home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Sentuhan & Pelukan Penting Di Kala PKPB Ini, Usah Menyendiri!

Sentuhan & Pelukan Penting Di Kala PKPB Ini, Usah Menyendiri!

Manusia merupakan makhluk sosial. Kita mempunyai pelbagai cara untuk berhubung antara satu sama lain – sama ada melalui percakapan ataupun sentuhan.

Namun, pasti ramai yang tidak sangka, hidup tanpa sentuhan mempunyai kesan buruk yang tersendiri.

Lebih-lebih lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dijalankan sejak Mac lalu. Ramai di antara kita yang ditinggalkan berseorangan ataupun terpisah dengan ahli keluarga masing-masing.

Tanpa disedari, kita terputus dengan salah satu keperluan asas kita sebagai manusia iaitu sentuhan.

Sentuhan – Nikmat yang selalu dilupakan

Semua manusia di muka bumi ini perlukan sentuhan. Tidak kiralah jika ia dalam bentuk sebuah pelukan, sentuhan di pipi ataupun sekadar bersalaman.

Pendek kata, manusia memerlukan sentuhan untuk kekal hidup. Malah, ia merupakan sebahagian daripada naluri manusia sejak kecil.

Sejak lahir lagi, bayi mendambakan sentuhan daripada ibunya. Jika bayi tidak disentuh langsung oleh ibunya, bayi tersebut boleh meninggal dunia!

Malah, bayi juga mungkin akan alami masalah tumbesaran jika tidak mendapat sentuhan yang mencukupi. Otak mereka tidak akan berkembang dengan baik dan sistem imun juga tidak dapat berfungsi dengan betul.

Sentuhan merupakan bahasa pertama yang dipelajari bayi sebagai salah satu cara untuk mereka menzahirkan rasa sayang. Pada masa yang sama, dengan sentuhan juga mereka rasa diri mereka disayangi.

Jelaslah bahawa sentuhan merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan seharian.

Namun, disebabkan pandemik yang melanda, ramai yang terpaksa berkurung dan tinggal dalam isolasi.

Akibatnya, ada di antara kita yang menderita dengan penyakit mental kerana tidak menerima sebarang pelukan mahupun sentuhan sejak bulan Mac yang lepas.

Mengidamkan sentuhan setelah lama berseorangan

kesan sentuhan

Apabila sentuhan bukan lagi sesuatu yang lazim kita rasai, manusia akan mengalami satu keadaan yang dikenali sebagai touch starvation atau kelaparan sentuhan.

Sama seperti lapar setelah lama tidak menjamah sebarang makanan, mereka yang ‘laparkan’ sentuhan juga sebenarnya berada dalam situasi yang sama.

Mereka inginkan sentuhan daripada seseorang, namun tidak dapat melakukannya disebabkan oleh pandemik yang melanda.

Badan manusia dicipta untuk mentafsir sentuhan sebagai satu pengalaman yang indah dan menggembirakan. Ramai yang rasa selamat ketika disentuh atau berada dalam dakapan seseorang.

Sentuhan merupakan sesuatu yang positif dan berupaya menjadi ikatan yang mengeratkan hubungan antara dua insan.

Apabila kita berseorangan dan tidak menerima sebarang sentuhan dalam satu jangka masa yang panjang, badan kita akan mula rasa tidak selesa dan rasa seperti berada di dalam bahaya.

Sebenarnya, ada sebab mengapa badan kita akan rasa stres setelah lama tidak bersentuhan dengan manusia lain.

Salah satu fungsi sentuhan yang paling besar adalah untuk melegakan tekanan perasaan. Selain itu, sentuhan juga dapat membantu sistem imun untuk berfungsi dengan baik.

Malah, mereka yang mendambakan pelukan akan mengalami masalah kesihatan mental. Mereka lebih mudah diserang rasa gelisah dan depresi. Mereka juga lebih sukar untuk tidur dan akan rasa lebih sunyi.

Kesan sentuh terhadap manusia

Tidak kiralah sentuhan yang diterima merupakan pelukan daripada ahli keluarga ataupun oleh sahabat baik, kedua-duanya mempunyai manfaat dan impak positif terhadap kesihatan anda.

Sentuhan yang diterima tidak perlu dalam bentuk seksual. Sentuhan biasa antara dua orang sahabat juga mempunyai kuasa yang sama.

Namun, sudah pastilah sentuhan yang diterima itu tidak akan sehebat sentuhan daripada insan yang kita sayangi.

Malah, menurut kajian, pelukan yang diberikan sebelum seseorang itu berhadapan dengan sesuatu bentuk stres didapati boleh membuatkan individu tersebut lebih tenang.

Tambah lagi, kesan sentuhan sebenarnya kekal dalam satu jangka masa yang panjang, bukannya hanya selama beberapa saat!

Oleh sebab itu, jangan pernah abaikan jika suami atau isteri anda minta dipeluk setelah penat bekerja seharian. Mana tahu mereka benar-benar perlukan pelukan daripada anda!

Manfaat satu pelukan sehari

kesan sentuhan

Pelukan juga didapati dapat membantu menghasilkan hormon oksitosin yang dapat memupuk perasaan positif dan menguatkan hubungan emosi antara manusia.

Dalam masa yang sama, rasa takut dan gelisah yang menghantui diri akan semakin berkurang. Setelah mendapat pelukan, perasaan itu akan digantikan dengan rasa lega dan tenang. Hebatkan manfaat sebuah pelukan!

Walaupun kita hidup pada zaman serba moden, teknologi bukanlah pengganti untuk segalanya.

Namun, menurut Dr. Asim Shah daripada Baylor College of Medicine, mereka yang rasa sunyi boleh berhubung dengan orang lain melalui panggilan video.

Walaupun tidak dapat mengubati keinginan untuk mendapatkan sentuhan, panggilan video sedikit sebanyak dapat melegakan kesunyian dan masalah mental yang ramai orang hadapi akibat isolasi.

Adakah ini pengakhiran untuk sentuh?

kesan sentuhan

Pandemik ini telah menyaksikan betapa bahayanya sentuhan, dan bagaimana sebuah penyakit yang pada awalnya terletak di benua lain boleh merebak dengan pantas ke seluruh dunia.

Jika pandemik ini berakhir, adakah kita akan terus mengalamalkan norma baharu ini iaitu tiada sentuhan langsung?

Malah, Dr. Anthony Fauci, Pengerusi National Institute of Allergy and Infectious Diseases di Amerika Syarikat juga percaya bahawa manusia tidak lagi perlu untuk bersalaman.

Menurut beliau, amalan ini bukan sahaja lebih selamat, malah kadar influenza di seluruh dunia juga dapat dikurangkan secara drastik.

Walaupun manusia merupakan makhluk yang mudah menyesuaikan diri dan tahan lasak, tapi adakah kita mampu bertahan dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang sentuhan ataupun kemesraan?

Apa pendapat anda?

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Greater Good Magazine. 2010. Hands On Research: The Science of Touch. September 19. Accessed November 18, 2020. https://greatergood.berkeley.edu/article/item/hands_on_research.
  2. Stanford Medicine. 2013. The benefits of touch for babies, parents. September 23. Accessed November 18, 2020. https://med.stanford.edu/news/all-news/2013/09/the-benefits-of-touch-for-babies-parents.html.
  3. Texas Medical Center. 2020. Touch starvation is a consequence of COVID-19’s physical distancing. May 15. Accessed November 18, 2020. https://www.tmc.edu/news/2020/05/touch-starvation/.
  4. The University of Edinburgh. 2020. Skin Hunger. June 23. Accessed November 18, 2020. https://www.ed.ac.uk/chaplaincy/for-times-like-these/skin-hunger.
  5. Wired. 2020. Skin hunger helps explain your desperate longing for human touch. April 29. Accessed November 18, 2020. https://www.wired.co.uk/article/skin-hunger-coronavirus-human-touch.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 23/11/2020
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
x