- Produk tenusu mempunyai kandungan kalsium tertinggi. Produk tenusu merangkumi susu, yogurt dan keju. Secawan susu mengandungi sekitar 300 mg kalsium. Kandungan kalsium adalah sama bagi jenis susu skim, susu rendah lemak dan susu penuh krim
- Sayuran berdaun hijau gelap mengandungi kalsium dalam jumlah tinggi. Brokoli, kangkung dan kale adalah antara sumber kalsium yang baik, terutamanya apabila dimakan mentah atau dikukus. Jika anda merebusnya, ia akan mengeluarkan kebanyakan kandungan kalsium daripada sayuran tersebut
- Ikan salmon dalam tin atau sardin mempunyai kira-kira 200 mg kalsium. Ia terdapat dalam tulang ikan yang telah lembut
- Bijirin, pasta, roti dan makanan lain yang diperbuat daripada biji-bijian dapat menambahkan kalsium dalam makanan. Cari jenis bijirin yang diperkaya dengan mineral, termasuk kalsium
- Selain bijirin, kalsium turut ditambahkan ke dalam jus buah, air kacang soya dan juga tauhu. Baca label produk untuk mengetahui sama ada produk makanan tersebut telah ditambahkan dengan kandungan kalsium atau tidak
Sekiranya anda minum susu soya atau cecair lain yang diperkaya dengan kalsium, pastikan untuk menggoncang bekasnya terlebih dahulu kerana kalsium boleh termendap di bahagian bawah botol atau bekas.
Cara mudah lain untuk mendapatkan kalsium dalam makanan adalah dengan menambahkan satu sudu susu tepung tanpa lemak, yang mengandungi kira-kira 50 mg kalsium.
Bolehkah saya mengambil suplemen kalsium?

Kalsium diserap dengan cara yang terbaik melalui makanan yang kita makan dan minuman yang kita minum.
Bagi kebanyakan pesakit yang sihat, adalah penting untuk makan makanan yang seimbang dan bukannya bergantung pada makanan tambahan atau suplemen semata-mata.
Bagi individu yang tidak mendapat kalsium yang cukup daripada sumber makanan dan minuman setiap hari, pengambilan suplemen kalsium mungkin diperlukan.
Individu yang mengalami intoleransi laktosa mungkin mengalami kesukaran untuk mendapatkan kalsium yang mencukupi melalui pemakanan mereka.
Selain itu, mereka yang mempunyai masalah penyerapan nutrien akibat penyakit gastrousus mungkin tidak menyerap kalsium yang mencukupi.
Mereka yang mengamalkan diet vegan, atau mengambil sejumlah besar protein dan garam juga mungkin tidak mendapat kalsium harian yang mencukupi.
Golongan-golongan seperti ini mungkin memerlukan pengambilan kalsium melalui produk makanan tambahan atau suplemen.
Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, anda disarankan untuk mendapatkan kalsium daripada sumber makanan dan minuman harian.
Kesimpulan
Kepentingan kalsium bukan hanya untuk menguatkan gigi dan tulang, tetapi juga mengelakkan diri anda daripada berisiko mendapat penyakit-penyakit seperti osteoporosis.
Disebabkan oleh kepentingan kalsium ini, anda perlulah memenuhi keperluan harian tubuh anda yang memerlukan kalsium yang mencukupi setiap hari.
Ikuti saranan jumlah keperluan kalsium harian seperti yang telah dinyatakan dalam artikel ini.