula akan diletakkan di dalam mangkuk yang lain agar kena dengan cita rasa pemakannya.

    Apakah saiz sebenar sekeping capati?

    Jika anda memesan capati di restoran mamak, pasti capati yang anda pesan itu akan sampai dengan saiz yang standard sahaja, bukan? Untuk memberi gambaran yang lebih tepat, saiz standard capati di Malaysia adalah sebesar pinggan makan yang biasa sahaja. Di negara asalnya pula, adakah terdapat sebarang perbezaan yang ketara?

    Di kawasan asalnya iaitu India, ia sebenarnya adalah berbeza mengikut dapur dan kawasan. Sebagai contoh, di Gujarat, capati yang dikenali sebagai ‘rotli’ ini selalunya dibuat setebal sehelai kertas tisu sahaja. Manakala bagi kawasan lain di India, saiznya adalah lebih kurang sama seperti capati di Malaysia.

    Semenjak ‘tava’ dicipta, dapur domestik kini telah menyebabkan capati menjadi sedikit kecil dan kebiasaannya berukuran tidak lebih besar daripada 6 hingga 7 inci diameter. Secara tradisinya, ‘tava’ diperbuat daripada tembikar. Sesuai dengan peralihan masa pula, ia kini biasanya diperbuat daripada logam dan menggunakan elektrik sebagai sumber tenaga haba.

    Capati vs roti canai

    Di Malaysia, capati adalah kurang popular dalam kalangan roti berbanding roti canai dalam kalangan ‘flatbread’ sedangkan di negara asalnya sendiri capati adalah makanan ruji dan roti canai pula hanyalah sekadar makanan ringan atau snek buat mereka. Apakah sebabnya?

    Mungkin variasi merupakan jawapannya. Di negara kita, roti canai telah dipelbagaikan dengan mencampurkan roti tersebut dengan pelbagai inti atau kandungan yang dirasakan sesuai. Berikut merupakan antara contoh variasi roti canai yang terkenal di Malaysia:

    #1. Roti canai biasa

    Roti canai biasa adalah jenis roti canai yang paling asas dan paling popular. Rupanya seakan-akan roti ‘paratha’ yang berasal dari India. Ia tidak mempunyai sebarang inti dan kebiasaannya dimakan dengan kuah kari atau dal. Pun begitu, ada juga masyarakat kita yang memakannya dengan mencecahnya pada susu pekat manis atau gula, mengikut selera masing-masing.

    #2. Roti canai telur

    Roti canai telur adalah roti canai yang berintikan telur. Kebiasaannya, sekeping roti canai akan menggunakan satu telur ayam sahaja. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    #3. Roti canai tampal

    Roti canai tampal adalah roti canai yang berintikan telur. Berbeza dengan roti canai telur yang memasukkan telur tersebut di dalam, roti canai tampal akan meletakkan telur tersebut di luar roti. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    #4. Roti canai bawang

    Roti canai telur adalah roti canai yang berintikan bawang. Bawang yang digunakan adalah bawang merah yang telah dipotong dan dihiris kecil-kecil sebelum dimasukkan ke dalam roti. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    #5. Roti canai pisang

    Roti canai telur adalah roti canai yang berintikan pisang. Pisang tersebut akan dipotong dan dihiris tidak terlalu tebal dan juga tidak terlalu nipis. Seterusnya, ia akan dimasak bersama dengan gula dan mentega bagi mendatangkan aroma wangi dan rasa lemak yang kuat. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    #6. Roti canai marjerin

    Roti canai telur adalah roti canai yang berintikan marjerin. Selain manjerin, mentega juga boleh digunakan sebagai sapuan di dalam roti canai. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    #7. Roti canai sardin

    Roti canai telur adalah roti canai yang berintikan sardin. Sardin di dalam tin merupakan pilihan yang terbaik untuk dijadikan inti di dalam roti canai ini. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    #8. Roti canai keju

    Roti canai telur adalah roti canai yang berintikan keju. Keju seperti keju mozarella, yang sangat popular digunakan di dalam pembuatan piza, adalah jenis keju yang paling sesuai untuk digunakan. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    #9. Roti canai milo

    Roti canai telur adalah roti canai yang berintikan milo. Sesuai dengan namanya, roti canai ini akan dimasukkan milo ke dalamnya dan ditaburkan milo di atasnya. Selain itu, ia juga boleh digantikan dengan serbuk minuman yang lain mengikut citarasa seperti horlick, nestum, nescafe dan lain-lain. Sama seperti roti canai yang lain, ia juga boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah pilihan anda sendiri.

    roti, bijirin penuh

    Variasi roti lain yang terdapat di Malaysia

    Selain daripada roti canai, terdapat banyak lagi jenis roti yang mampu melawan populariti capati di Malaysia. Antara contoh roti-roti tersebut adalah seperti berikut:

    • Roti tisu

    Roti tisu sebenarnya adalah sejenis roti yang seakan-akan roti canai biasa tetapi terdapat juga perbezaannya yang ketara dari segi penampilannya. Perbezaannya, roti tisu dibentukkan sebagai seakan sebuah menara yang tinggi. Pun begitu, ia amat mudah koyak jika disentuh dengan ganas. Oleh itu, sila makan dengan perlahan-lahan dan berhati-hati, ya? 

    • Roti bakar

    Roti bakar adalah roti keping yang disapu dengan kaya, mentega atau pelbagai lagi sapuan seperti coklat atau strawberi sesuai mengikut cita rasa individu. Senang sahaja untuk memasak roti ini iaitu hanya bakarkan sahaja ia di dalam pembakar roti, ketuhar ataupun di atas kuali tanpa minyak sebelum menyapukan sapuan yang anda inginkan.

    • Roti jala

    Roti jala adalah roti yang biasanya berwarna kuning dan mempunyai jaring-jaring yang membentuk lubang-lubang kecil seperti sarang labah-labah, kemudian digulung. Apa yang uniknya mengenai roti jala ini adalah ia menggunakan kunyit sebagai bahan penambah rasa dan warna yang menyerlahkan lagi teksturnya. Ia biasanya dimakan dengan kuah kari

    • Roti arab

    Roti arab ini adalah sesuai dengan namanya, kerana ia memang datangnya daripada negara timur tengah tersebut. Ia sangat tebal dan amat mengenyangkan. Ia sesuai dimakan dengan lauk pauk seperti ayam tandoori atau kuah pilihan anda.

    • Roti naan

    Roti naan adalah roti yang dimasak di dalam tong ketuhar besar yang selalu kita dapat lihat di restoran mamak. Ia juga sama seperti roti canai dan mempunyai pelbagai variasi. Antara variasa yang paling terkenal adalah roti naan keju. Ia juga sedap dimakan dengan ayam tandoori atau kuah pilihan anda.

    • Roti john

    Roti john adalah berasal daripada England. Ia adalah sejenis roti sancwic oblong yang mengandungi isi daging, sayur dan pelbagai sos seperti cili, tomato, mustard atau mayonis. Saiznya yang agak besar dan panjang membuatkan ia menjadi makanan yang sesuai untuk dikongsi untuk dimakan bersama.

    • Murtabak

    Murtabak adalah sejenis roti yang mengandungi isi daging atau ayam di dalamnya dan banyak dijual di pasar-pasar pada waktu malam. Ia sangat sedap dimakan bersama kuah bawang atau makan begitu sahaja.

     

    • Tosai 

    Tosai merupakan sejenis makanan yang mampu menandingi capati jika dilihat daripada aspek makanan yang sihat, ini kerana tosai mempunyai lemak dan kalori rendah yang juga sangat mudah dihadam oleh perut. Pendek kata, ia amat sesuai dimakan oleh individu yang menjaga pemakanan mereka. 

    Namun begitu, roti-roti yang disenaraikan ini bukan semuanya sihat untuk kesihatan kita. Kebanyakannya sangat berlemak, berminyak dan berkalori tinggi. Berbeza dengan capati, ia adalah pilihan yang jauh lebih sihat. Malahan itu, capati juga sebenarnya berpotensi menjadi alternatif kepada makanan ruji rakyat Malaysia iaitu nasi. Pun begitu, adakah penyataan ini benar?

    Adakah benar capati lebih sihat?

    Ya, sememangnya capati adalah jauh lebih sihat berbanding roti ‘flatbread’ yang lain dan juga nasi. Ini kerana capati adalah sejenis roti yang tidak menggunakan minyak untuk memasaknya lalu menjadikannya rendah lemak dan rendah kalori. Selain itu, capati juga disarankan untuk dimakan bersama kuah kacang dal. Ia merupakan sejenis kekacang yang sangat tinggi dengan kandungan zat besi, protein dan juga asid folik

    Sebenarnya, anda juga tidak perlu pergi ke restoran mamak semata-mata ingin menjamu selera dengan memakan capati. Anda boleh membuatnya sendiri di rumah anda! Ini bukan sahaja dapat menjimatkan, malahan juga dapat memasatikan capati yang anda sendiri buat itu adalah lebih sedap, bersih dan sihat berbanding dengan capati yang anda boleh jumpa di luar.

    Resepi capati sihat yang anda boleh buat sendiri di rumah

    Bahan-bahan:

    • Tepung gandum
    • Air panas
    • Garam
    • Minyak masak

    Cara-cara:

    Membuat doh

    #1. Masukkan tepung gandum ke dalam bekas bersama garam dan gaul ia dengan rata.

    #2. Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit supaya adunan tidak terlalu lembik akibat terlebih air.

    #3. Gaul dengan sudu atau sudip. Jika tangan anda boleh tahan panas, anda boleh sahaja menggunakan tangan.

    #4. Setelah ia sebati, masukkan sedikit minyak supaya tidak melekat.

    #5. Selepas itu, tinggalkan doh seketika selama 15 minit.

    #6. Uli lagi dengan tangan. Jika mahu roti cantik dan lembut, ulang proses ini 2 atau 3 kali.

    #7. Setelah siap, bulatkan doh agak-agak sebesar telur gred A.

    Menggelek doh

    #1. Untuk menggelek, taburkan sedikit tepung pada permukaan yang mahu digelek.

    #2. Kemudian, letakkan doh dan tekan sedikit doh. Taburkan lagi tepung di atas doh. Ini supaya doh tidak melekat pada tempat yang digelek dan pada penggelek.

    #3. Gelek doh tanpa ditekan dan pusingkan doh 90 darjah, bukan terbalik.

    #4. Sama juga cuma gelek tanpa ditekan. Pusing lagi, tekan sedikit pada kali ini dan ulang proses yang sama dengan menambah tekanan pada doh.

    #5. Selepas itu, angkat dan letakkan pada tapak tangan kanan dan alih ke kiri pula untuk membuang saki baki tepung yang ditabur tadi.

    Membakar

    #1. Panaskan pembakar.

    #2. Biarkan pembakar panas dengan api yang sederhana. Jangan terlalu kuat kerana bimbang roti hangit dan tidak masak di bahagian dalam.

    #3. Kemudian, letak roti yang telah digelek tadi dan tunggu seketika sehingga kelihatan roti menggelembung.

    #4. Terbalikkan dan tekan sedikit dengan sudip, dan terbalikkan sekali lagi untuk yang terakhir.

    #5. Selepas itu, boleh diangkat. Untuk proses bakar cuma mengambil masa sebentar sahaja untuk mengelak roti hangit.

    Akhir sekali, hidang capati yang telah siap dimasak di atas pinggan bersama dengan kuah kacang dal atau pilihan kuah mengikut cita rasa anda.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan