backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

4

Tanya Doktor
Simpan

Kitaran Haid Normal Atau Tak? Ini Cara Kira Yang Betul, Kaum Hawa Patut Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/11/2023

    Kitaran Haid Normal Atau Tak? Ini Cara Kira Yang Betul, Kaum Hawa Patut Tahu!

    Menentukan sama ada kitaran haid normal atau tidak boleh membantu anda memahami keadaan biasa, masa ovulasi dan mengenal pasti perubahan penting – seperti terlepas haid atau pendarahan haid yang tidak dapat diramalkan.

    Menstrual cycle boleh memberitahu banyak perkara mengenai kesihatan diri. Fahami cara kira kitaran haid dan perkara perlu dilakukan terhadap ketidakteraturan pendarahan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu kitaran haid?

    Kitaran haid ialah siri perubahan bulanan yang dilalui oleh tubuh wanita sebagai persediaan menghadapi kemungkinan hamil. Setiap bulan, salah satu ovari mengeluarkan telur – proses yang dipanggil ovulasi.

    Pada masa yang sama, perubahan hormon menyediakan rahim untuk kehamilan. Jika ovulasi berlaku dan telur tidak disenyawakan, lapisan rahim ini akan disingkirkan melalui faraj. Ini adalah tempoh haid.

    kitaran haid normal

    Kitaran haid normal atau tidak

    Untuk makluman, anda tidak memerlukan kitaran 28 hari untuk menjadi ‘normal’. Tempoh kitaran menstruasi yang normal boleh berubah antara 22 hingga 35 hari.

    Contohnya: Dalam satu bulan mungkin 28 hari – dianggap kitaran normal – dan pada bulan berikutnya boleh menjadi 31 hari dan 27 hari untuk seterusnya. Ini masih perkara normal.

    Oleh itu, selagi kitaran anda berada di dalam tempoh tersebut dan berlangsung dalam jangka masa yang sama setiap kali, ia masih dikira sebagai kitaran haid normal.

    Kitaran haid dianggap tidak teratur apabila ia berada di luar julat ‘normal’. Kitaran haid yang tidak teratur adalah lebih pendek daripada 21 hari atau lebih lama daripada 35.

    Apabila mengira hari dalam kitaran haid, hari mula pendarahan dikira sebagai hari pertama, dan hari terakhir kitaran ialah hari pertama pendarahan untuk kitaran seterusnya.

    Cara kira kitaran haid purata adalah seperti di bawah ini: 

    1. Mesti tahu bila tarikh mula haid pada bulan-bulan yang lepas
    2. Kiraan bermula dari hari pertama haid hingga hari haid akan datang.
    3. Jadi anda akan dapat tempoh purata kitaran haid.

    Kalau haid pertama datang pada 1hb Ogos, kemudian pada 29hb Ogos datang haid lagi, maka kitaran haid anda adalah sebanyak 28 hari. 

    Kitaran haid anda mungkin teratur – kira-kira panjang yang sama setiap bulan – atau agak tidak teratur, dan haid anda mungkin ringan atau berat, menyakitkan atau tidak sakit, panjang atau pendek, dan masih dianggap normal.

    Dalam skop luas, perkara yang dianggap ‘normal’ ialah perkara biasa untuk anda.

    kitaran haid normal

    Perbezaan kitaran haid normal atau tidak

    Tempoh kitaran biasa dipengaruhi oleh umur, gen, kesihatan, indeks jisim badan (BMI), tingkah laku dan kaedah kawalan kelahiran yang digunakan.

    Bagi individu yang telah mengalami haid selama beberapa tahun, kitaran haid secara amnya akan mempunyai tempoh panjang kitaran hampir sama. Anda mungkin masih melihat perubahan dari semasa ke semasa.

    Panjang kitaran bergantung pada hormon – yang boleh berubah disebabkan oleh faktor seperti diet, tekanan, senaman atau pengambilan pil kontraseptif kecemasan (morning-after pill).

    Tabiat menghisap rokok yang kuat, penggunaan alkohol kronik dan berlebihan juga boleh menjejaskan tempoh kitaran haid.

    Kitaran haid normal boleh berubah-ubah apabila ovulasi berlaku secara tidak teratur. Ini mungkin disebabkan oleh keadaan kesihatan seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) atau gangguan tiroid.

    Ovulasi  tidak konsisten dan tempoh haid yang berubah-ubah juga lebih berkemungkinan berlaku semasa fasa kehidupan tertentu seperti semasa remaja, selepas bersalin, semasa menyusu, dan semasa perimenopause (peralihan kepada menopaus).

    Baca juga:

    Fahami cara kira kitaran haid normal atau tidak

    Untuk mengetahui sama ada ia perkara biasa untuk anda, mulakan dengan merekod kitaran haid pada kalendar.

    Mulakan dengan menjejak tarikh mula haid setiap bulan selama beberapa bulan berturut-turut untuk mengenal pasti keteraturan haid anda.

    Perhatikan perkara berikut setiap bulan:

    • Tarikh akhir. Berapa lama tempoh anda biasanya berlangsung? Adakah ia lebih panjang atau lebih pendek daripada biasa?
    • Aliran. Catat berat aliran haid. Adakah ia kelihatan lebih ringan atau lebih berat daripada biasa? Berapa kerap anda perlu menukar tuala wanita? Adakah terdapat sebarang gumpalan darah?
    • Pendarahan yang tidak normal. Adakah berlaku pendarahan di antara tempoh haid?
    • Kesakitan. Terangkan sebarang kesakitan yang berkaitan dengan haid anda. Adakah kesakitan terasa lebih teruk daripada biasa?
    • Perubahan lain. Adakah anda mengalami sebarang perubahan dalam mood atau tingkah laku? Adakah sesuatu yang baharu berlaku semasa perubahan dalam haid anda seperti bertukar tempat kerja?

    kitaran haid normal

    Kesimpulan

    Menyedari perkara yang normal dan perkara yang mungkin tidak berlaku semasa haid adalah kunci kepada pemahaman yang lebih baik tentang kesihatan anda secara umum.

    Bagi sesetengah wanita, penggunaan pil perancang boleh membantu mengawal kitaran haid normal. Rawatan untuk sebarang masalah asas, seperti gangguan makan, juga mungkin membantu.

    Walaupun kitaran haid tidak teratur boleh menjadi tanda kemungkinan masalah kesuburan, namun kitaran yang tetap juga tidak menjamin ia akan menjadi mudah untuk hamil.

    Jika anda perasan haid tidak teratur, berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian mengenai keadaan kesihatan diri.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan