Kaitan Antara Cara Bersetubuh Dan HIV: Bagaimana Anda Boleh Dijangkiti?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 24/06/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Latar Belakang HIV dan AIDS

Human immunodeficiency virus (HIV) adalah sejenis retrovirus yang menjangkiti sel-sel imun dalam badan manusia, sehingga membawa kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS). AIDS adalah keadaan di mana sistem imun seseorang berterusan untuk gagal dan tidak lagi berupaya untuk melindungi seseorang itu sehinggakan jangkitan oportunistik dan juga barah boleh berlaku. AIDS mula dilaporkan pada tahun 1981 di negara Amerika Syarikat. Ketika itu, kes AIDS yang dikenal pasti ini membabitkan kumpulan penagih dadah yang menggunakan dan berkongsi jarum, dan juga komuniti lelaki yang  mengamalkan cara bersetubuh melalui dubur dengan lelaki lain (homoseksual), yang mana kedua-dua kumpulan ini tidak mempunyai sebarang latar belakang atau punca yang boleh menjelaskan penurunan drastik ketahanan imuniti mereka.

Kumpulan-kumpulan ini ketika itu didapati menghidap sejenis jangkitan paru-paru yang diberi nama Pneumocystis jirovecii pneumonia, bermaksud jangkitan paru-paru oleh spesis kulat Pneumocystis jirovecii. Jangkitan paru-paru akibat fungus ini lazimnya berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sistem imun yang terlalu lemah. Dalam orang biasa, sistem imun badan mereka adalah cukup kuat dan kompeten untuk membendung daripada berlakunya jangkitan ini. Untuk itu, pengkaji yang mula mengenal pasti penyakit ini dalam kumpulan-kumpulan tadi menjadi muyskil dan bingung. Apa yang lebih menghairankan adalah tidak lama kemudian, beberapa lagi golongan lelaki homoseksual didapati mula untuk menghidapi penyakit kanser darah dan kulit yang cukup jarang berlaku, yang disebut sebagai Kaposi’s sarcoma.

Pada peringkat awal, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat tidak mempunyai nama untuk penyakit ini namun, melihat kepada insiden kes ini yang tinggi dalam kalangan lelaki yang bersetubuh dengan lelaki, mereka menggunakan terma awal ‘GRID‘ (Gay-Related Immune Deficiency).  Secara retrospektifnya, AIDS dikatakan mula direkodkan pada tahun 1966 di Norway. Apapun, hanya pada tahun 1983, retrovirus mula dikenal pasti sebagai punca kepada berlakunya AIDS. Walaupun lebih 30 tahun ianya telah dikenal pasti, masih tiada rawatan untuk membunuh dan merawat pesakit yang menghidap penyakit ini secara penuh. Sehingga kini, ia kekal sebagai cabaran paling hebat dalam kesihatan awam khususnya untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Beban HIV ke Atas Masyarakat Dunia

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 35 juta nyawa telah diragut oleh virus durjana ini. Pada penghujung tahun 2017, dilaporkan bahawa lebih 36.9 juta penduduk bumi hidup dengan HIV dan sekitar 1.8 juta pesakit baru dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia. Benua Afrika kekal sebagai benua yang menerima beban penyakit ini yang paling tinggi, dengan 25.7 juta penghidap HIV adalah daripada benua ini, dan sekitar 2/3 daripada kes baru tahunan di seluruh dunia, berasal dari benua Afrika.

HIV dan Malaysia

Di Malaysia, kes jangkitan HIV yang mula dilaporkan adalah pada tahun 1985. Sejak daripada itu, 16,000 kematian akibat HIV telah dicatatkan sehingga penghujung tahun 2013 dan lebih 100,000 rakyat Malaysia telah dilaporkan menghidap jangkitan ini dalam tempoh yang sama. Menurut Majlis AIDS Malaysia, 3397 kes HIV baru telah dilaporkan pada tahun 2016, dengan majoritinya berlaku dalam kalangan lelaki (sebanyak 2984 kes) berbanding wanita (sebanyak 413 kes). Trend notifikasi menunjukkan bahawa terdapat penurunan kes HIV baru yang dilaporkan sejak ianya memuncak pada tahun 2002 (dengan 28.4 kes setiap 100,000 penduduk) kepada 11 kes baru setiap 100,000 penduduk pada tahun 2016.

Bagaimana HIV boleh berjangkit?

Apabila HIV berada dalam sistem badan seseorang, ianya mampu untuk berada dalam cecair-cecair utama badan seperti darah, air mani, lendiran faraj, air mazi dan susu badan. Justeru, apa-apa aktiviti yang membabitkan pendedahan kepada cecair-cecair ini dari satu individu kepada yang lain, berupaya untuk mengakibatkan tersebarnya jangkitan HIV.

Penyebaran atau kontaminasi dengan cecair-cecair ini boleh berlaku melalui beberapa perkara, namun 3 yang utama adalah:

Bersetubuh Dengan Mereka yang Dijangkiti 

Bersetubuh dengan mereka yang dijangkiti khususnya tanpa perlindungan yang cukup akan menyebabkan anda berisiko untuk menerima jangkitan HIV daripada mereka. Jika anda fikir bahawa anda boleh mencegahnya dengan cara mengelakkan daripada bersetubuh dengan orang yang dijangkiti, anda mungkin belum faham bagaimana HIV bertindak. Apabila seseorang itu dijangkiti dengan virus HIV, virus ini mempunyai keupayaan untuk kekal pendam dalam badan orang tersebut dalam tempoh yang sangat lama, dari 5 hingga 10 tahun. Apabila ianya kekal pendam, ianya tidak mengakibatkan apa-apa simptom atau tanda yang jelas. Bahkan, kebanyakan individu yang dijangkiti tidak akan mempunyai sebarang simptom atau tanda bahawa mereka telah dijangkiti pada awalnya. Justeru, ini mendorong mereka untuk rasa selamat dan menyangkakan diri mereka bersih daripada sebarang jangkitan. Natijahnya, mereka akan cenderung untuk melakukan seks tanpa perlindungan bersama dengan pasangan mereka. Ini adalah ‘ilusi’ utama yang menyebabkan virus ini mampu tersebar luar.

Apabila seorang lelaki dan seorang perempuan bersetubuh mereka boleh menyebarkan dan menerima jangkitan dari satu sama lain. Jika wanita tersebut yang positif HIV, dia boleh menyebarkan virus HIV kepada pasangan lelakinya ketika bersetubuh dengan cara pendedahan kepada cecair dalaman faraj. Cecair dalaman faraj si wanita tersebut mampu untuk meresap ke dalam permukaan/membran mukosa yang terdapat pada hujung salur kencing zakar lelaki, atau pada mana-mana luka atau ulser pada zakar lelaki tersebut. Luka atau ulser pada permukaan zakar lelaki bertindak sebagai titik masuk untuk virus HIV dalam cecair faraj wanita itu tadi. Namun yang demikian, penyebaran dari wanita kepada lelaki ini berlaku dengan kekerapan yang lebih rendah, kerana luas permukaan membran mukosa pada lelaki yang lebih kecil ketika bersetubuh.

Sekiranya lelaki tersebut yang berstatus HIV positif, kebarangkalian untuk dia menyebarkan virus ini ketika bersetubuh dengan wanita tanpa perlindungan adalah lebih tinggi. Ini kerana ketika mereka bersetubuh, keseluruhan permukaan yang bertemu dengan zakar lelaki tersebut adalah permukaan membran mukosa diding faraj wanita tersebut. Justeru, apa-apa cecair yang mengandungi virus HIV akan meresap ke dalam permukaan membran mukosa dinding faraj wanita tersebut dengan sangat mudah sekali gus, memperkenalkan virus HIV itu ke dalam tubuh wanita tadi. Cecair-cecair yang dikeluarkan si lelaki boleh jadi dari air mazinya, air maninya dan juga melalui darah pada ulser atau luka pada zakarnya.

Cara Bersetubuh dan Orientasi Seksual

Penting juga untuk diingati, aktivti bersetubuh ini tidak terhad antara lelaki dengan wanita sahaja dan ianya tidak terhad kepada cara bersetubuh melalui faraj sahaja. Cara bersetubuh melalui lubang dubur (seks anal) adalah sejenis cara bersetubuh dan tingkah laku seks yang kian popular dan dikatakan lebih nikmat kepada si lelaki kerana kemutan yang lebih ketat dan kuat oleh lubang dubur. Cara bersetubuh melalui dubur tidak unik untuk pasangan heteroseksual sahaja, malah ianya adalah cara bersetubuh utama dalam pasangan lelaki homoseksual. Golongan lelaki homoseksual dan lelaki biseksual adalah kumpulan yang paling terkesan dan mendominasi peratusan mereka yang dijangkiti HIV. Menurut CDC, kumpulan ini mewakili 67% daripada keseluruhan kes HIV baru pada tahun 2016 di Amerika Syarikat. Menurut UNAIDS, bilangan lelaki yang mengamalkan cara bersetubuh melalui dubur dengan lelaki lain adalah sekitar 140 000 orang dan mereka mempunyai prevalens jangkitan HIV yang tinggi iaitu sebanyak 21.6%.

Ini dapat disandarkan kepada cara bersetubuh mereka. Seks anal adalah cara bersetubuh yang paling berisiko. Ini kerana lubang dubur tidak sesuai untuk menerima tusukan zakar ataupun untuk menampung aktiviti seks. Dinding-dinding lubar dubur penuh dengan hujung-hujung saraf yang sensitif kepada rasa sakit. Selain itu, ianya juga tidak bersifat anjal (mampu menyesuaikan bukaan mengikut saiz zakar). Justeru, tusukan zakar ketika bersetubuh ini akan menyebabkan berlakunya trauma pada pembukaan lubang dubur dan juga dinding dalaman lubang dubur. Lubang dubur juga secara semula jadinya tidak mempunyai rembesan untuk melincirkan geseran. Semua ini menyumbang kepada berlakunya luka dan koyak pada dinding lubar dubur sekali gus menjadi titik masuk yang mudah untuk virus HIV. Walaupun luka atau koyak itu minima, lapisan permukaan dinding dubur adalah sangat nipis. Justeru, sekiranya berlaku pendedahan dengan cecair badan ketika melakukan cara bersetubuh ini, ianya akan meresap dengan sangat mudah.

Antara kaedah lain berlakunya penyebaran HIV melalui persetubuhan adalah melalui servis pekerja seks (pelacur). Semestinya, cara bersetubuh melalui dubur berbanding melalui faraj tetap akan meningkatkan risiko anda untuk menerima atau memberi jangkitan HIV, walaupun dengan pasangan berlainan jantina dan bukannya dengan pasangan yang homoseksual. Namun yang demikian, kebanyakan rumah pelacuran kini mewajibkan pelanggan untuk menggunakan kondom bagi melindungi diri mereka dan juga pelacur tersebut. Sehubungan itu, jika dibandingkan dengan populasi berisiko yang lain (lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum) kumpulan pekerja seks mencatatkan prevalens jangkitan HIV yang paling rendah, sebanyak 6.3%.

Perkongsian Jarum Dengan Mereka Yang Dijangkiti

Data daripada UNAIDS menunjukkan sekitar 120 000 penagih dadah yang menggunakan jarum intravena di Malaysia. Daripada jumlah ini, prevalens jangkitan HIV adalah pada peratusan 13.5%, lebih rendah berbanding golongan lelaki yang bersetubuh dengan lelaki. Penyebaran virus HIV ini adalah jelas – perkongsian jarum yang telah terdedah kepada darah mereka yang dijangkiti. Penting juga untuk diingati, pendedahan kepada jarum yang telah tercemar dengan HIV bukanlah eksklusif kepada golongan yang menyalahgunakan dadah sahaja. Pekerja perubatan terdedah kepada risiko ini setiap kali mereka menguruskan pesakit yang menghidap HIV. Mereka berisiko untuk terkena tusukan jarum yang telah bercampur dengan darah pesakit, ketika melakukan prosedur seperti mengambil sampel darah pesakit.

Ibu HIV-Positif Yang Menyusukan Bayi Mereka

Selain jangkitan melalui darah dan bersetubuh, apabila seseorang wanita itu dijangkiti HIV, virus tersebut berupaya untuk menjangkiti bayi yang disusukan. Untuk itu, terdapat beberapa garis panduan yang mengetengahkan agar penggunaan susu formula adalah perlu dalam situasi di mana si ibu itu dijangkiti HIV dan tidak mendapat rawatan.

HIV juga boleh berpindah kepada bayi melalui makanan yang telah dikunyah sebelumnya oleh ibu atau penjaga yang dijangkiti HIV, walaupun risikonya adalah rendah.

Terdapat juga, walaupun jarang berlaku, kaedah jangkitan lain yang turut boleh berlaku antaranya:

  • Melalui perkongsian pisau cukur di tempat gunting rambut
  • Melalui seks oral (khususnya jika si penerima itu mempunyai luka atau ulser di bahagian mulut)
  • Melalui perkongsian berus gigi
  • Melalui servis tatoo
  • Melalui servis bertindik
  • Melalui rawatan kecantikan yang menggunakan jarum
  • Melalui pemindahan darah atau penerimaan darah
  • Melalui pencemaran ke atas luka badan yang terdedah
  • Melalui pemindahan organ dan tisu badan
  • Melalui prosedur kesihatan yang tidak bersih atau telah tercemar

Rawatan terkini untuk HIV

Hakikat jangkitan HIV adalah para saintis dan pengkaji belum lagi menemui ubat yang mampu untuk menyembuhkan seseorang itu sepenuhnya daripada HIV. Antara dua halangan terbesar yang menyukarkan rawatan penyembuhan jangkitan HIV adalah:

  1. Kerana virus ini mampu untuk bermutasi dengan cepat dan rintang terhadap rawatan yang diberikan, sekiranya pesakit lupa untuk mengambil ubat mereka, walaupun untuk sehari sahaja.
  2. Terdapat sebilangan virus-virus HIV ini yang menyorok di dalam sel-sel imun dan mereka kekal pendam di dalamnya. Virus-virus ini kekal bersembunyi dan tidak keluar ke dalam salur darah, menyebabkan rawatan sedia ada tidak mampu membunuh mereka.

Rawatan terkini untuk jangkitan HIV adalah rawatan Antiretroviral. Rawatan ini biasanya akan menggunakan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal beban virus di dalam badan pesakit. Rawatan ini dengan mudahnya dapat menghalang replikasi baru virus HIV dan membunuh virus HIV yang berada dalam darah. Saintis dan para pengkaji kini sedang mendalami dan mencari kaedah rawatan untuk ‘menendang’ keluar virus-virus HIV yang menyorok dalam sistem imun agar ianya terdedah di dalam darah dan senang untuk dibunuh.

Kejayaan terbesar rejim rawatan Antiretroviral ini adalah kebolehannya untuk merendahkan beban virus dalam badan penghidap, menjadikan penghidap HIV berupaya untuk bersetubuh dan mempunyai anak yang sihat, tanpa jangkitan HIV. Ini adalah sesuatu yang cukup menakjubkan kerana sebelum ini, sebaik sahaja seseorang itu menerima diagnosis HIV dan AIDS, ianya akan dipandang sebagai bom jangka atau suatu hukuman mati. Seseorang itu dikatakan hanya menunggu masa untuk bertambah sakit, mengalami komplikasi, sebelum akhirnya mati. Kini, komplikasi berkaitan dengan HIV dan AIDS mampu dicegah atau dilengahkan dan pasangan (di mana salah satu adalah penghidap HIV atau kedua-duanya) mampu untuk hidup hampir seperti normal, mempunyai anak dan tidak perlu diasingkan daripada masyarakat.

Sebagai rumusan, jangkitan HIV dan AIDS kekal sebagai beban kepada kesihatan awam di seluruh dunia. Melihat kepada komplikasi-komplikasi akibatnya dan juga hakikat bahawa tiada penawar untuknya, HIV dan AIDS tidak wajar dipandang enteng dan semua pihak harus cakna tentangnya. Pencegahan kekal sebagai langkah penting dalam menghentikan penyebaran dan penularan virus ini dalam masyarakat.

Kesedaran dan pendidikan tentang HIV dan AIDS adalah asas penting dalam mencegah penyebaran dan penularan virus HIV di peringkat akar umbi. Di samping mengelakkan diri daripada perbuatan berisiko tinggi atau tergolong dalam golongan yang berisiko untuk mendapat jangkitan HIV, setiap lapisan masyarakat juga perlu sedar tentang cara-cara pendedahan lain dalam kehidupan harian mereka yang menyebabkan mereka berisiko untuk mendapat jangkitan HIV. Langkah-langkah perlindungan, seperti menggunakan kondom apabila ingin bersetubuh dengan pasangan yang tidak diketahui status HIV mereka, perlu dipraktikan bagi melindungi diri sendiri dan insan tersayang daripada menerima atau memberi jangkitan HIV. Sekiranya anda inginkan maklumat lanjut, segeralah berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang betul serta ujian saringan yang tepat. Banyak kemudahan rawatan dan saringan disediakan di klinik-klinik dan hospital awam bagi memastikan penyakit ini terkawal dan penularannya dapat dihadkan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Dianggap Lemah & Lesu, Kenapa Ramai Orang Muda Sekarang Perlukan Bantuan Seksual?

    Bersempena Hari Belia Antarabangsa 2020, kami ingin mengutarakan satu isu tentang ramai orang muda yang ada masalah seksual. Jom ikuti artikel ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Seks Hubungan 11/08/2020 . 3 minit bacaan

    Ini Sebabnya Kenapa Perlu Cuci Rahim Selepas Gugur, Ibu Lepas Keguguran Kena Tahu!

    Dilation and curettage atau prosedur D&C adalah kaedah cuci rahim yang perlu dijalani oleh wanita selepas keguguran. Tetapi kenapa ia perlu dilakukan?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Kehamilan, Penjagaan Ibu hamil 10/08/2020 . 3 minit bacaan

    Risau Kakak Masih Belum Hamil Sebab Endometriosis, Ibu Pun Pernah Alaminya, Ini Penyakit KETURUNAN?

    Apa yang anda faham tentang penyakit endometriosis? Ada kata ia masalah ketidaksuburan yang diwarisi, benarkah? Jom fahami tentang keadaan kesihatan ini.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Kehamilan, Rancang Kehamilan 07/08/2020 . 3 minit bacaan

    Suami Minta ‘Bersama’ Selepas Bertengkar? Jangan Tolak, Ini 8 Sebab Hubungan Jadi Lebih Sensasi!

    Hubungan seksual selepas bergaduh bukanlah sesuatu yang pelik. Malah, seks boleh merapatkan lagi jurang hubungan di antara suami isteri.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Gaya Hidup Sihat, Seks Hubungan 28/07/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    hidung tersumbat

    Kenapa Hidung Saya Berdarah Setiap Hari? AWAS! Ia Mungkin Petanda Penyakit Ini…

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 30/09/2020 . 3 minit bacaan
    apa itu sepsis

    Pembunuh Senyap, Jutaan Penduduk Dunia Maut Angkara Keracunan Darah! Jaga-jaga Penyakit Sepsis

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 11/09/2020 . 3 minit bacaan
    penyakit klamidia

    Benarkah Jangkitan Klamidia Boleh Jadi Punca Kepada MATI PUCUK? Ini Jawapannya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 10/09/2020 . 3 minit bacaan
    parut czer

    Aduh, Ada Jangkitan Dekat Parut Czer? Jangan Pandang Remeh, Kenal Pasti Tandanya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 09/09/2020 . 3 minit bacaan