Kes-kes bunuh diri semakin kerap berlaku di seluruh dunia setiap hari. Bukan sahaja di negara-negara luar, malah di Malaysia juga ia telah menjadi satu kes yang perlu diberi perhatian.
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group
Kes-kes bunuh diri semakin kerap berlaku di seluruh dunia setiap hari. Bukan sahaja di negara-negara luar, malah di Malaysia juga ia telah menjadi satu kes yang perlu diberi perhatian.
Disebabkan terlalu kerap berlaku, timbul satu persoalan, adakah perasaan ingin bunuh diri ini satu penyakit otak atau tidak?
Sebelum ini, dalam dunia psikiatri, mereka yang membunuh diri ini didefinisikan sebagai seorang individu yang mengalami kemurungan atau tekanan.
Namun, definisi ini mula berubah apabila autopsi terhadap mayat individu yang membunuh diri ini menemukan satu penemuan lain.
Terdapat beberapa ciri tertentu yang terdapat dalam otak mereka yang bunuh diri ini.
Pertama, berlakunya perubahan struktur dalam korteks prefrontal, iaitu bahagian otak yang mengawal proses membuat keputusan.
Kedua, terdapat tahap perubahan serotonin neurokimia dalam otak mereka.
Apa yang lebih mengejutkan, 2 ciri ini wujud dalam otak mereka yang membunuh diri walaupun sebelum ini mereka tidak mempunyai sebarang gangguan pada otak seperti kemurungan, schizofrenia atau gangguan bipolar.
Namun, menurut Dr. Gustavo Turecki, pakar dalam bidang sains neuro di The Douglas Research Centre, tidak terdapat sebarang penyebab neuro yang mempengaruhi niat untuk seseorang itu membunuh diri.
Dr. Gustavo menyatakan, apa yang lebih cenderung menyebabkan niat membunuh diri itu adalah disebabkan oleh faktor-faktor di sekelilingnya.
Faktor-faktor di sekeliling individu tersebut memicu beberapa perubahan dalam otak sehingga meningkatkan risiko individu untuk membunuh diri.
Antaranya adalah seperti pengalaman didera, gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD), keresahan dan gangguan tidur.
Walaupun tidak dapat dipastikan dengan kuat, namun terdapat beberapa bukti kajian yang menyatakan genetik juga turut mempengaruhi niat seseorang untuk membunuh diri.
Sebagai contoh, ada satu kajian yang menyatakan, pasangan kembar seiras mempunyai kecenderungan untuk sama-sama membunuh diri sebanyak 15% berbanding pasangan kembar tidak seiras yang hanya mempunyai kecenderungan sebanyak 1%.
Selain itu, ada kajian turut mendapati, terdapat kecenderungan untuk membunuh diri sebanyak 6 kali ganda bagi mereka yang mempunyai pertalian biologi atau hubungan kekeluargaan dengan individu yang telah membunuh diri.
Kajian pembedahan ke atas otak mereka yang telah membunuh diri mendapati, individu yang bunuh diri setelah mengalami kemurungan mempunyai kimia otak yang berbeza berbanding individu yang mengalami kemurungan tetapi meninggal dunia disebabkan oleh faktor semula jadi.
Sebelum ini, American Psychiatric Association (APA), iaitu pihak yang membangunkan Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) pernah mencadangkan agar kelakuan bunuh diri (suicidal behavior disorder) diiktiraf sebagai 1 penyakit.
Dalam cadangan tersebut, mana-mana individu yang cuba melakukan bunuh diri dalam tempoh 2 tahun yang lepas disebabkan oleh faktor yang tidak berkaitan dengan politik dan agama, akan dianggap menghidap penyakit bunuh diri.
Antara sebab mengapa pihak American Psychiatric Association (APA) menganjurkan cadangan ini adalah seperti berikut:
Namun cadangan ini masih tidak dilaksanakan atas beberapa faktor pertimbangan. Ini termasuklah kerana kes bunuh diri dianggap sebagai kesan daripada gangguan mental yang berlaku seperti PTSD, gangguan bipolar dan kemurungan.
Jadi, adakah kelakuan atau niat untuk membunuh diri ini diklasifikasikan sebagai penyakit otak? Jawapannya tidak sama sekali.
Niat atau kelakuan untuk membunuh diri ini bukanlah satu penyakit otak tetapi ia adalah kesan akibat gangguan mental yang berlaku pada otak individu tersebut.
Beberapa perubahan pada otak mungkin membezakan antara otak individu yang membunuh diri dengan mereka yang lain, namun ia bukanlah penyebab utama kepada kejadian bunuh diri tersebut.
Tambahan pula, masih banyak lagi kajian dan pertimbangan diperlukan untuk menguatkan hal ini sehinggalah ia boleh dianggap sebagai salah satu penyakit otak.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen