backup og meta

Wanita Dan 'Mood Swing' Berpisah Tiada! Kalau Nak Tanganinya, Kenal Pasti Punca Dulu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/06/2023

    Wanita Dan 'Mood Swing' Berpisah Tiada! Kalau Nak Tanganinya, Kenal Pasti Punca Dulu

    Perubahan mood wanita yang terjadi sekali-sekala adalah cukup normal, tetapi lain pula ceritanya jika berlaku dengan terlalu kerap!

    Sebagai manusia, kita pasti mempunyai hari-hari tertentu yang terasa bahagia dan juga muram, kan?

    Pada hari mood merudum, anda mungkin berasa sedih, marah dan hanya mahu ditinggalkan sendirian.

    Tetapi masa suram ini biasanya tidak kekal lama, keesokan harinya, kalian pasti akan berasa lebih baik dan tenang!

    Selagi perubahan mood ini tidak mengganggu kehidupan anda atau orang-orang di sekitar, naik turun emosi ini dianggap normal.

    Pun begitu, jika perubahan mood wanita terjadi dengan kerap dan ekstrem, ini menjadi 1 kerisauan dan tanda amaran yang memerlukan perhatian!

    Ladies, mari kenal pasti punca-punca yang berupaya memicu perubahan mood wanita!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.

    Perubahan mood wanita, apa pemicunya?

    Terdapat banyak kondisi dan gaya hidup yang boleh mengakibatkan seseorang wanita mengalami perubahan mood yang teruk. Ini termasuklah:

    #1 Sindrom pramenstruasi (PMS)

    Premenstrual syndrome (PMS) adalah sekumpulan gejala yang berlaku pada segelintir wanita 1 hingga 2 minggu sebelum haid.

    Selain mood wanita yang naik turun, PMS juga boleh menyebabkan keletihan, perubahan selera makan, kemurungan, kekembungan, dan banyak lagi.

    Sebilangan besar wanita, bahkan sebanyak 90% mengalami beberapa simptom seperti PMS sebelum haid mereka.

    Keparahan gejala ini turut berubah dari bulan ke bulan. Ia mungkin bertambah buruk atau baik seiring dengan pertambahan usia.

    Malangnya, masih tidak jelas mengapa PMS menyebabkan gejala-gejala ini.

    Pakar mengesyaki, perubahan hormon estrogen berkemungkinan besar boleh dipersalahkan!

    #2 Premenstrual dysphoric disorder (PMDD)

    mood wanita

    PMDD adalah sejenis PMS yang lebih teruk tetapi jarang berlaku! PMDD juga telah mempengaruhi sehingga 5% wanita dalam usia reproduktif.

    Antara simptom dialami penderita PMDD; perubahan mood wanita yang teruk, kemurungan yang kronik, kerengsaan yang melampau, dan banyak lagi.

    Rawatan gaya hidup sahaja jarang sekali berjaya dalam mengubati PMDD.

    Kebanyakan wanita akan menggabungkan rawatan alternatif seperti pengurusan tekanan dan perubahan diet bersama-sama ubat untuk mendapatkan kelegaan gejala, termasuk perubahan mood yang ekstrem.

    #3 Tekanan/stres

    Seperti kalian mungkin sudah tahu, stres dan kebimbangan dapat memberikan kesan buruk pada tubuh dan kesihatan dengan pelbagai cara yang tidak sihat!

    Antara aspek yang akan turut terjejas adalah mood kita. Kekecewaan, kebimbangan, dan perasaan stres yang berterusan boleh menyebabkan perubahan mood wanita yang teruk, berserta dengan masalah psikologi lain.

    #4 Ketidakseimbangan hormon

    Estrogen, hormon ini mungkin berperanan dalam perubahan mood yang berkaitan dengan PMS, tetapi hormon lain juga ternyata memberikan efek yang sama!

    Hipotiroidisme, sejenis kondisi berkaitan kelenjar tiroid yang tidak menghasilkan hormon mencukupi, merupakan gangguan hormon yang kerap berlaku.

    Ia boleh mempengaruhi mood dan memicu simptom-simptom lain.

    #5 Akil baligh

    Puberty merujuk kepada tempoh masa yang melibatkan perubahan emosi, fizikal, dan psikologi dalam kehidupan seseorang budak yang meningkat dewasa.

    Mood yang kerap berubah dan reaksi emosi tertentu yang tidak dapat dijelaskan, menjadi antara turun naik emosi yang banyak dialami ketika dalam fasa kehidupan ini.

    #6 Kehamilan

    Perubahan tahap hormon semasa kehamilan turut boleh menyebabkan perubahan emosi dan mood wanita.

    Selain itu, wanita hamil sering alami perubahan fizikal berserta tekanan emosi, menjadikan masalah seperti perubahan mood dan pergolakan emosi bertambah teruk.

    mood wanita

    #7 Menopaus

    Menopaus, peralihan utama yang lain dalam hidup wanita turut dikaitkan dengan perubahan mood.

    Ketika tahap hormon estrogen jatuh, kebanyakan wanita mula mengalami pelbagai gejala; turun naik mood, panas badan, insomnia, dan rangsangan seks (libido) yang kian berkurang.

    Doktor mungkin akan memberi ubat pergantian hormon kepada wanita dalam fasa perimenopause untuk bantu mereka memasuki fasa kehidupan ‘rendah estrogen’ dengan lebih baik!

    Perubahan mood, apa cara untuk tanganinya?

    Penting untuk setiap wanita menstabilkan emosi dan tingkatkan kesihatan bagi mengelakkan perubahan mood pada masa hadapan.

    Rawatan bagi perubahan mood memfokuskan perubahan gaya hidup atau rawatan alternatif yang boleh dicuba.

    Rawatan lain, termasuk ubat-ubatan preskripsi, kadangkala turut digunakan.

    Anda mungkin dapat membaik pulih mood jika melakukan perkara-perkara seperti berikut:

    1. Cuba suplemen kalsium: Kajian mencadangkan, pengambilan suplemen kalsium dapat mengurangkan gejala kemurungan, kegelisahan, dan turun naik emosi dek kerana PMS.
    2. Bersenam dengan kerap: Bersenam secara berkala sememangnya mempunyai banyak faedah untuk hampir kesemua aspek kesihatan kita, termasuk mood!
    3. Dapatkan tidur yang mencukupi: Tidur malam yang berkualiti dan lena amat mustahak, malah kekurangan tidur berupaya mempengaruhi mood anda.
    4. Makan makanan yang sihat: Diet yang seimbang dan sihat dapat membaik pulih mood dan menjaga kesihatan secara menyeluruh.
    5. Cuba kekal tenang: Kekal tenang dengan melakukan amalan seperti yoga atau meditasi.
    6. Elakkan tekanan atau stres: Bunyinya macam senang bukan? Tapi, sekiranya anda tidak dapat mengawal tekanan, usah segan untuk bertemu dan dapatkan bantuan daripada golongan profesional.
    7. Ekspresi diri: Cari saluran kreatif yang bersesuaian dengan diri dan minat untuk mengekspresikan diri.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan