backup og meta

Alkohol: Punca Lebih 3 Juta Kematian Setiap Tahun

Alkohol: Punca Lebih 3 Juta Kematian Setiap Tahun

Dalam bahasa Arab, alkohol dikenali dengan nama ‘khamar’ yang membawa maksud sejenis minuman yang memabukkan dan mengkhayalkan. Tahukah anda bahawa minuman keras ini adalah minuman yang boleh membahayakan kesihatan fizikal dan mental anda?

Sesetengah agama, seperti Islam dan sesetengah mazhab Kristian, mengharamkan pengambilan alkohol ini. Di kebanyakan negara, penjualannya diharamkan oleh kerajaan kerana ia amat berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak.

Selain merosakkan kesihatan fizikal dan mental, alkohol juga malangnya boleh menyebabkan kematian. Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu alkohol?

Alkohol sinonim dengan minuman keras atau arak selalunya diminum ketika bersosial atau digunakan untuk meningkatkan ‘mood’. Sama seperti perbuatan merokok, minum alkohol juga boleh mengakibatkan ketagihan jika selalu diminum. 

Ia menjadi minuman yang hadir ketika pesta atau perayaan tertentu dalam masyarakat terutama di negara-negara barat atau negara yang membenarkan penggunaan minuman keras. Bukan itu sahaja, ia juga minuman yang sering diminum untuk memberikan rasa hangat dalam tubuh serta menghilangkan stress atau kepenatan kerana ia adalah minuman yang akan membuatkan anda ‘rileks’ sebentar daripada dunia nyata.

Untuk lebih mengenali minuman keras yang berbahaya ini, ketahui jenis-jenisnya.

Should You Avoid Alcohol If You Have Hepatitis

Jenis-jenis alkohol

Bagi yang tidak pernah mengenalinya langsung seumur hidup anda, pasti anda akan menamakan minuman yang memabukkan dan mengkhayalkan ini sebagai arak. Sebenarnya, minuman keras sebenarnya mempunyai beberapa jenis. Berikut merupakan jenis-jenisnya:

  • Alcocops

Alcocops adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada campuran air, alkohol dengan minuman ringan seperti jus buah-buahan. Kebanyakan individu tidak menganggapnya sebagai minuman keras murni kerana ia hanya mengandungi kira-kira 4 hingga 5 peratus kandungan alkohol di dalamnya.

  • Bir

Bir adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada 4 bahan yang utama iaitu barli, hop, yis dan air. Gula yang diekstrak daripada barli akan ditukarkan menjadi alkohol oleh yis. Pelbagai lagi bijirin lain seperti jagung, beras, rye dan gandum juga boleh digunakan dalam membuat bir. Kadar alkohol yang terdapat di dalamnya adalah sekitar 4 hingga 6 peratus.

  • Brandi

Brandi adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada apa-apa sahaja jenis buah untuk mencapai tahap keasidannya. Akan tetapi, ia secara tradisionalnya diperbuat daripada anggur. Ia mengandungi 35 hingga 60 peratus alkohol. Sama seperti wiski, brandi ini juga ditapaikan di dalam tong kayu atau melalui pewarnaan karamel.

  • Cider

Cider adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada buah epal yang telah ditapaikan. Ia terlebih dahulu dihancurkan dan kemudiannya diambil jus atau sarinya untuk ditapaikan bersama ragi dan kadar alkohol yang dihasilkan juga cukup tinggi iaitu sekitar 13 peratus.

  • Cognac

Cognac adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada anggur jenis Ugni Blanc. Ia mesti disuling sebanyak 2 kali di dalam bekas tembaga dan ditapaikan selama sekurang-kurang 2 tahun di dalam tong kayu.

  • Gin

Gin adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada juniper, ketumbar, kulit jeruk, kayu manis, kacang badam yang dicampurkan dengan bijirin alkohol neutral. Kesemua perasa di dalam minuman ini juga adalah semula jadi.

  • Rum

Rum adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada pelbagai produk tebu. Kebiasaannya, ia akan menggunakan jus tebu yang telah disuling dan ditapaikan di dalam tong kayu. Ia kebiasaannya dipasarkan di dalam botol di negara-negara Eropah dan Amerika serta mengandungi kadar alkohol sehingga 37.5 peratus.

  • Tequila

Tequila adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada tanaman blue agave atau agave tequilana yang telah ditapaikan. Warnanya adalah bervariasi dari warna putih sehingga warna coklat dan mempunyai banyak variasi seperti Bianco, Juven dan Reposado. Kadar alkohol di dalam minuman yang telah wujud sejak abad ke-16 pula adalah sekitar 35 peratus.

  • Vermouth

Vermouth adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada akar kayu, kulit kayu, bunga, biji benih, herba dan rempah yang dicampurkan dengan brandi. Ia terdapat dua jenis iaitu jenis manis dan jenis kering. Minuman ini adalah popular sebagai bahan di dalam Martini.

  • Vodka

Vodka adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada ubi kentang atau bijirin-bijirin hancur yang telah ditapai. Sesetengah jenama pula menggunakan buah-buahan atau gula sebagai bahan utama pembuatannya. Ia merupakan antara minuman arak yang paling popular selari dengan minuman koktel seperti Bloody Mary, Cosmopolitan dan Martini.

  • Wain

Wain adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada pelbagai jenis anggur termasuklah Tinta Barroca, Tinta Cão, Tinta Roriz, Touriga Francesa dan Touriga Nacional dan berasal daripada Portugal. Apa yang istimewa mengenai minuman ini adalah rasanya yang agak manis. Kadar alkohol yang terdapat dalam wain adalah sekitar 8 hingga 14 peratus.

  • Wiski

Wiski adalah sejenis minuman keras yang diperbuat daripada bijirin-bijirin hancur yang telah ditapai seperti barli, jagung, rye dan gandum. Rasanya yang tersendiri mampu dicapai selepas bahan-bahan ini ditapai. Proses ini akan dihentikan selepas ia dibotolkan daripada tong. Kandungan alkohol dalam minuman keras adalah cukup tinggi yakni sekitar 40 peratus.

Sebenarnya terdapat lagi beberapa jenis alkohol yang terdapat dalam dunia ini. Ia juga sebenarnya termasuklah minuman di pasaran  yang kononnya mempunyai 0 peratus alkohol dan sijil halal yang dipamerkan pada labelnya. Sebaiknya, kita sebagai individu yang beragama Islam atau yang menganut agama yang tidak membenarkan pengambilan alkohol, lebih berhati-hati dengan minuman seperti ini kerana kita tidak tahu kesahihannya.

alcohol-mental-health

Lebih 3 juta kematian berpunca daripada alkohol

Tahukah anda bahawa lebih 3 juta kematian di dunia adalah disebabkan oleh penyalahgunaan minuman keras ini?

Lebih 3 juta kematian berpunca daripada penggunaan alkohol pada tahun 2016 menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Angka ini bersamaan 1 daripada 20 kematian dan lebih 3/4 daripada jumlah tersebut ialah lelaki. Secara keseluruhannya, penyalahgunaan minuman keras ini menyumbang kepada 5 peratus beban penyakit di peringkat global.

Laporan Status Global Mengenai Alkohol dan Kesihatan 2018 oleh WHO memberikan gambaran komprehensif tentang pengambilan minuman keras ini dan beban penyakit disebabkan olehnya di peringkat dunia. Ia turut memuatkan langkah yang dilakukan oleh pelbagai negara untuk menanganinya.

“Terlalu ramai individu, keluarga, dan masyarakat merana disebabkan kesan daripada penyalahgunaan minuman keras ini melalui keganasan, kecederaan, masalah kesihatan mental, serta penyakit seperti kanser dan strok,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom. Beliau menambah lagi, “Sudah tiba masanya untuk mengambil langkah bagi mencegah ancaman serius ini demi pembangunan masyarakat yang sihat.”

Punca kematian disebabkan penyalahgunaan alkohol

Implikasi penyalahgunaan minuman keras ini dirasai oleh setiap individu, keluarga dan masyarakat melalui keganasan, kemalangan, masalah kesihatan mental dan penyakit seperti kanser dan strok. Daripada semua kematian yang dikaitkan dengan minuman keras, peratusan punca kematian adalah seperti berikut:

  • 28 peratus akibat kecederaan, seperti kemalangan lalu lintas, mencederakan diri sediri dan keganasan rumah tangga
  • 21 peratus disebabkan gangguan pencernaan
  • 19 peratus disebabkan oleh penyakit jantung dan saluran darah

Selebihnya lagi pula adalah disebabkan oleh penyakit berjangkit, kanser, gangguan mental dan keadaan kesihatan yang lain.

Meskipun terdapat perubahan baik dalam trend global pengambilan minuman keras berlebihan dan jumlah kematian yang berkaitan sejak 2010, jumlah keseluruhan penyakit dan kecederaan disebabkan pengambilan minuman keras ini masih sangat tinggi di benua Amerika dan Eropah.

Sekurang-kurangnya 237 juta lelaki dan 46 juta wanita di seluruh dunia mengalami gangguan penggunaan minuman keras ini dengan kadar tertinggi dalam kalangan lelaki dan wanita di benua Amerika (11.5% dan 5.1%) dan Eropah (14.8% dan 3.5%). Masalah ini didapati lebih biasa berlaku di negara berpendapatan tinggi.

Ia dijangka akan bertambah buruk dalam tempoh 10 tahun mendatang

Pada masa ini, dianggarkan sebanyak 2.3 bilion manusia mengambil minuman keras ini. Lebih separuh daripadanya melibatkan populasi di 3 rantau WHO – Amerika, Eropah, dan Pasifik Barat. Eropah mencatatkan angka per kapita tertinggi di dunia walaupun angka tersebut sudah menurun lebih 10% sejak 2010. Pola semasa menunjukkan angka tersebut akan meningkat dalam 10 tahun mendatang terutamanya di Asia Tenggara, Pasifik Barat, dan Amerika.

Semua negara perlu mengambil langkah wajar

“Banyak langkah yang boleh diambil oleh semua negara untuk mengurangkan kos sosial dan kesihatan yang terkait dengan penyalahgunaan alkohol. Antara langkah yang terbukti berkesan serta kos efektif adalah menaikkan cukai minuman, mengharamkan atau mengehadkan iklan dan membataskan kewujudan fizikal minuman keras itu sendiri,” kata Dr Vladimir Poznyak, Penyelaras Unit Pengurusan Penyalahgunaan Bahan WHO.

Hampir semua (95%) negara mengenakan cukai ke atas minuman keras ini tetapi hanya kurang separuh daripadanya menggunakan strategi kawalan harga yang lain seperti mengharamkan penjualan bawah harga pasaran atau potongan harga mengikut isipadu air. Majoriti negara menyekat pengiklanan produk arak di televisyen dan radio tetapi tidak banyak yang melakukan hal yang sama di internet dan media sosial.

Pengambilan alkohol di Malaysia dan negara serantau

Menurut kajian pada tahun 2017, didapati bahawa pengambilan minuman keras per kapita di Malaysia dikatakan antara yang terendah di Asia, pada kadar 1.7 liter per kapita setahun, tidak jauh berbeza daripada Singapura (2.9) dan Indonesia (0.6). Pun begitu, trend dan ramalan semasa menunjukkan peningkatan dalam penggunaan alkohol per kapita global dalam tempoh 10 tahun akan datang, terutamanya dalam Kawasan Asia Tenggara dan Pasifik Barat serta Wilayah Amerika. Tanpa pendidikan dan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan minuman keras ini, peningkatan ini juga bakal menyaksikan peningkatan kesan penyalahgunaan yang tidak diingini.

Pendek kata, langkah yang lebih kreatif dan efektif perlu diambil bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa serta memberikan masa depan yang lebih cerah dan sihat kepada generasi akan datang.

alcohol during pregnancy

Bahaya alkohol terhadap wanita hamil & kandungannya

Ya, minuman keras ini sememangnya adalah minuman keras yang berbahaya buat semua individu tanpa mengira jantina, usia dan lain-lain aspek. Namun begitu, ia perlu ditekankan sedikit kepada golongan wanita hamil. Ini kerana minuman keras akan lebih mendatangkan kemudaratan kepada dirinya dan kandungannya jika mereka mengambil atau terambilnya secara tidak sengaja.

Kumpulan penyelidik antarabangsa telah mengambil salah satu langkah yang besar dalam mencari perubahan biologi pada otak yang memacu gangguan spektrum alkohol janin atau fetal alcohol spectrum disorder (FASD). Kajian terbaharu yang menggunakan ‘chaos theory’ untuk menganalisis isyarat otak yang diterbitkan dalam jurnal Chaos, telah menunjukkan satu kesan jangka panjang.

Para penyelidik mendapati bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada minuman keras ini semasa berada di dalam rahim, menunjukkan sambungan otak yang diubah, yang konsisten dengan prestasi kognitif terjejas. Penemuan mereka diperoleh dengan mengukur respons dari teknik pengimejan otak yang dipanggil sebagai magnetoencephalography (MEG) dan kemudian menganalisisnya dengan alat yang dibangunkan dengan menggunakan chaos theory.

Alkohol dan FASD

FASD adalah salah satu punca utama kecacatan intelektual di seluruh dunia dan dikaitkan dengan pelbagai isu neurologi, termasuklah attention deficit hyperactivity disorder atau ADHD. Walaupun teori yang berlaku mengaitkan penggunaan minuman keras ini oleh ibu mengandung dengan masalah kognitif untuk kanak-kanak, persoalannya adalah mengenai sejauh mana kesan ini kekal. Walaupun terdapat perkaitan yang diketahui, para penyelidik tidak pasti mengenai mekanisma tepat yang dikesankan oleh alkohol dalam mengubah otak yang sedang berkembang.

Usaha kumpulan penyelidikan ini menunjukkan mereka sebagai salah satu daripada penyelidik kali pertama yang dapat mengukur kesan pendedahan minuman keras ini pada otak yang sedang berkembang.

Menurut Julia Stephen yang merupakan penulis kajian tersebut, kertas kajian ini memberikan hasil integratif yang penting untuk bidang FASD. Menurut beliau lagi, hasil kajian ini kemudiannya dapat menunjukkan bahawa pengukuran deria yang mudah dapat memberikan sensitiviti untuk defisit otak yang mempengaruhi domain kognitif yang lebih luas.

Percubaan sebelumnya untuk mengkaji litar otak dalam individu yang terjejas, telah terhalang oleh kesukaran untuk membuat kesimpulan dari data MEG yang rumit.

Untuk mengatasi masalah ini, ahli pasukan membangunkan teknik komputer yang canggih yang dikenali sebagai Cortical Start Spatio-Temporal multidipole analysis yang dapat mengenal pasti bahagian-bahagian otak yang aktif ketika subjek penyelidikan berada di mesin MEG.

Kaedah kajian kesan alkohol terhadap otak kanak-kanak

Selepas data dari 19 orang pesakit FASD dan 21 subjek tanpa FASD dikumpulkan, pendekatan pengiraan mendedahkan beberapa kawasan otak yang menunjukkan sambungan terjejas dalam kalangan kumpulan pesakit yang mempunyai FASD.

Subjek yang terdedah kepada alkohol semasa berada dalam rahim lebih cenderung untuk mempunyai masalah dengan sambungan melalui korpus callosum mereka; iaitu kumpulan tisu otak yang menghubungkan bahagian kiri dan kanan otak. Defisit di kawasan ini telah dilaporkan dalam kalangan individu-individu yang mengalami schizophrenia, multiple sclerosis, autisme, kemurungan dan keabnormalan dalam sensasi.

Salah seorang penulis kajian, Lin Gao, menyatakan, kajian ini menunjukkan bukti utama bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada alkohol pranatal berisiko menderita kebolehan kognitif yang terjejas dan faktor sekunder yang lain. Kajian mereka menunjukkan bahawa tidak terdapat jumlah yang selamat atau tahap selamat semasa kehamilan untuk penggunaan minuman keras ini.

Penulis-penulis kajian berharap kajian mereka memberi inspirasi kepada kumpulan lain untuk melakukan penyelidikan kerjasama yang sama berkenaan penyakit seperti FASD yang mendapat manfaat secara bersama daripada bidang perubatan dan komputasi.

Konklusi

Konklusinya, minuman keras ini sememangnya minuman yang membinasakan. Selain memberikan kesan kepada fizikal dan mental manusia, ia juga boleh mendatangkan maut. Lihat sahaja statistiknya, seramai lebih 3 juta kematian adalah disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol. Jadi, adakah anda masih mahu meneruskan tabiat minum minuman yang membinasakan ini semata-mata hanya ingin menjalani kehidupan yang kononnya kelihatan moden?

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda memahami lebih dalam mengenai minuman keras ini dan pelbagai kemudaratan yang dibawa bersamanya. Sekiranya anda mempunyai masalah untuk menghentikan ketagihan anda terhadap minuman keras ini, dapatkan bantuan kaunseling dan perubatan berdekatan dengan anda. Selain itu, pastikan diri anda sentiasa dikelilingi oleh individu yang sentiasa memberi sokongan dan galakan untuk anda menghentikan pengambilan alkohol.

Kira kandungan alkohol dalam darah anda di sini. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

 

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

10 Alcoholic Drinks And Their Magic Ingredients. https://economictimes.indiatimes.com/industry/cons-products/liquor/10-alcoholic-drinks-and-their-magic-ingredients/vodka/slideshow/60171875.cms. Accessed on July 1, 2019.

 

10 Jenis Minuman Keras Yang Sering Dikonsumsi Dan Perlu Kamu Ketahui. https://cintaihidup.com/10-jenis-minuman-keras-yang-sering-dikonsumsi-dan-perlu-kamu-ketahui/. Accessed on July 1, 2019.

 

Harmful Use of Alcohol Kills More Than 3 Million People Each Year, Most of Them Men. http://www.who.int/news-room/detail/21-09-2018-harmful-use-of-alcohol-kills-more-than-3-million-people-each-year–most-of-them-men. Accessed on July 1, 2019.

 

Arak di Malaysia. www.imedik.org/tag/arak-di-malaysia/. Accessed on July 1, 2019.

 

Alkohol. http://www.myhealth.gov.my/remaja-alkohol/. Accessed on July 1, 2019.

 

Lin Gao, Celso Grebogi, Ying-Cheng Lai, Julia Stephen, Tongsheng Zhang, Yuanli Li, Haipeng Ren, Dichen Li, Jue Wang, Bjoern Schelter, Linda Sommerlade. Quantitative assessment of cerebral connectivity deficiency and cognitive impairment in children with prenatal alcohol exposure. Chaos: An Interdisciplinary Journal of Nonlinear Science, 2019; 29 (4): 041101 DOI: 10.1063/1.5089527

 

No Safe Amount Of Alcohol During Pregnancy, Suggest Researchers. https://www.sciencedaily.com/releases/2019/04/190426150639.htm. Accessed on July 1, 2019.

 

Versi Terbaru

18/06/2020

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Ayu Idris


Artikel Berkaitan

Selain Nasi Lemak @ Kerabu, Ada Lagi Makanan Tradisional Yang Sebenarnya Sihat!

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan