backup og meta

Daun Sirih: Bermanfaat atau Tidak kepada Anda?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    Daun Sirih: Bermanfaat atau Tidak kepada Anda?

    Daun sirih pernah menjadi sebagai satu makanan wajib yang perlu ada di rumah-rumah masyarakat Malaysia terutamanya bagi orang-orang Melayu dan India suatu ketika dahulu. Ia bukan sekadar daun yang dikunyah tetapi falsafahnya adalah sebagai medium penghubung antara ahli masyarakat di samping secawan teh yang dihidangkan ketika hadir menziarah ke rumah tetangga. Simbolnya yang tinggi di sisi masyarakat telah menjadikannya sebagai salah satu hadiah yang bermakna terutamanya apabila ia digubah dan dijadikan sebagai hantaran utama perkahwinan. 

    Budaya mengunyah daun sirih ini berasal dari Asia Selatan di mana iklim tropikanya amat kondusif untuk penanaman pokok sirih. Sejak zaman prasejarah, aktiviti mengunyah daun sirih ini telah termasuk dalam tradisi negara-negara Asia Tenggara termasuklah Kemboja, Thailand, Vietnam, dan Malaysia. Ia dikatakan telah tersebar ke bahagian masyarakat yang lain di kawasan Madagascar, Papua New Guinea dan West Indies. Walaupun budaya ini dianggap sebagai sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi bagi penduduk-penduduk di kawasan ini, ia dianggap sebagai satu aktiviti yang pelik dan tidak bersih bagi orang-orang Barat. Campuran daun sirih terdiri daripada tiga komponen utama dengan tambahan beberapa ramuan lain bergantung kepada budaya penduduk. Tiga komponen utama tersebut adalah:

  • Buah pinang
  • Daun sirih
  • Kapur: Dihasilkan sama ada daripada serbuk batu kapur atau cangkerang kerang yang dibakar dan ditambah air untuk dijadikan sebagai pes.
  • Bahan atau ramuan tambahan lain dicampurkan secara bersama bagi memberikan aroma dan rasa ketika ia dikunyah. Bahan-bahan tersebut termasuklah:

    Budaya mengunyah daun sirih bersama-sama dengan ramuan lain bertindak sebagai pemudah cara dalam pergaulan antara sesama masyarakat ketika mana Facebook, Instagram dan pelbagai medium media sosial masih lagi belum wujud. Kini, hanya sedikit atau hampir tidak ada lagi anggota masyarakat yang masih mengamalkan budaya ini, malah budaya menghantar sirih junjung sebagai hantaran telah digantikan dengan jambangan bunga atau jenis hadiah lain. Walau bagaimanapun, adakah budaya mengunyah daun sirih ini baik untuk kesihatan? Apakah kebaikan yang boleh diperoleh daripada penggunaan daun sirih? Kita akan membincangkan mengenai kebaikan yang boleh diperoleh daripada penggunaan daun sirih segar tanpa campuran sebarang bahan lain dan kemungkinan kesan buruk yang didapati daripada aktiviti mengunyah daun sirih yang dicampur dengan bahan-bahan lain. Ikuti info yang selanjutnya di bawah. 

    Apakah manfaat daun sirih yang boleh anda dapati?

    daun sirih

    Piper betle atau daun sirih adalah berasal daripada keluarga Piperaceae (keluarga lada hitam). Terdapat kira-kira 100 jenis pokok sirih di seluruh dunia, di mana kira-kira 40 daripadanya boleh ditemui di India. Daun sirih menawarkan beberapa manfaat kesihatan kepada tubuh. Ia mempunyai kesan positif terhadap kawalan glukosa darah, kesihatan gigi, penyembuhan luka, dan jangkitan virus.

    Ciri anti-ulser dalam ulser perut yang disebabkan oleh indomethacin

    Properti anti-ulser yang terdapat dalam daun sirih terhadap ulser perut yang disebabkan oleh indomethacin dan mekanisme tindakannya. Sirih juga mempunyai aktiviti pelindung allylpyrocatechol (APC), yang merupakan konstituen antioksidan utama daun sirih terhadap ulser perut indomethacin dalam model ancaman dan mengaitkan data yang diperolehi dengan sifat anti-oksidatifnya dan ciri perlindungan mukus.

    Berpotensi menggalakkan kesihatan gigi

    Sirih mengandungi kandungan minyak pati seperti kadinen, kavikol, sineol, eugenol dan karvakol. Eugenol sangat bermanfaat dalam bidang kesihatan gigi kerana sifatnya yang antiseptik, antiradang dan juga mempunyai kebolehan memberi rasa kebas kepada saraf gigi sekali gus mengurangkan sakit gigi. Eugenol ini sering digunakan dalam bahan tampalan sementara gigi bagi menghilangkan sakit gigi yang berlubang. Daun sirih juga mempunyai kebolehan untuk menghilangkan bengkak. Sifat antiradang daun sirih dapat mengurangkan bengkak gusi dan juga sifat antiseptiknya yang membunuh kuman pada permukaan gusi dan gigi. Terdapat juga syarikat-syarikat pembuatan ubat gigi yang menggunakan ekstrak sirih sebagai antara bahan aktif dalam penghasilan ubat gigi mereka. Ekstrak daun ini boleh mempunyai ciri antigingivitis, namun aktiviti mengunyah sirih, boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mukosa mulut.

    Mempercepat penyembuhan luka

    Tekanan oksidatif yang tinggi iaitu radikal bebas dalam badan anda boleh melambatkan penyembuhan luka. Penyembuhan luka yang lambat adalah salah satu daripada komplikasi kritikal yang terdapat pada diabetes jenis 1. Ekstrak herba daun sirih ini didapati berkesan dalam merawat kes-kes yang sensitif. Daun sirih adalah ubat klasik untuk penyembuhan luka. Ia mengandungi polifenol yang mempunyai sifat antioksida. Ia meningkatkan aktiviti enzim pembekuan radikal bebas dalam tubuh anda, seperti superoxide dismutase dan catalase. Menggunakan ekstrak daun sirih terhadap tikus yang tercedera telah meningkatkan kadar penyembuhan luka. Ia meningkatkan kandungan hydroxyproline – komponen utama kolagen dalam tikus yang dirawat. Kandungan kolagen yang lebih tinggi memudahkan pembaikan luka dengan cepat dan regenerasi tisu.

    Berpotensi melawan kanser

    Daun ini mengandungi jumlah karsinogen tinggi yang dipanggil safrole. Walau bagaimanapun, ia dapat dimetabolisma kepada dihydroxychavicol dan eugenol. Kedua-dua sebatian ini dikeluarkan melalui air kencing. Daun sirih menunjukkan sifat antioksidan, antimutagenik, dan antikanser. Phytochemical dalam daun ini bertanggungjawab untuk sifat-sifat ini. Sebatian dalam daun sirih – hidroxychavicol dan asid klorogenik – menentang karsinogen daripada tembakau. Ia boleh membunuh sel-sel kanser secara selektif dalam kanser payudara tanpa menjejaskan sel-sel yang sihat. Potensi antikanser dan radikal bebas ekstrak daun ini dalam sel-sel kanser payudara telah dilaporkan melalui kajian Wahyu Widowati dan pasukan penyelidikannya pada tahun 2013.

    Apakah kesan sampingan daun sirih?

    Apabila anda mengunyah daun sirih, ia mengeluarkan bahan kimia aktif tertentu seperti catecholamines. Bahan kimia ini berinteraksi dengan rembesan lain daripada buah pinang dan kapur sekiranya anda mengunyah campuran daun sirih. Interaksi kimia ini menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti:

    • Berkemungkinan mempunyai sifat psikoaktif
    • Mempengaruhi sistem saraf pusat (CNS)
    • Menyebabkan kanser mulut dan esophageal (salur makanan)
    • Mengganggu microbiome oral anda (mikrob baik di mulut anda)
    • Mempunyai impak negatif ke atas kehamilan, kelahiran anak, dan perkembangan janin
    • Dikaitkan dengan isu ketagihan dan withdrawal

    Disebabkan oleh kesan-kesan berbahaya ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara terbuka menyatakan bahawa campuran daun sirih adalah satu ancaman kesihatan kepada mereka yang mengunyahnya. Satu kajian di Malaysia yang dijalankan pada tahun 2010 telah menganalisis seramai 156 orang pesakit kanser mulut, dan hasil kajian mendapati bahawa, 59.8 peratus daripada faktor risiko kanser mulut adalah berpunca daripada aktiviti mengunyah sirih. 

    Ketua Koordinator Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin juga menyatakan bahawa kandungan arekolin dalam sirih dan pinang boleh membuatkan seseorang ketagih. Menurut beliau, sepertimana tembakau, nikotin yang terkandung di dalamnya adalah faktor ketagihan. Begitu juga dengan sirih dan pinang yang mengandungi arekolin. Arekolin adalah alkaloid yang toksik dan bertindak sebagai agonis ke atas sistem saraf. Menurut beliau lagi, pengambilan yang berlebihan menjadikannya sebagai risiko kepada kanser dan selain ia sudah dikategorikan sebagai karsinogen (bahan yang membentuk kanser) kepada manusia.

    Di Malaysia, terdapat 10.3 peratus pemakan sirih dan pinang. Daripada angka ini, pengguna teramai adalah daripada golongan wanita iaitu sekitar 32.1 peratus berbanding lelaki, 10.3 peratus. Penyelidikan di India turut telah membuktikan bahawa semua kes kanser mulut berlaku dalam kalangan individu yang memakan sirih dan pinang. Beliau yang juga merupakan Pakar Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok di Pusat Pakar Universiti Malaya berkata, risiko untuk seseorang itu mendapat kanser mulut akibat mengambil sirih dan pinang lebih tinggi berbanding daripada pengguna tembakau. Beliau menyatakan, dianggarkan risiko keputihan di bahagian pipi dalam (oral lichen planus) boleh terjadi sebanyak 15.8 kali kerana memakan sirih dan pinang, manakala kebonjolan (nodular leukoplakia) pula adalah sebanyak 3,243.1 kali. Tambah beliau lagi, tabiat memakan daun sirih dan buah pinang juga dikaitkan dengan kesan kesihatan kepada jantung, saraf, perut atau usus, pernafasan dan sistem reproduktif.

    Mengunyah campuran daun sirih mendedahkan kepada karsinogen

    daun sirih

    Mengunyah campuran daun sirih yang merupakan bahan psikoaktif yang paling popular keempat di dunia selepas tembakau, alkohol dan kafein, akan mendedahkan seramai 600 juta penggunanya kepada bahan-bahan yang bertindak sebagai karsinogen secara langsung di mulut. Ini berdasarkan kajian yang telah dijalankan dan diterbitkan pada tahun 2012 dalam jurnal Chemical Research in Toxicology oleh American Chemical Society.

    Para penyelidik, Mu-Rong Chao dan Chiung-Wen Hu telah menjelaskan bahawa campuran daun sirih adalah campuran yang terdiri daripada buah pinang, yang kadangkala dicampurkan dengan rempah-rempah, seperti buah pelaga atau safron, serta bahan-bahan lain. Para saintis telah mengetahui selama beberapa dekad bahawa aktiviti mengunyah campuran daun sirih boleh menyebabkan kanser mulut dan baru-baru ini juga telah menunjukkan bahawa bahan-bahan dalam campuran daun sirih dapat diubah menjadi karsinogen dalam tubuh. Penulis kajian tersebut telah mengkaji sama ada terdapat sebarang bahan dalam buah pinang yang boleh menyebabkan kanser secara langsung, tanpa memerlukan tubuh untuk menukar atau “mengaktifkannya”.

    Para penyelidik mendapati bahawa sebatian dalam buah pinang boleh memperkenalkan radikal alkil (alkylate) kepada DNA bahan genetik, yang menyebabkan perubahan yang meningkatkan risiko kanser, dan ia hadir dalam campuran daun sirih dalam jumlah yang cukup tinggi untuk melakukannya. Menurut para penyelidik, kajian mereka telah menunjukkan bahawa agen-agen alkylating ini berada di tahap yang mencukupi untuk menyebabkan kerosakan DNA dan berpotensi mempunyai implikasi buruk terhadap kesihatan manusia, terutamanya dalam hal perkembangan kanser mulut bagi mereka yang mengunyah campuran daun sirih. 

    Adakah buah pinang yang terdapat dalam campuran daun sirih turut memberi kesan besar terhadap ketagihan?

    Bagi beratus-ratus juta individu di seluruh dunia yang mengunyah campuran daun sirih, aktiviti mengunyah campuran daun sirih bukan sahaja memberikan mereka keseronokan, malah turut merisikokan mereka untuk mendapat ketagihan dan kanser mulut. Penemuan penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik University of Florida pada tahun 2015 telah menunjukkan bagaimana bahan kimia psikoaktif buah pinang berfungsi di bahagian otak.

    Buah pinang, yang merupakan sejenis biji atau benih daripada jenis pokok Areca, ditanam dan digunakan di negara India, sebahagian daripada China dan sebahagian besar negara-negara Asia Tenggara, termasuklah Indonesia dan kebanyakan kepulauan Pasifik. Budaya mengunyah campuran daun sirih yang terdiri daripada campuran buah pinang, rempah-rempah dan kapur yang dibungkus dengan daun sirih, telah menjadi tradisi kebudayaan di kawasan-kawasan tersebut selama berabad lamanya. Jika dimakan dengan dos kecil, ia mewujudkan rasa kegembiraan atau keterangsangan dan kewaspadaan. Penggunaan secara berpanjangan boleh menyebabkan ketagihan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengklasifikasikan buah pinang sebagai karsinogen.

    Menurut Profesor Roger L. Papke yang merupakan seorang profesor di Department of Pharmacology and Therapeutics, College of Medicine, University of Florida, penemuan yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE menunjukkan bahawa bahan aktif yang terdapat dalam buah pinang iaitu arecoline, bertindak pada protein reseptor yang sama di otak sebagai nikotin. Ini menyebabkan kemungkinan bahawa ubat-ubatan preskripsi yang kini digunakan untuk menghalang kebergantungan nikotin juga berkesan terhadap ketagihan buah pinang.

    Menurut beliau lagi, tanpa mengetahui mengapa individu menjadi terlalu bergantung kepada buah pinang, tidak terdapat cara untuk membantu mereka melepasi pergantungan ini dan penemuan kajian ini memberikan peluang baharu untuk merawat ketagihan terhadap buah pinang atau pengunyahan daun sirih.

    Satu perkiraan telah meletakkan jumlah pengguna biasa buah pinang adalah pada angka 200 juta hingga 600 juta, dan buah pinang dianggap secara meluas sebagai perangsang paling popular keempat di dunia selepas kafein, alkohol dan tembakau.

    Profesor Papke mula mengkaji kesan arecoline pada molekul protein tertentu di otak setelah dia mendapat idea awal untuk mengkaji aktiviti buah pinang dan kandungan aktifnya. Molekul ini termasuklah reseptor nikotinik yang memainkan peranan utama dalam ketagihan nikotin.

    Untuk menentukan sama ada arecoline bertindak pada reseptor yang menyebabkan ketagihan yang sama, Profesor Papke menggunakan sel-sel ovari daripada katak yang disuntik dengan gen manusia supaya sel-sel tersebut meniru reseptor nikotin yang terdapat dalam otak manusia. Setelah menggunakan ekstrak buah pinang, hasilnya mendapati bahawa ia mengaktifkan reseptor yang sama sepertimana nikotin, dan melakukannya dengan cara yang dapat mempengaruhi kelakuan seseorang. Hal ini telah menunjukkan persamaan antara mekanisma pergantungan terhadap penggunaan buah pinang dan mekanisma pergantungan terhadap penggunaan tembakau bagi perokok.

    Kajian ini juga menimbulkan satu lagi persoalan yang menarik: Jika buah pinang dan nikotin berfungsi pada reseptor yang sama di dalam otak manusia, bolehkah ubat-ubatan yang kini digunakan untuk ketagihan nikotin berguna untuk merawat kebergantungan terhadap buah pinang?

    Risiko lain pengunyahan buah pinang

    daun sirih

    Agensi Antarabangsa Penyelidikan Kanser (IARC) menganggap bahawa mengunyah buah pinang menjadi karsinogen yang diketahui untuk manusia. Bagi individu yang mengunyah buah pinang, mereka mempunyai risiko yang tinggi dalam merosakkan gusi mereka selain berpotensi memperoleh kanser mulut, pharynx, esophagus dan perut. Tambahan lagi, kajian yang dilaksanakan di Sir Buri Kidu Health Institute telah menunjukkan bahawa mengunyah buah pinang boleh menyebabkan serangan jantung pada individu yang mudah terdedah. Dalam dos yang tinggi, buah pinang menghasilkan kesan sepertimana kokain, termasuklah kadar denyutan jantung yang tinggi, tekanan darah tinggi, pupils mata yang melebar, kegelisahan, insomnia dan arrhythmia jantung.

    Daun sirih segar berkemungkinan mempunyai manfaatnya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, campuran daun sirih yang dicampurkan dengan pelbagai bahan lain seperti buah pinang dan tembakau ternyata memberi kesan yang tidak baik kepada tubuh anda terutamanya untuk kesihatan mulut dan otak. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan