Pernahkah anda rasa gelisah sebelum haid? Sebenarnya, ia boleh menjadi salah satu tanda nak period atau lebih dikenali sebagai sindrom pramenstruasi atau PMS!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Rasa gelisah, ini antara tanda nak period?
Sebenarnya, rasa gelisah sebelum haid boleh menjadi gejala PMS atau gangguan dysphoric pramenstruasi (PMDD).
Masalah berkaitan kesihatan mental sedia ada juga boleh bertambah buruk semasa kitaran haid.
Sejujurnya, kita jarang mendengar kegelisahan dikaitkan sebagai simptom utama PMS, kan?
Ia berbeza sekali dengan masalah kekejangan mahupun kembung perut yang sering dialami sebagai tanda nak period.
Hakikatnya, kegelisahan yang terjadi boleh wujud dalam pelbagai bentuk. Namun antara keadaan yang paling kerap terjadi adalah seperti:
- Kerisauan yang berlebihan
- Rasa gementar
- Rasa stres
Secara umum, PMS ditakrifkan sebagai gabungan kedua-dua gejala fizikal dan psikiatri yang berlaku semasa fasa luteal dalam kitaran haid anda.
Fasa luteal akan bermula selepas ovulasi dan berakhir pada hari pertama darah haid keluar – biasanya berlangsung sekitar 2 minggu.
Dalam tempoh tersebut, banyak perubahan emosi daripada ringan hingga sederhana akan terjadi.
Sekiranya gejala dialami teruk, ia menunjukkan gangguan yang lebih serius seperti PMDD.
Gelisah tanpa sebab menurut psikologi tanda PMS?
Rasa gelisah adalah tanda PMS yang menjejaskan hampir 30-80% individu yang mengalami haid.
Sehingga ke saat ini, para pengkaji masih tidak dapat memahami sepenuhnya mengapa rasa gelisah sebelum haid mempunyai kaitan dengan tanda nak period.
Walau bagaimanapun, ia dipercayai terjadi disebabkan perubahan tahap hormon dalam tubuh.
Pada asasnya, tubuh anda akan bersiap sedia untuk kehamilan dengan meningkatkan pengeluaran hormon selepas ovulasi.
Pun begitu, apabila telur yang tidak disenyawakan, tahap hormon tersebut menurun dan anda akan mengalami pendarahan haid.
Perubahan hormon yang naik turun ini boleh menjejaskan neurotransmitter di otak anda, seperti serotonin dan dopamin – yang berkaitan dengan pengawalan emosi.
Ia mungkin sebahagian penjelasan berhubungan perubahan gejala psikologi yang melibatkan kemurungan, rasa gelisah sebelum haid dan perubahan emosi yang berlaku sebagai tanda nak period.
Masih sukar untuk dijelaskan mengapa sesetengah individu mengalami gejala PMS lebih teruk berbanding yang lain.
Tetapi keadaan tersebut mungkin terjadi kerana mereka lebih sensitif terhadap naik turun hormon, yang disebabkan faktor genetik.
Ada faktor lain selain ia tanda nak period?
Rasa gelisah sebelum haid yang teruk kadang-kadang boleh menjadi petunjuk premenstrual dysphoric disorder (PMDD) atau premenstrual exacerbation (PME).
PMDD
PMDD adalah gangguan emosi yang mempengaruhi sehingga 5% individu yang haid.
Simptom yang dialami biasanya amat teruk sehingga mengganggu kehidupan seharian anda. Ia boleh merangkumi keadaan seperti:
- Perasaan mudah marah yang boleh menjejaskan hubungan anda
- Rasa sedih/ berputus asa
- Berasa tertekan/ kegelisahan
- Rasa dipinggirkan/ terikat
- Perubahan emosi/ kerap menangis
- Kurang berminat dalam sebarang aktiviti/ perhubungan
- Sukar untuk berfikir/ memberikan tumpuan
- Keletihan/ tenaga yang lemah
- Keinginan untuk makan/ binge eating
- Kesukaran untuk tidur
- Rasa diri tidak terkawal
- Simptom fizikal seperti kekejangan, kembung perut, payudara sensitif, sakit kepala atau sakit sendi
PMDD berkait rapat dengan gangguan kesihatan mental yang sudah ada sebelumnya.
Sekiranya anda mempunyai sejarah peribadi atau keluarga berkaitan kegelisahan atau kemurungan, risiko untuk mengalami PMDD adalah lebih tinggi.
PME
PME pula mempunyai kaitan rapat dengan PMDD.
Ia terjadi apabila keadaan sedia ada seperti gangguan kegelisahan umum, meningkat semasa fasa luteal dalam kitaran haid anda.
Keadaan lain yang boleh menyebabkan peningkatkan rasa gelisah sebelum haid termasuklah:
- Kemurungan
- Kegelisahan
- Migrain
- Sawan
- Gangguan penggunaan ubatan
- Gangguan pemakanan
- skizofrenia
Secara mudahnya, perbezaan antara PMDD dan PME adalah individu dengan PME mengalami gejala sepanjang bulan.
Keadaan tersebut akan bertambah buruk menjelang minggu-minggu tanda nak period.
Tip atasi rasa gelisah
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan rasa gelisah sebelum haid dan gejala-gejala PMS yang lain.
Antara perkara yang boleh membantu mengatasi kegelisahan tersebut adalah:
1. Senaman aerobik
Berdasarkan kajian menunjukkan, individu yang bersenam secara berkala sepanjang bulan akan mempunyai gejala PMS yang lebih baik.
Mereka yang kerap bersenam adalah kurang cenderung untuk mengalami perubahan mood dan tingkah laku seperti kegelisahan, kemurungan dan masalah untuk menumpukan perhatian.
Senaman juga dapat mengurangkan gejala fizikal yang menyakitkan.
2. Teknik relaksasi
Menggunakan teknik ini untuk mengurangkan tekanan dapat membantu mengawal kegelisahan pramenstruasi anda.
Teknik ini biasanya termasuk yoga, meditasi dan terapi urutan.
3. Tidur
Sekiranya kesibukan tugasan harian menjejaskan tabiat tidur, sudah tiba masanya untuk anda mengutamakan konsistensi.
Selain daripada tempoh tidur yang mencukupi, anda juga disarankan untuk mencipta jadual bangun dan tidur pada waktu yang sama setiap hari, termasuklah pada hujung minggu.
4. Diet pemakanan
Perbanyakkan pengambilan makanan tinggi karbohidrat kompleks – seperti gandum penuh dan sayuran berkanji.
Ia dapat mengurangkan gangguan emosi dan keinginan makan ketika wujud kegelisahan semasa PMS.
Anda juga mungkin ingin mengambil makanan kaya kalsium seperti yogurt dan susu.
5. Vitamin
Kajian mendapati kalsium dan vitamin B6 dapat mengurangkan gejala fizikal dan psikologi sebelum haid.
[embed-health-tool-ovulation]