Jangan menahan pergerakan usus
Gunakan tandas sebaik sahaja anda merasakan dorongan untuk membuang air besar. Jika anda menahan diri daripada membuang air pada waktunya, tubuh anda dapat menyerap kandungan air dalam najis anda, menjadikan najis lebih keras.
Ambil suplemen serat
Jika anda kurang mengambil serat dalam diet, ambil suplemen serat setiap hari, yang boleh membuatkan najis anda lembut dan memudahkan proses membuang air besar. Pun begitu, suplemen serat boleh memburukkan lagi sembelit jika anda tidak minum air yang mencukupi setiap hari. Bincang dengan doktor anda sebelum mengambil suplemen serat jika anda mengalami masalah usus.
Suplemen ini boleh mengganggu penyerapan ubat-ubatan seperti aspirin, warfarin dan carbamazepine. Sekiranya anda menghidap kencing manis, semak paras gula dalam darah anda dengan teliti semasa mengambil suplemen serat kerana suplemen ini dapat menyebabkan paras gula dalam darah rendah.
Gunakan julap
Gunakan julap seperti susu magnesia, untuk melegakan sembelit sekali-sekala. Penggunaan jenis julap tertentu secara kerap boleh mengganggu fungsi normal usus dan menjadikan tubuh anda bergantung kepada julap untuk pergerakan usus.
Hubungi doktor anda jika anda mengalami sembelit selama lebih daripada tiga minggu, jika simptom anda teruk dan jika anda hanya membuang air besar selepas tiga hari walaupun telah mengubah diet. Maklumkan doktor anda juga jika anda mengalami sakit perut yang teruk, darah dalam najis anda, sembelit yang berselang-seli dengan cirit-birit, sakit pada lubang dubur, kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau jika najis anda tipis dan berbentuk seperti pensil.
Pastikan anda berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum mengambil sebarang ubat tanpa preskripsi untuk merawat sembelit jika anda sedang mengambil ubat preskripsi untuk sebarang masalah kesihatan lain. Ini untuk mengurangkan risiko tindak balas antara ubat.