Simptom kemurungan pada pesakit bipolar
Secara amnya, tanpa simptom kemurungan, bipolar jenis II tidak dapat didiagnosis. Ia tidak seperti bipolar jenis I yang boleh didiagnosis dengan hanya simptom mania semata-mata. Namun perlu diingatkan juga, kemurungan boleh menjadi manifestasi daripada penyakit mental tersebut atau merupakan komplikasi kepada penyakit mental yang lain. Sebagai contoh, masalah keresahan/ kegelisahan, tanpa rawatan awal, ia boleh menyebabkan kemurungan.
Perkara ini perlu ditekankan khususnya buat orang awam supaya tidak “memandai-mandai” memandangkan pemberian diagnosis oleh bukan profesional boleh menimbulkan kesengsaraan emosi kepada individu terlibat. Mereka yang mengalami kemurungan akan menunjukkan sekurang-kurangnya 5 daripada 9 simptom di bawah:
- Berasa sedih, kosong, bagaikan tiada harapan, atau sering menangis tanpa sebab yang jelas
- Hilang minat untuk melakukan perkara yang kebiasaannya diminati oleh individu terbabit (anhedonia)
- Hilang berat badan tanpa berdiet, naik berat badan, selera makan berkurang atau bertambah
- Insomnia (sukar untuk tidur) atau hipersomnia (tidur terlalu lama)
- Tingkah laku tampak perlahan
- Kelesuan
- Merasakan diri mereka tidak berguna atau menunjukkan rasa bersalah yang tidak kena pada situasi semasa
- Sukar untuk menumpukan perhatian atau berfikir
- Memikirkan, merancang atau mencuba untuk membunuh diri
Hakikat berkenaan dengan gangguan bipolar
Bukan semua individu yang beremosi itu mempunyai masalah mental. Ketidakstabilan emosi kadangkala merupakan tindak balas mental yang normal bergantung kepada apa yang anda lalui seharian. Mungkin ada individu yang membuatkan anda kecewa, mungkin anda bergaduh dengan pasangan hidup, mungkin anda putus cinta dan mungkin juga anda tidak sempat menyiapkan tugasan yang diberikan.
Perasaan tersebut kebiasaannya akan muncul buat seketika waktu dan ia berlaku tidak sekerap berbanding dengan apa yang dialami oleh mereka yang didiagnosis dengan gangguan bipolar. Lazimnya, bagi mereka yang mempunyai bipolar jenis I, ketidakstabilan tersebut boleh berpanjangan selama berminggu-minggu. Ia turut menjejaskan prestasi dan fungsi individu terbabit menyebabkan berlakunya perbuatan yang dianggap sebagai tidak normal dan melampaui batas kewarasan seseorang.
Mereka yang didiagnosis dengan penyakit mental tersebut kebiasaannya berusia di antara 17 hingga 31 tahun. Insiden gangguan ini adalah sama rata di antara jantina lelaki dan wanita. Perkara ini berbeza dengan insiden kemurungan yang mempunyai insiden tinggi dalam kalangan wanita. Disebabkan oleh persamaan di antara simptom bipolar dengan penyakit mental yang lain, adalah sangat penting untuk anda membawa mereka yang terlibat berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Konklusi
Anda sendiri tahu bahawa penyakit mental adalah tabu. Jangan katakan kepada seseorang itu bahawa mereka mempunyai masalah bipolar. Galakkan mereka berjumpa dengan doktor bagi mengawal simptom tersebut dan pastikan anda memberikan sokongan moral kepada mereka yang didiagnosis. Jika anda telah didiagnosis dengan penyakit mental tersebut, jangan lupa untuk menuruti arahan doktor berkenaan dengan pengambilan ubat bipolar. Anda mungkin tidak boleh sembuh namun kepatuhan terhadap ubat-ubatan boleh memberikan kehidupan yang lebih berkualiti kepada anda.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen