backup og meta

Lelaki Playboy Nampak Bergaya? Golongan Ini Berisiko Alami Masalah Mental!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/05/2021

    Lelaki Playboy Nampak Bergaya? Golongan Ini Berisiko Alami Masalah Mental!

    Seksisme adalah satu bentuk diskriminasi atau prejudis terhadap jantina tertentu, dan ia sering dikaitkan terutamanya dengan jantina perempuan berbanding lelaki.

    Asal usul terbitnya istilah ini tidak begitu jelas, namun ia mungkin mula digunakan secara meluas pada tahun 1960-an ketika gelombang kedua kebangkitan feminisme.

    Seksisme merupakan satu bentuk kepercayaan bahawa satu jantina adalah lebih baik dan berharga berbanding dengan yang lain.

    Pada asalnya, konsep ini digunakan bagi mengehadkan tingkah laku lelaki dan wanita di antara satu sama lain.

    Fokus utama adalah wanita dan perempuan yang sering ditindas dan dinafikan hak mereka terhadap sesuatu.

    Namun, idea berkenaan dengannya telah dikembangkan pada awal abad ke-21 setelah golongan homoseksual, transgender dan sebagainya diiktiraf.

    Kewujudan individu seksis bukan sahaja boleh mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap diri mereka sendiri.

    Kajian sains menunjukkan, mereka yang seksis lebih cenderung untuk mengalami masalah psikologikal.

    Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Maskuliniti toksik dan kaitannya dengan masalah psikologi

    lelaki playboy

    Apabila berbicara mengenai maskuliniti toksik, kita boleh menggunakan kotak sebagai analogi.

    Lelaki yang percaya kepada konsep maskulin seringkali memaksa diri mereka untuk mendiami kotak yang sempit dan tidak fleksibel walhal dunia yang luas terbentang di luar kotak tersebut.

    Mereka tidak boleh menunjukkan emosi mereka di luar dan segalanya perlu diselesaikan di dalam kotak yang didiaminya.

    Beberapa kepercayaan boleh dikaitkan dengan sikap maskuliniti toksik. Antaranya adalah:

  • Jangan kongsi kesakitan dengan orang lain. 
  • Lelaki tidak boleh kalah kepada sesiapa. 
  • Jangan menunjukkan sebarang emosi selain daripada marah.
  • Jangan bergantung kepada sesiapa. 
  • Jangan buat sesuatu yang dianggap lemah. 
  • Jangan mengeluh atau merengek. 
  • Lelaki yang cuba untuk keluar daripada kotak maskulin dianggap sebagai lemah dan kedudukannya dalam carta kelelakian berada di tangga terbawah.

    Jika anda tidak boleh menyesuaikan diri di dalam kotak tersebut, anda berisiko untuk dibuli, tidak dihormati atau lebih cenderung untuk melakukan keganasan.

    Oleh sebab itulah, lelaki lebih cenderung untuk menjadi seksis dan wanita kebiasaannya menjadi mangsa dalam keadaan tersebut.

    Kepercayaan berkenaan dengan konsep maskulin menyebabkan lelaki lebih berisiko untuk mengalami masalah mental.

    Ia berikutan mereka kurang gemar atau memilih untuk mendapatkan bantuan psikologi berkenaan dengan masalah yang dialami.

    Lelaki playboy lebih mudah untuk mendapat penyakit mental

    jantina perempuan

    Jika anda pernah menonton sebarang drama yang memaparkan babak lelaki playboy, pasti anda kagum dengan gaya hidup yang dimiliki oleh mereka.

    Hakikatnya, kajian sains menunjukkan mereka berisiko untuk mendapat masalah psikologi.

    Sikap tersebut merupakan salah satu bentuk seksisme dan ketidakadilan sosial terhadap jantina wanita atau perempuan.

    Perlu diingatkan bahawa perkara ini tidak spesifik kepada lelaki semata-mata. Wanita yang ‘playgirl’ juga seksis dan mereka mudah untuk mendapat masalah psikologi seperti lelaki.

    Pada tahun 2017, Universiti Bloomington telah menerbitkan kajian yang melihat kepada sifat maskulin dan kesannya terhadap kesihatan mental.

    Ada 11 norma kelelakian yang telah dikaji. Antaranya adalah:

  • Keperluan untuk menang. 
  • Keperluan untuk mengawal emosi. 
  • Pengambilan risiko. 
  • Keganasan. 
  • Dominan. 
  • Sifat playboy
  • Kebergantungan terhadap diri sendiri. 
  • Tahap pekerjaan. 
  • Rasa lebih hebat daripada wanita. 
  • Penerimaan konsep homoseksualiti.
  • Sifat mementingkan status.
  • Dapatan akan memberi fokus kepada 3 aspek kesihatan iaitu kesihatan mental negatif (kemurungan dan sebagainya), kesihatan mental positif (berpuas hati dengan hidup) dan kecenderungan untuk mendapatkan bantuan profesional.

    Walaupun secara keseluruhannya, mereka yang terlalu berpegang kepada mana-mana norma kelelakian boleh dikaitkan dengan masalah pada kesihatan mental, kajian tersebut menunjukkan ia lebih teruk pada 3 norma berikut:

    1. Kebergantungan terhadap diri sendiri.
    2. Sifat playboy.
    3. Rasa lebih hebat daripada wanita.

    Jika dilihat dalam konteks sosial, kedua-dua sifat playboy dan rasa lebih hebat daripada wanita merupakan atitud yang sering dikaitkan dengan masalah seksisme.

    Apa yang lebih teruk lagi adalah bukan sahaja mereka yang seksis berisiko mendapat masalah mental, mereka juga tidak suka mendapatkan rawatan memandangkan ia bercanggah dengan sifat ‘kelelakian’ mereka.

    Konklusi

    Seksisme bukan sahaja merupakan satu atitud buruk terhadap jantina perempuan atau lelaki yang boleh memberi impak terhadap individu di sekeliling, ia juga boleh mempengaruhi tahap kesihatan mental kendiri.

    Mungkin ada yang berpendapat bahawa atitud lelaki playboy nampak bergaya, namun hakikatnya ia boleh menyebabkan konflik diri dan mempengaruhi kualiti hidup individu tersebut.

    Jika anda mempunyai sebarang simptom berkaitan dengan masalah kesihatan mental, jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan profesional.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan