backup og meta

Bagaimana Mengenal Pasti Sama Ada Rakan Anda Ingin Membunuh Diri?

Bagaimana Mengenal Pasti Sama Ada Rakan Anda Ingin Membunuh Diri?

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan kematian hampir 1 juta individu setiap tahun adalah kerana membunuh diri. Pernahkah anda tertanya seandainya rakan anda berniat untuk membunuh diri? Mereka mungkin bergurau mengenainya tetapi bagaimana untuk mengetahui tahap keseriusan mereka? Artikel ini akan membantu anda untuk mengenal pasti sama ada rakan anda ingin membunuh diri atau tidak dan bagaimana untuk membantu.

Apakah tanda-tanda wujudnya keinginan membunuh diri?

Apabila rakan anda mempunyai pemikiran untuk membunuh diri atau mencederakan diri, mereka akan kerap meluahkan keinginan itu melalui tulisan, percakapan, dan tingkah laku. Anda mungkin akan menyedari bahawa mereka sering mencari jalan untuk membunuh diri, seperti membeli pil atau ubatan mahupun senjata.

Perbuatan ini adalah semakin berbahaya sekiranya rakan anda mempunyai masalah gangguan mental seperti kemurungan  atau gangguan bipolar , atau mempunyai masalah pengambilan alkohol. Individu yang pernah gagal membunuh diri atau mempunyai sejarah keluarga yang membunuh diri, merupakan antara individu yang berisiko tinggi dan berbahaya.

Tanda lain keinginan membunuh diri adalah rasa putus asa. Rakan anda mungkin sering kelihatan kecewa atau tertekan. Rasa putus asa cenderung membawa kepada membunuh diri. Apabila seseorang individu rasa putus asa atau merasakan tiada jalan keluar dari masalah yang dilalui, jalan yang kerap diambil adalah dengan membunuh diri.

Rakan anda mungkin kerap meluahkan perasaan yang tidak mampu ditanggung, masa depan yang menakutkan dan tiada harapan buat mereka. Mereka mungkin melihat bahawa harapan pada masa depan sudah hilang dan tiada semangat untuk masa kini. Mereka mungkin tenggelam dengan masa lalu dan menyalahkan diri atas sebarang kesilapan yang pernah dilakukan.

Seandainya anda menyedari emosi rakan anda kerap berubah secara ekstrem, misalnya, jika sebelum ini mereka adalah individu yang periang dan positif, tetapi sekarang mereka tertekan. Atau mungkin rakan anda adalah individu yang baik dan gemar bersosial dan kini menjadi individu yang agresif. Ini merupakan tanda wujudnya niat untuk membunuh diri. Rakan anda mungkin mempunyai emosi yang mudah berubah kerana mereka telah hilang keinginan untuk melakukan aktiviti harian.

Lebih khusus lagi, jika individu tersebut mula mempunyai beberapa atau kesemua simptom berikut yang boleh anda kenal pasti melalui tingkah laku harian mereka, individu tersebut mungkin berisiko membunuh diri. Antara simptomnya:

  • Meluahkan rasa putus asa
  • Mudah marah
  • Bertindak sebelum berfikir, gemar lakukan aktiviti berisiko tinggi
  • Kurang prihatin terhadap impak dari sesuatu perkara
  • Bercakap tentang terperangkap di suatu tempat
  • Merosakkan diri – kecederaan fizikal, penyalahgunaan dadah atau alkohol
  • Berlaku penurunan atau pertambahan berat badan akibat perubahan selera makan
  • Kerap mengasingkan diri
  • Kegelisahan dan kelesuan melampau
  • Tidur terlalu banyak atau kurang tidur
  • Emosi mudah berubah
  • Kurang matlamat hidup
  • Tidak hiraukan tentang penampilan diri, hilang minat dalam hobi
  • Mula membuat wasiat

Simptom ini mungkin benar berlaku apabila rakan anda mempunyai percubaan untuk membunuh diri. Walau bagaimanapun, anda mungkin menyedari tentang perubahan emosi, dari tertekan kepada gembira dalam sekelip mata. Perubahan ini tidak bermakna mereka semakin baik. Sebaliknya ia mungkin tanda bahawa mereka sudah memutuskan untuk membunuh diri.

Bagaimana membantu rakan anda ingin membunuh diri?

Sekiranya anda mengesyaki rakan anda ingin membunuh diri, anda patut berbincang dengan mereka secara peribadi. Ia bukan satu perkara yang mudah dan mungkin mengambil beberapa kali percubaan sebelum anda berjaya berdepan dengan rakan anda. Namun, cara terbaik untuk memastikan sama ada rakan anda mempunyai keinginan untuk membunuh diri atau tidak, adalah dengan bertanya. Ada masanya sukar untuk mengetahui apa yang harus dikatakan. Berikut adalah beberapa cadangan:

  • Saya bimbangkan awak
  • Baru-baru ini, saya perasan beberapa perubahan dalam diri awak dan tertanya-tanya bagaimana keadaan awak
  • Awak tidak seperti diri awak kebelakangan ini. Saya cuma ingin bertanya keadaan awak
  • Sejak bila awak mula berperasaan begini?
  • Ada apa-apa yang berlaku yang menyebabkan awak jadi begini?
  • Bagaimana saya boleh membantu awak?
  • Pernahkah awak terfikir untuk mendapatkan bantuan?
  • Awak tidak keseorangan, saya di sini jika awak memerlukan
  • Awak mungkin tidak percaya, tetapi apa yang awak rasa, akan berubah nanti
  • Saya mungkin tidak tahu apa yang awak rasai tetapi saya ambil berat tentang awak dan ingin membantu
  • Apabila awak merasa seperti berputus asa, bertahan dan hubungi saya

Bercakap dengan individu yang berkeinginan untuk membunuh diri boleh menjadi satu perkara yang mencabar. Emosi kesedihan dan kesakitan akan mengaburi pertimbangan mereka. Adalah penting untuk anda mengingati beberapa perkara apabila bercakap dengan individu yang ingin membunuh diri. Anda patut:

  • Menjadi diri anda. Biarkan rakan anda tahu betapa anda benar-benar peduli tendang keadaannya. Biarkan nada dan tona suara anda menunjukkan betapa anda prihatin
  • Dengarkan rakan anda. Biarkan rakan anda meluahkan kesakitan yang dirasainya walaupun ia kedengaran negatif
  • Bersimpati dan tidak menghakimi. Sabar dan tenang. Sebagaimana ia sukar untuk didengari, rakan anda sedang kesakitan dan ia adalah tanda yang baik jika mereka mampu meluahkan kepada anda
  • Tawarkan harapan. Yakinkan kepada rakan anda bahawa apa yang dirasainya adalah bersifat sementara dan mereka adalah penting kepada anda
  • Jangan berdebat. Elakkan dari bertengkar dengan rakan anda yang ingin membunuh diri. Ia mungkin membuatkan rakan anda berdiam diri dan tidak mahu bercakap dengan anda
  • Jangan membebel. Ini bukanlah masa untuk anda memberitahu bahawa membunuh diri adalah salah atau betapa pentingnya hidup ini. Rakan anda ingin anda mendengar bukan untuk mendengar anda membebel.

Dalam beberapa kes, anda mungkin perlu mendapatkan bantuan profesional. Galakkan rakan anda untuk mendapatkan bantuan. Anda boleh menawarkan diri untuk bersama mereka sebagai sokongan. Seorang pakar kesihatan mental seperti psikologi atau kaunselor boleh mengenal pasti perkara yang mencetuskan keinginan membunuh diri dan membantu rakan anda melalui tempoh yang sukar ini.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Suicide – prevention – helping someone who is suicidalhttp://www.helpguide.org/articles/suicide-prevention/suicide-prevention-helping-someone-who-is-suicidal.htm Accessed September 11, 2016

Warning signs http://www.nhs.uk/Conditions/Suicide/Pages/warning-signs.aspx Accessed September 11, 2016

Versi Terbaru

24/06/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Kehadiran Anda Membawa Perbezaan! Ini Cara Bantu Mereka Yang Ingin Membunuh Diri

Bunuh Diri, Mengapa Ramai Pilih Mercu Tanda Ikonik Seperti Jambatan Pulau Pinang?


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan