backup og meta

Bahaya Buat Penghidap Asma, CEGAH Jangkitan COVID-19 Dengan 22 Langkah Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/06/2020

    Bahaya Buat Penghidap Asma, CEGAH Jangkitan COVID-19 Dengan 22 Langkah Ini

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Angka mereka yang dijangkiti oleh virus korona baharu (COVID-19) sudah hampir mencecah 2 juta.

    Ini merupakan satu saat yang kritikal. Betapa signifikannya kesan wabak pandemik terhadap kehidupan manusia di seluruh dunia.

    Di Malaysia, statistik kes positif adalah seperti berikut:

    [covid_19]

    Pelbagai faktor telah diperbincangkan bagi mengetahui kaitannya dengan jangkitan wabak.

    Antaranya adalah penyakit asma. Jika virus ini menjangkiti saluran pernafasan, maka kesannya pasti lebih teruk pada mereka yang mempunyai masalah pernafasan kronik, kan?

    Teruskan pembacaan anda.

    Adakah masalah asma boleh tingkatkan risiko jangkitan COVID-19 teruk?

    asma

    Setakat ini, kajian saintifik tidak menunjukkan peningkatan risiko golongan pesakit asma untuk mendapat jangkitan COVID-19 teruk.

    Namun, apa yang perlu difahami, maklumat yang diperoleh tidak cukup untuk membuatkan anda menarik nafas lega.

    Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), individu yang mengalami penyakit pernafasan kronik seperti asma dan penyakit obstruktif paru-paru kronik (COPD) disenaraikan sebagai mereka yang berisiko tinggi.

    Asma merupakan masalah kronik yang tercetus apabila berlakunya keradangan, kekejangan pada saluran pernafasan dan penghasilan cecair mukus pada kuantiti yang banyak.

    Perkara ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Salah satu daripadanya adalah jangkitan virus.

    Virus korona selain COVID-19 yang boleh menyebabkan masalah selesema biasa mempunyai keupayaan untuk menyebabkan masalah asma.

    Baca juga:

    Adakah Saya Dijangkiti COVID-19? Kenali Simptom Awal Jika Terkena Virus Korona

    Oleh sebab COVID-19 berasal dari keluarga yang sama, kebanyakan saintis berpendapat, ia boleh menyebabkan masalah yang sama.

    Komplikasi yang paling digeruni dalam jangkitan wabak pandemik tersebut berkait rapat dengan masalah pernafasan akut. 

    Jika perkara ini berlaku, pesakit akan mengalami masalah sukar bernafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan untuk terus hidup.

    Inilah punca kepada kematian bagi kebanyakan kes di seluruh dunia.

    Walaupun masih tiada bukti yang jelas menunjukkan kecenderungan pesakit asma untuk mendapat komplikasi pernafasan akut, tapi ia tidak bermakna risiko sama dengan populasi umum.

    Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan ia tidak mendorong kepada situasi yang mengancam nyawa.

    Adakah saya perlu menghentikan penggunaan steroid jika ada masalah asma untuk elak COVID-19?

    asma

    Ramai yang beranggapan, penggunaan steroid akan tingkatkan risiko untuk pesakit asma mendapat jangkitan COVID-19.

    Alasan yang sering diguna pakai adalah steroid boleh melemahkan daya tahan tubuh badan. 

    Ini bukanlah sesuatu yang akan diungkapkan oleh pakar, malah mereka akan menggalakkan anda mematuhi protokol penggunaan steroid bagi mengawal simptom asma.

    Pelbagai jenis kajian telah membuktikan asma dapat dikawal dengan penggunaan steroid secara berkala.

    Oleh sebab itulah apabila anda didiagnosis, doktor akan memberikan dua jenis penyedut; satu untuk digunakan semasa serangan asma, satu lagi untuk dipakai setiap hari (steroid).

    Apabila anda berhenti menggunakan ubat steroid, yang turut dikenali sebagai ubat kawalan asma, anda berisiko untuk mendapat serangan asma teruk jika dijangkiti COVID-19.

    Terdapat kajian yang menunjukkan risiko pengguna ubat steroid untuk mendapat jangkitan COVID-19 tinggi.

    Kajian tersebut diterbitkan di laman jurnal metabolisme dan endokrinologi klinikal.

    Namun apa yang perlu difahami adalah kesan penurunan daya imun bagi ubat steroid tidak akan berlaku pada dos rendah.

    Kebanyakan steroid yang digunapakai untuk merawat penyakit asma bertujuan untuk mengawal keradangan pada saluran pernafasan.

    Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Profesor Jabatan Pediatrik dan pengkaji di Universiti Ohio, Dr Mitchell Grayson.

    Menurutnya, penting bagi pesakit asma untuk memastikan penyakit mereka berada dalam keadaan terkawal.

    Perkara tersebut hanya boleh dicapai dengan penggunaan ubat steroid yang dipreskripsikan.

    Bagi pesakit asma, rawatan steroid tidak meningkatkan risiko jangkitan. Hanya mereka yang menggunakan ubat steroid berdos tinggi, seperti pesakit autoimun yang lebih berisiko.

    Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengawal masalah asma

    covid

    Berikut merupakan cara untuk anda bersiap sedia menghadapi wabak pandemik COVID-19:

    1. Pastikan anda mempunyai stok bekalan ubat yang mencukupi.
    2. Elakkan daripada pergi ke tempat awam dan jauhi individu yang mempunyai simptom.
    3. Amalkan jarak sosial.
    4. Kerap cuci tangan menggunakan air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat.
    5. Elakkan daripada membuat perjalanan ke luar negara. 
    6. Duduk di rumah dan jangan keluar kecuali kecemasan.
    7. Jika ahli keluarga sakit, jauhkan diri anda bagi mengelakkan jangkitan. 
    8. Pakai topeng muka jika anda perlu menjaga individu sakit.
    9. Elakkan berkongsi peralatan peribadi di rumah.

    Artikel berkaitan:

    covid

    Anda juga perlu mematuhi pelan tindakan asma yang disarankan oleh doktor:

    1. Gunakan ubat yang dipreskripsikan kepada anda (termasuk steroid) mengikut cara penggunaannya yang betul.
    2. Jangan berhenti mengambil ubat jika tidak disarankan oleh doktor anda.
    3. Jika anda bimbang, ajukan soalan kepada doktor anda.
    4. Bincang dengan ahli farmasi atau doktor berkenaan dengan bekalan ubat tambahan sepanjang wabak pandemik sedang berlangsung.
    5. Pastikan anda tahu menggunakan inhaler dengan betul.
    6. Elakkan daripada faktor pencetus asma seperti habuk, sejuk, haiwan peliharaan dan sebagainya.
    7. Jika anda berasa tertekan, hubungi talian khidmat kaunseling psikologi. Tekanan emosi boleh mencetuskan serangan asma.

    Jika anda tiada asma, lakukan kerja pembersihan persekitaran rumah seperti berikut:

    1. Pastikan tiada pesakit asma sewaktu proses pembersihan sedang dijalankan.
    2. Jangan guna bahan nyahkuman yang boleh mencetuskan serangan asma.
    3. Buka tingkap dan pintu rumah untuk menggalakkan pengaliran udara.
    4. Bersihkan permukaan seperti tombol pintu, kaunter dapur, telefon dan sebagainya.
    5. Semak bahan yang digunakan pada bahan nyahkuman sebelum menggunakannya.
    6. Jangan sembur bahan tersebut secara terus ke permukaan lantai. Semburkan pada kain dan lapkan pada permukaan.

    Konklusi

    Jika anda mempunyai penyakit asma, jangan takut untuk mengambil ubat steroid. Ia boleh meminimumkan risiko anda mendapat serangan asma.

    Pelan tindakan asma dan langkah pencegahan lain perlu dititikberatkan untuk elak jangkitan virus korona baharu.

    Jika anda berasa ragu-ragu, tanya kepada doktor untuk maklumat lanjut.

    [mc4wp_form id=’115319″]

    #HelloHealthGroup #HelloDoktor #HelloHealthCoronaVirus

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan