Walaupun kadang-kadang ayat-ayat di atas dilontarkan dengan nada bergurau atau dengan bersahaja, ia mempunyai kesan yang mendalam dan juga berpanjangan terhadap mentaliti kaum lelaki. Masyarakat beranggap kaum lelaki perlu memenuhi ‘peranan-peranan’ tersebut tanpa gagal. Mereka dikhendaki untuk tidak meminta bantuan, perlu menyelesaikan semua perkara dan urusan dengan sendiri, tidak menunjukkan kesedihan mereka di khalayak ramai dan juga perlu ‘menadah’ tubuh badan mereka jika ada orang meminta tolong dari sudut fizikal walaupun mereka tidak berada dalam keadaan yang sihat atau kuat sepenuhnya.
Penulis sendiri pernah berhadapan dengan situasi ini walaupun berada dalam komuniti perubatan yang profesional. Ketika menghidap penyakit yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad, penulis pernah diberitahu untuk ‘tahan sedikit rasa sakit itu, anda kan lelaki’ apabila meminta untuk mendapatkan ubat tahan sakit. Hairan, jantina tidak termasuk dalam indikasi untuk ubat tahan sakit. Lagipun, penulis sedang mengalami kesakitan pada skala 7/10, apa perlunya penulis ‘menjadi kuat’ di saat itu sedangkan ada ubat untuknya? Kenapa wanita sahaja yang dibenarkan untuk tidak terus menderita menahan sakit dengan sendirinya?
Oh saya tahu kenapa – sebab saya kan lelaki.
Akibat stigma dan stereotaip ini, kaum lelaki kurang cenderung untuk berkongsi tentang masalah kesihatan mereka (termasuk kesihatan mental) atau untuk mendapatkan rawatan dan pertolongan. Kesannya, mereka terpaksa menderita lebih lama dan berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi kesihatan yang lebih teruk. Fenomena yang mencirikan bagaimana stereotaip maskulin lelaki ini menyebabkan mereka lebih berisiko untuk jatuh sakit, menderita dan juga terkorban ini disebut sebagai maskuliniti toksik.
Stereotaip yang tersebar luas di seluruh dunia
Awal tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan statistik yang menunjukkan kaum wanita hidup lebih lama berbanding kaum lelaki di seluruh dunia. Jurang umur antara dua jantina ini adalah lebih tinggi dalam negara dunia ketiga dan negara membangun berbanding negara maju.
Dalam memperhalusi punca mengapa terjadinya perbezaan ini, beberapa perkara telah dikenal pasti. Menurut Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Pengarah WHO, selain faktor biologi faktor persekitaran dan juga faktor budaya memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi statistik ini. Terdapatnya perbezaan tingkah laku (dalam mendapatkan rawatan) antara kaum lelaki dan wanita, dan perbezaan ini sedikit sebanyak didorong oleh peranan sosial yang diberikan terhadap kaum lelaki. Sebagai contoh, dalam negara yang mengalami epidemik HIV yang menyeluruh, kaum lelaki didapati kurang cenderung atau terbuka untuk ujian HIV ataupun rawatan antiretroviral berbanding wanita. Kesannya, mereka lebih cenderung untuk mati akibat penyakit-penyakit berkaitan AIDS.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen