backup og meta

Bukan Hepatitis Saja, Ini 4 Jenis Penyakit Berkaitan Organ Hati Yang Biasa Berlaku!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/12/2021

    Bukan Hepatitis Saja, Ini 4 Jenis Penyakit Berkaitan Organ Hati Yang Biasa Berlaku!

    Setiap kali berbicara mengenai penyakit organ hati, ramai individu yang cenderung mengaitkannya dengan hepatitis sahaja kerana ia merupakan kondisi paling umum.

    Pun begitu, sebenarnya masih wujud beberapa lagi jenis penyakit berkaitan organ ini yang wajar diketahui oleh kita semua dan ada yang mungkin boleh bawa maut.

    Apakah jenis-jenis penyakit organ hati yang wujud? Jom teruskan membaca artikel ini!

    Apa itu penyakit organ hati?

    Secara umumnya, penyakit organ hati adalah gangguan pada fisiologi, fungsi serta sistem hati – organ yang berada di bahagian bawah tulang rusuk sebelah kanan.

    Organ ini berperanan penting dalam proses pencernaan, penghadaman, penyimpanan tenaga serta penyingkiran zat beracun yang berbahaya dalam tubuh badan.

    Jika terdapat sebarang gangguan, maka proses-proses yang dinyatakan di atas tadi tidak akan dapat dijalankan dengan baik sekali gus menjejaskan tubuh badan.

    Akibatnya, organ tersebut boleh mengalami kegagalan, kerosakan dan mungkin lebih teruk lagi, berisiko untuk mengancam nyawa lantas membawa maut!

    penyakit organ hati

    Berapa jenis penyakit organ hati?

    Untuk pengetahuan anda, jenis penyakit organ hati ini boleh dikategorikan kepada 4 iaitu:

    #1. Penyakit akibat infeksi

    Salah satu sebab yang menjadi penyebab penyakit hati paling utama adalah infeksi akibat virus atau parasit yang boleh menyerang organ ini lantas membawa masalah.

    Infeksi daripada patogen yang membawa kepada keradangan ini boleh tersebar melalui darah, najis, makanan, minuman atau air yang telah dijangkiti sebelumnya.

    Selain itu, kegagalan dan kerosakan organ hati akibat jangkitan juga boleh tersebar jika berlaku kontak rapat di antara orang yang telah dijangkiti dengan orang lain.

    Antara infeksi paling umum menjadi penyebab penyakit hati adalah virus hepatitis yang merangkumi:

  • Hepatitis A
  • Hepatitis B
  • Hepatitis C
  • Hepatitis D
  • Hepatitis E
  • #2. Penyakit akibat genetik

    Sekiranya anda memiliki gen abnormal daripada sebelah ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, maka risiko anda terkena penyakit hati juga adalah lebih tinggi.

    Ini kerana gen-gen yang abnormal tadi dapat diturunkan kepada keturunannya lantas menyebabkan pelbagai zat tertumpu pada hati, sekali gus menjejaskan organ ini.

    Berikut adalah beberapa contoh jenis penyakit organ ini yang boleh berlaku akibat genetik:

    • Hemokromatosis
    • Hiperoksaluria
    • Oksalosis
    • Penyakit Wilson

    #3. Penyakit akibat sistem imun

    Sistem imunisasi tubuh badan manusia adalah sangat berkait rapat dengan tahap prestasi organ-organ di sekitarnya dan ini termasuklah juga organ hati.

    Jika terdapat sebarang gangguan terhadap sistem imun, maka akan berlaku masalah berkaitan organ hati yang seterusnya membawa kepada penyakit.

    Berikut adalah beberapa contoh jenis penyakit organ ini yang boleh berlaku akibat sistem imun:

    • Hepatitis autoimun
    • Primary biliary cirrhosis
    • Primary sclerosing cholangitis
    • Kanser hati

    penyakit organ hati

    #4. Penyakit akibat gaya hidup

    Antara yang paling berbahaya dan tidak disangka oleh individu, gaya hidup juga sebenarnya mampu membawa kepada masalah berkaitan organ hati.

    Disebabkan gaya hidup yang tidak sihat, anda berisiko mendapat penyakit seperti sirosis hati atau penyakit hati berlemak yang berbahaya jika tidak segera dirawat.

    Buat anda yang terfikir dan tertanya, ini adalah antara gaya hidup yang boleh menyebabkan masalah hati:

    Bagaimana untuk tahu anda ada penyakit hati?

    penyakit organ hati

    Bagi mengesan penyakit organ ini agar ia dapat dirawat dengan lebih awal, anda mungkin boleh melihat kepada simptom-simptom umum pada tubuh badan.

    Kesemua jenis penyakit ini mungkin akan membawa simptom yang hampir sama seperti jaundis, pembengkakan pada badan, perubahan warna najis dan lain-lain.

    Pun begitu, ketahuilah bahawa kadangkala ia juga mungkin tidak akan menunjukkan sebarang simptom. Maka, segera berjumpa dengan doktor untuk diagnosis.

    Sila rawat sebelum terlambat!

    Penyakit organ hati ini mempunyai tahap tertentu yang perlu diketahui oleh penderita bagi mengelak ia menjadi lebih teruk.

    Tahap pertama anda menghidap penyakit organ ini adalah akan berlaku keradangan pada hati dan berita baiknya, anda masih boleh merawat kondisi ini.

    Tahap kedua pula adalah akan berlaku fibrosis di mana tumbuh jaringan parut yang berfungsi untuk menyembuhkan keradangan pada tahap pertama.

    Tahap ketiga pula adalah akan berlaku sirosis di mana jaringan parut tersebut akan mengeras lantas menyebabkan kegagalan dan kerosakan organ hati.

    Tahap terakhir adalah End-Stage Liver Disease (ESLD). Pada ketika ini, tiada lagi rawatan yang boleh dibuat melainkan pembedahan pemindahan organ.

    Jadi, lebih baik jika masalah hati ini dapat dikesan awal bagi mempercepatkan rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan