backup og meta

Epidural Atasi Sakit Bersalin Tapi AWAS Ada Risikonya Buat Bakal Ibu!

Tular satu isu baru-baru ini apabila ada pihak mengatakan bahawa penggunaan jarum epidural semasa bersalin adalah cheat code. Jom ketahui kelebihan dan komplikasi yang boleh dialami jika memilih untuk menggunakan suntikan epidural ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Jarum epidural untuk apa?

Proses kelahiran bayi merupakan antara pengalaman paling menyakitkan yang perlu dilalui oleh ibu hamil. Seiring kemajuan teknologi, kini terdapat banyak pilihan yang boleh membantu mengatasi kesakitan itu. Salah satunya dengan penggunaan suntikan epidural.

Dianggarkan lebih 70-75 peratus wanita yang melahirkan anak memilih menggunakan epidural untuk melegakan kesakitan semasa bersalin.

Tetapi jarum epidural untuk apa sebenarnya ya?

Umumnya, epidural adalah prosedur melibatkan suntikan ubat – sama ada anestetik atau steroid – ke dalam ruang sekeliling saraf tulang belakang yang dikenali sebagai ruang epidural (epidural space).

Suntikan epidural untuk bersalin normal ini bermatlamat untuk memberikan kelegaan daripada kesakitan atau kebas sepenuhnya pada satu bahagian badan, seperti kaki atau perut.

Proses suntikan jarum epidural

Epidural biasanya dilakukan di dalam bilik bersalin. Ia bukanlah satu proses yang menyakitkan. Namun anda mungkin akan berasa tidak selesa kerana kulit terasa kebas sebelum blok epidural dimasukkan.

jarum epidural
Proses suntikan epidural memakan masa 15-20 minit sebelum bius mula berkesan.

Memulakan prosedur ini, jarum bius epidural digunakan untuk memasukkan tiub plastik halus – disebut kateter epidural – ke tulang belakang anda, berhampiran saraf. Ia akan membolehkan aliran ubat secara perlahan-lahan masuk ke bahagian bawah badan.

Suntikan anestetik epidural akan menghentikan penghantaran isyarat sakit daripada bergerak dari tulang belakang ke otak anda. Tetapi bagaimana caranya?

Saraf tunjang berfungsi menghubungkan saraf di seluruh badan ke otak. Jadi apabila anda berasa sakit semasa melahirkan bayi, anestetik epidural akan menghalang isyarat sakit tersebut daripada sampai ke otak.

Jumlah kesakitan yang tidak akan dirasai adalah bergantung kepada faktor ini:

  • Jenis ubat anestetik yang digunakan
  • Kepekatan ubat bius
  • Dos ubat bius digunakan

Selain banyak diaplikasikan semasa bersalin, jarum bius epidural juga menjadi pilihan digunakan untuk pembedahan tertentu dan punca khusus sakit belakang kronik.

[embed-health-tool-due-date]

Tempoh kesan cucuk epidural bertindak balas

Biasanya, tindak balas epidural ini akan mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum ubat mula memberi kesan – bergantung pada jenis anestetik yang digunakan.

Perkara penting yang perlu bakal ibu fahami adalah kesan cucuk epidural ini akan bertahan selama anda berada di dalam bilik bersalin. Ini bermakna, ubat akan dimasukkan secara berterusan sehingga tiba waktu melahirkan anak.

jarum epidural
Suntikan epidural untuk bersalin normal akan diberikan tanpa henti sepanjang di bilik bersalin.

Kelebihan memilih jarum epidural

Antara kelebihan memilih untuk menggunakan suntikan epidural semasa bersalin termasuklah:

  • Kesan cucuk epidural ini dapat mengurangkan kesakitan yang dirasai semasa bersalin
  • Selamat untuk digunakan
  • Boleh mendapatkan epidural pada bila-bila masa semasa bersalin
  • Anda masih boleh bergerak di atas katil dan meneran apabila perlu
  • Jika berdepan situasi tempoh bersalin yang lama, epidural membantu anda tidur dan memulihkan tenaga
  • Sekiranya perlu menjalani kelahiran caesarean, anda boleh berjaga semasa proses tersebut. Malah pasangan anda juga boleh menemani
  • Epidural juga membantu menurunkan tahap hormon tekanan. Ini membantu menurunkan kadar tekanan darah dan kadar denyutan jantung – biasanya akan meningkat kerana kesakitan semasa bersalin

Satu lagi kebaikan mendapatkan suntikan jarum bius epidural adalah bahagian bawah badan anda telah sedia kebas. Jadi ia amat membantu jika doktor perlu melakukan pembedahan kecemasan C-Sec tanpa menunggu ubat bertindak balas.

Pembedahan kecemasan C-Sec akan dilakukan jika bayi kekurangan oksigen. Keadaan tersebut boleh mengakibatkan kerosakan otak, cerebral palsy atau kecederaan kelahiran yang lain.

jarum epidural
Salah faham tentang penggunaan suntikan epidural.

Risiko jika memilih jarum epidural?

Epidural biasanya selamat, tetapi terdapat risiko kesan sampingan dan komplikasi tertentu. Antara kesan cucuk epidural seperti:

Selain itu, kesan lain yang boleh terjadi termasuklah:

  • Tekanan darah rendah, yang boleh membuatkan anda berasa pening
  • Sakit kepala yang teruk disebabkan kebocoran cecair tulang belakang 
  • Jangkitan daripada prosedur epidural, seperti abses epidural, osteomyelitis atau meningitis 
  • Tindak balas negatif terhadap ubat-ubatan seperti ruam atau panas badan (hot flashes)
  • Pendarahan jika saluran darah rosak secara tidak sengaja semasa suntikan epidural. Ia boleh mengakibatkan hematoma atau pembentukan darah beku
  • Kerosakan saraf pada tapak suntikan, antara risiko kesan epidural jangka masa panjang
  • Hilang kawalan sementara pada pundi kencing dan usus. Anda mungkin memerlukan kateter (tiub kecil) dalam pundi kencing untuk membantu membuang air kecil

Pilihan di tangan anda

Walaupun lebih daripada 70 peratus wanita memilih menggunakan jarum epidural, namun tidak bermakna ia pilihan yang tepat untuk semua individu.  Seperti prosedur perubatan lain, terdapat kebaikan dan risiko yang perlu bakal ibu pertimbangkan dan ia bukan satu cheat code. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Epidurals.https://madeforthismoment.asahq.org/pain-management/epidural/.  Diakses pada April 29, 2025.
  2. Epidural. https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/21896-epidural. Diakses pada April 29, 2025.
  3. Epidurals During Childbirth: What Women Should Know. https://www.yalemedicine.org/news/epidural-anesthesia. Diakses pada April 29, 2025.
  4. Avila Hernandez AN, Hendrix JM. Epidural Anesthesia. [Updated 2025 Mar 27]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK542219/. Diakses pada April 29, 2025.
  5. Epidural. https://www.nhs.uk/conditions/epidural/. Diakses pada April 29, 2025.
  6. Epidural pain relief in labour. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/epidural. Diakses pada April 29, 2025.

Versi Terbaru

30/04/2025

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Ibu Bersalin Normal, Ikut 7 Tip Ini Supaya Luka Jahitan Bersalin Tak Terbuka!

Berdebar Nak Masuk Bilik Bersalin? Ibu Kena 'Prepare' Hadapi Kontraksi Sebelum, Semasa & Lepas Bersalin!


Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor · · · Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Dikemas kini 30/04/2025

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan