- Antipenuaan

Khasiat daripada antioksidan bukanlah satu yang baru dan misteri. Antara punca penuaan adalah pengumpulan radikal bebas di dalam badan. Di samping membekalkan antioksidan, ia juga merangsang penghasilan antioksidan di dalam badan. Selain itu, bawang juga membantu membuang toksik di dalam badan, seterusnya membantu melambatkan lagi proses penuaan.
- Bagus untuk penghidap anemia
Penghidap anemia mempunyai kadar hemoglobin yang rendah. Hemoglobin adalah sejenis protein di dalam sel darah merah yang dihasilkan daripada zat besi. Ia berfungsi membawa oksigen di dalam darah. Bawang merah mengandungi kadar zat besi yang baik. Ia sekali gus membantu meningkatkan zat besi serta hemoglobin di dalam badan.
- Mengawal kadar gula dalam darah
Mineral kromium di dalam bawang membantu mengawal kadar gula dalam darah. Perkara ini adalah sangat penting bagi individu yang mengalami diabetes atau prediabetes. Sulfur di dalamnya pula merangsang penghasilan insulin. Khasiat ini adalah bermanfaat khusus bagi mereka yang mengalami kencing manis. Walau bagaimanapun, ia bukanlah pengganti kepada ubat-ubatan yang dipreskripsi oleh doktor tetapi sebagai usaha tambahan dalam mengawal kadar gula.
Satu kajian yang dilakukan kepada 42 individu dengan diabetes jenis 2, menunjukkan bahawa makan 100 gram bawang merah segar mengurangkan kadar gula darah bagi individu yang berpuasa sebanyak 40 miligram/ dl selepas empat jam.
Sebatian khusus yang terdapat dalam bawang, seperti sebatian quercetin dan sulfur, mempunyai kesan antidiabetik. Sebagai contoh, quercetin telah ditunjukkan untuk berinteraksi dengan sel-sel dalam usus kecil, pankreas, otot rangka, tisu lemak dan hati untuk mengawal peredaran gula darah seluruh badan.
- Mencegah keradangan
Anda yang sering mengalami radang atau iritasi, terutama pada bahagian leher, anda mungkin boleh untuk mengamalkan pengambilan bawang merah dalam masakan dan diet makanan anda. Ini kerana kandungan quercetin pada bawang merah dipercayai dapat meredakan radang. Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit pada bahagian kepala yang disebabkan selesema dan hidung tersumbat. Hal ini disebabkan oleh kandungan sulfur pada bawang merah yang mampu memecahkan mukus.
- Meningkatkan kesihatan jantung
Bagi individu yang memiliki masalah kesihatan berkaitan jantung, anda boleh cuba memakan bawang ini. Kandungan flavonoid pada bawang merah ini dapat membantu fungsi jantung. Selain itu, kandungan organosulfur pada bawang ini dapat mencegah risiko munculnya penyakit kardiovaskular. Di samping itu, bahan masakan paling popular ini juga mengandungi tiosulfinat yang dapat mengurangkan dan menurunkan risiko penyakit strok (angin ahmar).
- Melancarkan sistem pernafasan
Seperti yang dikatakan tadi, bawang ini mempunyai sifat antiradang. Oleh sebab itu, individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan alahan adalah amat disarankan untuk memakan bawang ini kerana dipercayai dapat melancarkan sistem pernafasan.
- Meningkatkan kualiti tidur
Sekiranya anda mempunyai atau sering berdepan dengan masalah sukar untuk tidur, anda mungkin boleh mencuba untuk memperbanyakkan pengambilan dan penggunaan bawang ini di dalam masakan anda. Ini kerana bahan ini dikatakan mempunyai probiotik yang dapat membantu meningkatkan kualiti tidur dan mengurangkan tekanan. Di samping itu, dikatakan terdapat bakteria baik dalam bawang ini yang dipercayai dapat merangsang fungsi otak dengan lebih baik.
- Baik untuk mata
Kandungan sulfur yang terdapat pada bawang merah ternyata baik untuk kesihatan mata. Zat tersebut mampu merangsang produksi protein iaitu glutathione, yang berperanan sebagai antioksidan. Vitamin E yang terkandung pada bawang merah sangat baik untuk mata.
- Ketumpatan tulang
Sememangnya produk tenusu merupakan antara makanan terbaik yang dapat menjaga dan meningkatkan kesihatan tulang. Tetapi selain itu, bawang juga dipercayai dapat menyokong pertumbuhan tulang yang kuat.
Dalam satu kajian kepada sekumpulan individu wanita berusia pertengahan 24 tahun dan wanita yang mengalami menopaus menunjukkan individu yang mengambil 100 ml jus bawang setiap hari selama lapan minggu telah meningkatkan ketumpatan mineral tulang dan antioksidan berbanding dengan kumpulan yang tidak mengambilnya.
Satu lagi kajian dalam 507 individu wanita perimenopaus dan postmenopaus mendapati individu wanita yang memakan bawang sekurang-kurangnya sekali sehari, akan mempunyai ketumpatan tulang keseluruhan 5% lebih besar daripada individu yang hanya memakan sekali sebulan atau kurang daripada itu.
Manakala, terdapat kajian menunjukkan individu wanita yang lebih berusia yang sering makan bawang akan menurunkan risiko patah tulang pinggul lebih daripada 20% berbanding mereka yang tidak memakannya langsung.
Dipercayai bawang ini berkeupayaan untuk mengurangkan tekanan oksidatif, meningkatkan tahap antioksidan dan mengurangkan kehilangan tulang, mencegah osteoporosis dan meningkatkan ketumpatan tulang.
- Melawan bakteria
Bawang boleh melawan bakteria berbahaya seperti Escherichia coli (E. coli), Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus (S. aureus) dan Bacillus cereus. Tambahan pula, ekstrak bawang menunjukkan ia membantu menghalang pertumbuhan Vibrio cholerae, bakteria yang menjadi kebimbangan kesihatan awam utama di negara yang membangun.
Quercetin yang diekstrak dari bawang dipercayai menjadi satu kaedah yang sangat kuat untuk melawan bakteria. Dalam satu kajian, quercetin yang diekstrak daripada kulit bawang kuning berjaya menghalang pertumbuhan Helicobacter pylori (H.pylori) dan Staphylococcus aureus (Methicillin-resistant).
H. pylori adalah bakteria yang dikaitkan dengan ulser perut dan kanser pencernaan tertentu, sementara MRSA adalah bakteria yang menghalang antibiotik yang mengakibatkan jangkitan pada bahagian-bahagian badan yang tertentu.
- Melawan kanser
Memakan sayuran seperti bawang putih atau bawang merah dipercayai mempunyai kaitan untuk mengurangkan risiko kanser tertentu seperti kanser perut dan kanser kolorektal.
Dalam satu penyelidikan terhadap 16 kajian yang melibatkan 13,333 individu menunjukkan bahawa individu yang mengambil bawang merah pada kadar yang tinggi dapat menurunkan 15% risiko kanser kolorektal berbanding individu yang kurang atau tidak mengambil bawang merah.
Bawang juga mengandungi fisetin dan quercetin, antioksidan flavonoid yang dipercayai boleh menghalang pertumbuhan tumor.
- Merawat gigi
Bawang mentah sememangnya boleh membuatkan nafas kita berbau. Tetapi dalam masa yang sama ia amat berguna untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan mulut. Mengunyah bawang mentah dipercayai dapat menguatkan gigi dan dalam masa yang sama menghilangkan bakteria yang menyebabkan kerosakan gigi. Jadi mungkin anda yang mempunyai masalah gigi, boleh mencuba kaedah ini.
- Asma
Bawang mempunyai kesan antihistamin kerana terdapat quercetin, antioksidan yang bertindak seperti antihistamin dan agen antiradang. Dalam ujian yang dilakukan, quercetin terbukti dapat menghalang sel-sel imun daripada melepaskan histamin, yang merupakan bahan kimia yang menyebabkan reaksi alahan. Berdasarkan pemerhatian ini, penyelidik percaya bahawa antioksidan boleh mengurangkan histamin dan bahan kimia lain penyebab alahan atau kerengsaan dalam badan dan dipercayai boleh menjadi rawatan asma. Walau bagaimanapun, buat masa ini tiada kajian terhadap manusia yang dijalankan lagi untuk menguji keberkesanan ini, tetapi bawang dipercayai dapat membantu mengurangkan asma kerana ia bertindak sebagai antioksidan yang kuat dan menunjukkan bahawa quercetin menyebabkan bronkus, iaitu saluran pernafasan untuk menjadi lebih luas.
Berapa banyak bawang merah untuk dimakan?

Mendidihkan atau mereneh bawang dalam sup berkemungkinan akan merosakkan beberapa antosianin tetapi bukan quercetin yang akan meresap ke dalam sup. Semakin rendah haba semakin banyak nutrien yang akan terkandung di dalam sup. Kajian menunjukkan bahawa 4 hingga 7 hidangan mengandungi bawang merah setiap minggu, ataupun bersamaan dengan kira-kira 2 hingga 3 biji bawang, dikaitkan dengan manfaat untuk mengurangkan kanser kolorektal, esophagus dan ovari.
Bawang merah perlu disimpan di kawasan atau tempat yang sejuk dan kering dengan aliran udara yang baik. Selagi bawang tersebut tidak dikupas, adalah tidak digalakkan untuk menyimpan di dalam peti sejuk atau beg plastik kerana kedua-duanya telah menunjukkan akan mempercepatkan proses kerosakan bawang tersebut. Setelah dikupas, sebaiknya simpan bawang dalam bekas tertutup dan di dalam peti sejuk. Sekiranya bawang yang telah dikupas dan disimpan itu didapati mempunyai bintik hitam, kelihatan lebam dan muncul kulat, hindari dari menggunakannya.
Jadi, sekiranya anda merupakan seorang individu yang tidak gemarkan bawang merah, anda mungkin boleh mencuba untuk memakannya untuk mendapatkan manfaat kesihatan yang ditawarkan. Jika anda tidak mampu makan secara mentah, anda boleh cuba untuk memasukkan bawang ke dalam masakan anda.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen