Sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Perubatan Psikologi dan Jabatan Biokimia, Yong Loo Lin School of Medicine, National University of Singapore (NUS) menyatakan kesan kebaikan tersebut sekiranya warga emas memakan cendawan lebih daripada dua bahagian dalam seminggu. Satu bahagian hidangan cendawan bersamaan dengan tiga suku cawan cendawan yang telah dimasak dengan purata berat sebanyak 150 gram. Bagi dua bahagian hidangan cendawan yang telah dimasak, ianya bersamaan sekitar hampir setengah pinggan.
Kajian tersebut telah dijalankan selama enam tahun, bermula daripada tahun 2011 sehingga tahun 2017. Data kajian telah dikumpul daripada 600 orang warga emas berbangsa Cina yang berumur melebihi 60 tahun yang menetap di Singapura. Kajian terbabit disokong oleh Life Sciences Institute dan Mind Science Centre yang juga sebahagian daripada National University of Singapore selain sokongan daripada Singapore Ministry of Health’s National Medical Research Council. Kajian tersebut baru sahaja diterbitkan pada 12 Mac 2019 dalam Journal of Alzheimer’s Disease.
Terdapat enam jenis cendawan yang menjadi kebiasaan dalam pemakanan masyarakat Singapura, digunakan dalam kajian ini. Cendawan terbabit adalah cendawan emas, cendawan tiram, cendawan shiitake, cendawan butang putih, cendawan kering dan cendawan yang ditinkan. Walaubagaimanapun, pengkaji turut menyatakan bahawa cendawan lain yang tidak dijadikan bahan kajian turut mempunyai kesan yang bermanfaat. Para pengkaji percaya bahawa, faktor yang mengurangkan kekerapan gangguan kognitif ringan ini adalah disebabkan oleh satu komposisi khusus yang dijumpai dalam kesemua jenis cendawan; ergothioneine (ET). Menurut Dr. Irwin Cheah, Felo Kajian Senior di Jabatan Biokimia, NUS, ET adalah bahan antioksida dan anti keradangan yang tidak mampu dihasilkan sendiri oleh manusia, tetapi boleh diperoleh melalui sumber pemakanan termasuklah daripada sumber cendawan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen