Tekanan Darah Rendah Dan Jenisnya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apa itu tekanan darah rendah?

Tekanan darah rendah atau hipotensi boleh berlaku kerana jumlah darah yang mengalir ke organ utama seperti otak dan buah pinggang agak perlahan dengan tekanan di bawah 90/60.

Secara umumnya tekanan darah berubah bergantung kepada situasi. Ia mungkin rendah bila anda tidur dan menjadi tinggi bila anda bangun. Kebiasaanya ia boleh berubah apabila anda berada dalam keadaan teruja, takut atau aktif.

Sesetengah individu mengalami tekanan darah rendah sepanjang masa. Mereka tidak mengalami sebarang simptom, dan tekanan darah rendah adalah normal bagi mereka.

Bagi individu lain pula, terdapat beberapa keadaan atau faktor yang menyebabkan tekanan darah jatuh di bawah paras normal, sehingga mendatangkan simptom seperti pening, pengsan atau keadaan yang lebih teruk dipanggil ‘shock’.

Jenis-jenis tekanan darah rendah

Terdapat tiga jenis tekanan darah rendah yang utama:

  • Tekanan darah rendah ‘orthostatic– berlaku apabila anda berubah posisi, bangun dari tidur atau duduk. Penurunan tekanan darah akan menyebabkan anda berasa pening atau pengsan. Ianya terjadi kerana tubuh tidak dapat menyesuaikan tekanan pengaliran darah dengan cepat. Ia berlaku untuk tempoh yang sekejap.
  • Tekanan darah rendah ‘neurally mediated’ (NMH) – keadaan ini berlaku apabila otak dan jantung tidak berkomunikasi antara satu sama lain dengan baik. Contohnya, ketika anda berdiri untuk jangkamasa yang panjang, darah mulai berkumpul di kaki anda. Hal ini menyebabkan tekanan darah menurun.

Dalam NMH, badan keliru dan memberitahu otak bahawa tekanan darah tinggi, sebagai tindakbalas, otak melambatkan kadar denyutan jantung. Ini akan menyebabkan penurunan tekanan darah secara berlebihan, menyebabkan pening kepala dan rasa hendak pitam.

  • Tekanan darah rendah teruk berkaitan dengan ‘Shock’‘shock’ adalah suatu keadaan yang boleh mengancam nyawa di mana tekanan darah turun begitu rendah sehingga otak, buah pinggang dan organ-organ penting yang lain tidak dapat bekalan darah yang cukup.

Apa penyebab hipotensi?

Setiap hipotensi mempunyai sebab yang berbeza.

Hipotensi ortostatik

Terdapat beberapa sebab kenapa ia berlaku:

  1. Nyahhidrasi – ianya berlaku bila badan kehilangan air lebih dari yang sepatutnya seperti peluh berlebihan semasa aktiviti fizikal, demam, muntah dan cirit-birit.
  2. Keadaan panas atau tidak bergerak untuk tempoh yang agak lama.
  3. Ubat-ubatan – sesetengah ubat-ubatan boleh meningkatkan risiko untuk hipotensi ortostatik. Ubat-ubatan ini termasuk:
  • Ubat merawat tekanan darah tinggi dan penyakit:
  1. Diuretics atau ubat kencing
  2. Calcium channel blockers
  3. Angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors
  4. Angiotensin II receptor blockers
  5. Nitrates
  6. Beta blockers
  • Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat keadaan seperti kebimbangan, kemurungan, mati pucuk dan gangguan sistem saraf pusat (seperti penyakit Parkinson).

      4. Bahan-bahan lain –  alkohol, barbiturat dan beberapa jenis ubat yang dibeli sendiri sekiranya diambil dengan ubat tekanan darah tinggi.

      5. Hipotensi selepas makan (posprandial hypotension) – berlaku selepas makan.

Hipotensi ‘Neurally Mediated’ (NMH)

NMH biasanya berlaku dalam keadaan berikut:

  1. Berdiri untuk masa yang lama.
  2. Kesakitan atau ketakutan yang amat sangat.

Hipotensi teruk berkaitan dengan ‘Shock’

Merupakan satu keadaan kecemasan yang memerlukan rawatan segera. Ia terdiri daripada:

Septic Shock – berlaku apabila bakteria memasuki aliran darah. Bakteri mengeluarkan toksin (racun) yang berbahaya dengan membawa penurunan tekanan darah.

Hypovolemic Shock – kehilangan darah atau cecair dari badan boleh berlaku akibat daripada:

  • Pendarahan luaran yang teruk, contoh luka parah atau cedera.
  • Pendarahan dalaman yang teruk, contoh pembuluh darah pecah.
  • Kehilangan cecair badan dari luka terbakar teruk.
  • Keradangan kelenjar pankreas yang teruk, contoh organ hasilkan enzim dan hormon seperti insulin.
  • Cirit-birit yang teruk.
  • Penyakit buah pinggang yang teruk.
  • Sering menggunakan diuretik.

Cardiogenic Shock – ketidakupayaan jantung untuk mengepam darah disebabkan oleh serangan jantung, embolisme pulmonari atau aritmia (degupan jantung yang tidak teratur).

Vasodilatory Shock – saluran arteri yang tiba-tiba meregang luas (vasodilatation) sehingga menurunkan tekanan darah. Hal ini terjadi kerana:

  • Kecederaan kepala yang teruk.
  • Tindak balas ubat-ubatan tertentu.
  • Kegagalan hati.
  • Keracunan.
  • Reaksi alergi yang teruk (dipanggil anafilaktik shock).

Simptom hipotensi

Tanda- tanda dan simptom tekanan darah rendah bergantung kepada sebab terjadinya hipotensi.

Hipotensi ortostatik

Tanda- tanda dan simptom hipotensi ortostatik boleh berlaku dalam beberapa saat atau minit selepas anda bangun dari keadaan berbaring atau duduk. Anda mungkin merasa bahawa anda akan pengsan, atau anda mungkin akan betul-betul pengsan. Tanda-tandanya:

  • Pening atau merasa pusing
  • Penglihatan kabur
  • Kekeliruan
  • Kelemahan
  • Loya (perasaan sakit perut)

Hipotensi ‘Neurally Mediated’

Tanda-tanda dan simptom HNM ini adalah sama dengan hipotensi ortostatik. Penurunan tekanan darah tidak berlaku lama dan sering hilang selepas duduk.

Hipotensi teruk berkaitan dengan ‘Shock’

Ia mungkin sukar untuk mengesan sebarang tanda-tanda atau simptom. Untuk individu dewasa, tanda-tanda pertama mungkin hanya kekeliruan.

Jika keadaan ‘shock’ semakin teruk, seseorang itu tidak akan dapat duduk tanpa merasa pitam. Jika berlarutan, pesakit mungkin tidak sedarkan diri.

Tanda dan simptom adalah berbeza, bergantung kepada apa yang menyebabkan ‘shock’. Apabila isipadu darah menjadi rendah, contohnya, kehilangan darah yang banyak, maka:

  • Kulit menjadi sejuk dan berpeluh. Ia akan tampak biru atau pucat. Jika ditekan, warna kembali normal dengan lebih perlahan daripada biasa.
  • Denyut nadi menjadi lemah.
  • Pesakit akan mula bernafas dengan cepat.

Apabila berlaku vasodilatasi atau kerengangan pembuluh darah, seseorang akan merasa panas dan kulit akan menjadi merah pada awalnya.

Sekiranya berlarutan, ‘shock’ menjadi semakin teruk, kulit menjadi sejuk dan basah, dan pesakit akan berasa tenat. Keadaan ini adalah suatu keadaan cemas dan mesti diberi perhatian segera.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut