backup og meta

8 Tanda Seseorang Itu Berniat Untuk Bunuh Diri, Alert Semua Orang!

8 Tanda Seseorang Itu Berniat Untuk Bunuh Diri, Alert Semua Orang!

Pernahkah anda terfikir, apakah tanda-tanda yang memperlihatkan seseorang individu mempunyai tanda dan rasa nak bunuh diri? Bolehkah jika kita cuba untuk mengenal pasti sebarang tanda-tanda yang berkaitan dengan cubaan bunuh diri?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.

Maksud rasa nak bunuh diri?

Bunuh diri bukanlah satu keadaan atau gangguan mental.

Namun, bunuh diri adalah satu kesan buruk yang amat serius akibat daripada gangguan-gangguan mental yang berlaku terhadap seseorang individu.

Kebiasannya melibatkan gangguan kemurungan utama.

Individu berpotensi terlibat dengan cubaan dan mempunyai rasa nak bunuh diri

Terdapat beberapa kelompok atau kumpulan yang berisiko tinggi untuk melakukan cubaan bunh diri ini. Antaranya ialah:

  • Warga emas yang kehilangan pasangannya sama ada disebabkan oleh kematian atau perceraian
  • Individu yang pernah mencuba untuk membunuh diri sebelum ini
  • Individu yang mempunyai sejarah bunuh diri dalam keluarga
  • Individu yang mempunyai rakan yang pernah terlibat dengan bunuh diri
  • Individu yang mempunyai sejarah gangguan fizikal, emosi atau seksual
  • Individu yang tidak berpasangan, tidak berkemahiran atau tidak bekerja
  • Individu yang mempunyai kesakitan jangka panjang, kurang upaya atau penyakit kekal
  • Individu yang cenderung terhadap kelakuan ganas 
  • Individu yang mempunyai latar belakang penyakit psikiatri
  • Individu yang terlibat dengan jenis pekerjaan tertentu yang memberikan banyak tekanan
  • Individu yang mempunyai masalah penyalahgunaan dadah

Rasa Nak Bunuh Diri

Tanda-tanda rasa nak bunuh diri mungkin ditunjukkan

Mengikut kajian, sekitar 70 peratus individu yang membunuh diri sebenarnya memperlihatkan petunjuk sama ada secara lisan atau bukan lisan berkenaan niat mereka untuk menamatkan riwayat hidup.

Ini bermakna, jika anda mampu untuk menyedarinya sejak dari awal lagi, anda mungkin mampu memimpin sesorang individu untuk mendapatkan bantuan sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kajian juga mencadangkan bahawa cara terbaik untuk mengelakkan kejadian bunuh diri adalah dengan cara mengetahui faktor-faktor risikonya.

Antara tanda-tanda kemungkinan berlakunya cubaan bunuh diri oleh seseorang ialah:

#1. Kesedihan melampau

Jika anda mendapati ahli keluarga atau rakan terdekat anda mengalami kesedihan yang agak berpanjangan selain daripada gangguan emosi, ia mungkin simptom-simptom bahawa individu tersebut sedang mengalami kemurungan.

Perlu diketahui bahawa kemurungan adalah faktor risiko utama bagi kejadian bunuh diri.

Rasa nak bunuh diri #2. Ketenangan yang berlaku secara tiba-tiba

Ketenangan adalah satu emosi yang amat baik bagi seseorang. Walau bagaimanapun, jika ia berlaku secara tiba-tiba, ia mungkin satu petanda yang kurang baik.

Jika anda mendapati bahawa seseorang itu menjadi tenang dalam tempoh yang singkat setelah fasa kesukaran yang dialami, ia mungkin tanda bahawa seseorang individu tersebut telah membuat satu keputusan untuk menamatkan kehidupannya.

Rasa Nak Bunuh Diri

#3. Sindrom penarikan diri (withdrawal syndrome)

Jika seseorang individu itu lebih gemar menyendiri atau mengelakkan diri daripada bergaul dengan rakan-rakan mahupun menyertai aktiviti sosial, ia juga mungkin simptom-simptom berlakunya kemurungan.

Ini termasuklah hilangnya minat terhadap sesuatu perkara atau aktiviti yang dahulunya amat amat digemari oleh individu tersebut. 

#4. Perubahan personaliti atau penampilan

Individu yang cuba untuk membunuh diri mungkin akan menunjukkan perubahan sikap atau perlakuan yang tidak seperti kebiasaannya.

Selain itu, seseorang individu itu juga mungkin akan kurang mengambil berat mengenai penampilan peribadinya.

#5. Tingkah laku berbahaya atau membahayakan diri sendiri

Antara contoh-contoh kelakuan atau tingkah laku yang berbahaya termasuklah pemanduan  tidak cermat, melibatkan diri dengan aktiviti seks tidak selamat, selain penyalahgunaan dadah dan juga peningkatan pengambilan minuman alkohol.

Kelakuan seperti ini juga menunjukkan bahawa seseorang individu itu tidak lagi memikirkan mengenai nilai hidupnya. 

Baca juga:

#6. Trauma atau krisis kehidupan punca wujud rasa nak bunuh diri

Krisis kehidupan yang besar mungkin akan mencetuskan keinginan seseorang untuk membunuh diri.

Ia termasuklah kematian seseorang yang disayangi, perceraian, didiagnosis memiliki penyakit kronik, kehilangan pekerjaan dan juga masalah kewangan yang serius.

#7. Melakukan persediaan

Antara kelakuan yang mungkin akan dilakukan oleh seseorang itu ialah:

  • melawat rakan dan saudara-mara
  • mula memberikan barangan peribadi kepada orang lain,
  • menulis wasiat
  • membersihkan rumah atau bilik
  • menulis nota tertentu sebelum kejadian yang tidak diingini ini berlaku

#8. Mengancam untuk membunuh diri

Walaupun tidak semua individu yang ingin membunuh diri akan menyatakan sedemikian, tetapi setiap ugutan atau ancaman seperti ini perlu diambil berat. 

Antara tanda-tanda kecil lain akibat kemurungan adalah:

  • Perubahan corak tidur seseroang seperti kerap tidur, kurang tidur atau mempunyai kesukaran untuk tidur pada waktu malam
  • Perubahan berat badan atau selera makan
  • Keletihan atau kehilangan banyak tenaga
  • Kurang memberikan tumpuan atau berfikir secara perlahan
  • Mempunyai rasa seperti tidak berharga, penolakan diri atau rasa bersalah
  • Berfikir mengenai mati, bunuh diri atau teringin untuk mati

Rasa Nak Bunuh Diri

Ada individu rasa nak bunuh diri? Lakukan ini

Terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi membantu mereka. Ikuti langkah-langkah ini:

  • Jangan tinggalkan individu tersebut berseorangan. Dapatkan bantuan daripada rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain
  • Jauhkan sebarang senjata atau alat tajam daripada individu tersebut. Minta individu tersebut untuk menyerahkan sebarang alat atau senjata yang mereka miliki kepada anda. Ini adalah untuk mengurangkan risiko terjadinya kelakuan yang boleh membahayakan diri mereka sendiri
  • Tenangkan individu tersebut
  • Hubungi nombor kecemasan seperti bomba atau polis atau bawa mereka ke unit kecemasan hospital

Kesimpulan

Walaupun anda mungkin menganggap bahawa rakan bergurau apabila mengata ada rasa nak bunuh diri, tetapi ia mungkin bukan satu gurauan pada mereka.

Kadangkala, anda mungkin tidak menyangka bahawa kelakuan rakan anda sebelum ini tidak mencerminkan tindakan mereka di kemudian hari.

Jika anda mendapati tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas berlaku pada rakan anda, hulurkan tangan anda untuk membantu menenangkan mereka.

Jika anda tidak begitu pasti apa yang ingin dilakukan, dapatkan bantuan daripada rakan atau ahli keluarga terdekat.

Anda juga boleh mendapatkan bantuan sokongan emosi untuk rakan anda daripada befrienders di talian 03-79568145 yang beroperasi selama 24 jam.

Ingatlah, jangan tinggalkan rakan anda bersendirian pada fasa kesukaran mereka.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Recognizing Suicidal Behavior. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/11352-recognizing-suicidal-behavior, Accessed on Sept 11, 2022
  2. Risk factors, protective factors, and warning signs. https://afsp.org/risk-factors-protective-factors-and-warning-signs, Accessed on Sept 11, 2022
  3. Warning Signs for Suicide. https://www.sprc.org/about-suicide/warning-signs, Accessed on Sept 11, 2022
  4. Suicide and suicidal thoughts. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/suicide/symptoms-causes/syc-20378048, Accessed on Sept 11, 2022
  5. WARNING SIGNS OF SUICIDE. https://save.org/about-suicide/warning-signs-risk-factors-protective-factors/, Accessed on Sept 11, 2022

Versi Terbaru

11/09/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Remaja Perempuan Lebih Ramai Dirawat Di Hospital Selepas Cubaan Mencederakan Diri

Kehadiran Anda Membawa Perbezaan! Ini Cara Bantu Mereka Yang Ingin Membunuh Diri


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan